Translate

06 Mei 2011

Muslim Malaysia ugut adakan protes bantah AS bunuh Osama

Muslim Filipina juga mengadakan demonstrasi membantah AS ekoran kematian Osama bin Laden, di Masjid Emas, Quiapo, Manila hari ini. — Foto Reuters
Sebuah badan induk bagi pertubuhan Muslim hari ini menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Amerika  Syarikat (AS) di sini sambil memberi kata dua akan mengadakan protes mengecam pembunuhan ketua rangkaian Al-Qaeda Osama bin Laden.


Tindakan itu akan diambil jika AS tidak memohon maaf dalam tempoh seminggu.
Solidariti Rakyat Malaysia Menentang Keganasan merangkumi 20 badan termasuk Majlis Penasihat Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Dewan Muslimat PAS menyerahkan memorandum kepada Keduataan AS petang ini.

Memorandum yang diserahkan kepada wakil kedutaaan menekankan bahawa operasi khas AS di timur laut Islamabad Isnin lalu, yang membunuh Osama, adalah perbuatan pengecut selain menceroboh negara berdaulat.

“Kami juga marah dengan cara tidak bertamadun tentera negara anda melepaskan jenazah (Osama) ke laut memandangkan ini perbuatan menghina seluruh Muslim.

“Pasukan tentera AS tiada sebarang hak untuk menguruskan jenazah sedemikian rupa, yang juga satu penghinaan ke atas maruah kesemua Muslim dan Islam,” katanya.

“Bagi rakyat Malaysia, anda dan pasukan tentera AS telah menjadikan Osama mati syahid,” kata penyelaras kumpulan itu Mohd Azmi Abdul Hamid.

Mohd Azmi berkata, kumpulan itu akan mengadakan solat khas besar-besaran bagi Osama dan anggota keluarganya.

Katanya, Osama sebenarnya menentang pengganas sebenar dunia iaitu kerajaan Amerika dan mahu membebaskan tanah Muslim daripada penguasaan AS dan Israel.

“Di atas segala-galanya itu, dia (Osama) tahu bagaimana untuk mendedahkan propoganda syaitan Barat, dan mendedahkan diktator-diktator Arab yang menekan,” katanya lagi.

Kumpulan itu juga mengecam pemimpin-pemimpin Islam khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana memperkatakan bahawa dunia ini lebih selamat selepas kematian Osama.

Mohd Azmi kemudian memberitahu pemberita bahawa pihaknya menuntut Presiden AS Barack Obama agar memohon maaf atas kematian Osama.

“Kami memberi masa satu minggu dan jika tiada respons atau permohonan maaf, maka kami akan mengadakan demonstrasi,” katanya lagi.

Osama terbunuh dalam serangan pasukan elit AS di Pakistan awal pagi Isnin lalu.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan membunuh Osama sebagai “tidak bertamadun.”

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kenyataan kononnya dunia akan lebih selamat dengan kematian Osama di tangan pasukan elit AS adalah pandangan tidak cermat.

Selain itu tegas beliau, kenyataan seperti itu menampakkan diri pihak yang mengeluarkan pandangan berkenaan sebagai penyokong AS.

“Jika dunia lebih selamat dengan kematian Osama, adakah dunia juga lebih selamat dengan kewujudan Amerika?” kata Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan.

Nik Aziz tidak menyebut nama pihak berkenaan yang mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berharap kematian Osama dalam satu operasi ketenteraan AS di Pakistan dapat membawa dunia ke arah keamanan dan keharmonian sejagat.

Namun, beliau memberi amaran bahawa perjuangan kumpulan yang terlibat dalam beberapa serangan pengganas di seluruh dunia itu tidak berkisar kepada seorang individu sahaja.

“Saya harap ia (kematian Osama) akan menjurus kepada keselamatan dan keamanan sejagat yang merupakan tanggungjawab bersama,” katanya.

Najib juga berharap kematian pengasas Al-Qaeda itu akan membuatkan dunia menjadi lebih aman, selamat dan adil.

Beliau juga berharap kematian Osama akan dapat memulihkan semula nama baik Islam yang tercalar ekoran imej negatif dibawa oleh pengasas Al-Qaeda itu.

Beliau bagaimanapun mengingatkan kepada semua pihak bahawa meskipun kematian Osama memberi tamparan hebat kepada al-Qaeda, namun itu tidak bermakna pergerakan tersebut akan terkubur sama sekali sebaliknya ia tetap boleh disusun serta digerakkan semula. Insider

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

4U2C Posts

News Story

SELSEMA