Translate

30 Ogos 2010

Tidak Faham Agama Punca Polemik - Nik Aziz.

 Isu bukan Islam memasuki masjid bukan satu kesalahan dalam Islam kerana ianya antara kaedah yang diguna Nabi Muhammad SAW dalam menyampaikan mesej dakwah.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz berkata, isu ini menjadi polemik dalam masyarakat akibat sentimen politik mengatasi kefahaman agama Islam yang murni.

“Oleh kerana hubungan kita dengan Islam semakin jauh, belajar pun tidak, maka bila tiba perkara-perkara macam ini, terus timbul masalah.

“Padahal kalau kita balik dari sejarah asal, ramai dari penduduk Arab Qurasy yang kafir datang jumpa Nabi. Nabi letak dalam masjid, mereka tidur dalam masjid, makan dalam masjid, bahkan kencing dalam masjid”, katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian sebagai mengulas tindakan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching yang masuk ke Surau Al-Huda di Kajang Ahad lalu, yang  kini hangat diperkatakan.

“Jadi bila ada orang bukan Islam sekarang ni masuk dalam masjid, tak ada apa pun. Nak ceramah ke, nak apa ke, tak ada masalah apa pun,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, tindakan mempolemikkan isu tersebut juga bukan sahaja akan menjauhkan orang bukan Islam kepada Islam, malah bertentangan dengan sunnah Nabi.

“Menjauhkan orang bukan Islam dengan masjid adalah budaya kita sahaja, bukan ajaran nabi,” ujarnya.

Dalam Islam menurutnya, Muaalaf ditafsir dengan tiga golongan iaitu mereka yang baru memeluk Islam, belum Islam tetapi cenderung memeluk Islam dan orang bukan Islam tetapi menghormati dan tidak menentang Islam.

“Jadinya dalam tiga ini hanya satu sahaja yang kita guna. Dua lagi kita biarkan menyebabkan masyarakat kita semakin jauh dengan yang bukan Islam,” ujarnya.

Menyentuh mengenai tidak menutup aurat ketika memasuki masjid, Tuan Guru berkata, mungkin masalah penjaga masjid tidak memberitahu kepadanya. 

Tuan Guru berkata demikian sewaktu majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan media anjuran Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), di rumah anak yatim Taman Sabariah.

Seramai lebih 170 orang anak yatim menerima sumbang wang hari raya dari PMBK.


(HarakahDaily)

Kaitkan PAS, Utusan Berdepan Saman.

PAS sedang menimbang untuk mengambil tindakan saman ke atas akhbar Utusan Malaysia ekoran mengaitkan parti itu dengan insiden kunjungan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching ke Surau Al-Huda, Kajang Ahad lalu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, perkara tersebut telah diputuskan oleh Jawatankuasa PAS Pusat pada mesyuarat mereka siang tadi.

"Utusan menyiarkan laporan bahawa beliau (Nie Ching) hadir untuk memberi sumbangan kepada Ahli PAS, sedangkan sumbangan tersebut untuk membaiki pagar surau.

"Kita akan ambil tindakan mahkamah, dan saya telah berbincang dengan pengerusi surau tersebut, kita akan saman mana-mana pihak yang terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengedarkan risalah keselamatan kepada pengguna jalan raya di Plaza Tol Sungai Besi, hari ini.

Utusan dalam laporanya 27 Ogos lalu mendakwa Nie Ching memasuki ruang solat Surau Al-Huda dalam satu majlis penyampaian bantuan kepada "ahli-ahli PAS".

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena bagaimanapun mendakwa, laporan akhbar itu adalah bohong, berniat jahat dan cuba memburukkan imej PAS.

Beliau tidak menolak kemungkinan, akhbar terebut cuba mewujudkan persepsi bahawa kehadiran Nie Ching tersebut untuk berpolitik dalam masjid.

Sementara itu, beliau juga mendakwa Umno telah mendalangi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dengan memberi maklumat salah kepada Sultan Selangor sehingga Tuanku dudakwa murka.

Ini kerana, tiada sebarang tazkirah yang disampaikan Nie Ching seperti yang didakwa melainkan sekadar ucapan lima minit selepas dijemput berucap oleh jawatankuasa surau.

Selain itu, ucapan ahli parlimen Serdang itu juga jelasnya langsung tidak menyentuh soal politik kepartian melainkan menjelaskan program pendidikan kerajaan negeri yang memanfaatkan rakyat Selangor.

"Saya berani mengatakan bahawa, Mais telah didalangi Umno, menipu pihak Istana.

"Memang tidak ada tazkirah, tidak ada ucapan berkaitan politik dan bukan memberi sumbangan kepada ahli PAS," tegasnya.

Tambahnya, tindakan Umno tersebut telah merugikan Islam apabila masyarakat bukan Islam mungkin berpandangan mereka tidak boleh lagi memasuki masjid atau surau.

Sedangkan kata Mahfuz, itu merupakan salah satu cara dakwah kepada bukan Islam dan sememangnya dibolehkan seperti diputuskan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 lalu.

"Kalau tindakan itu salah, Mais bukan kena hantar surat amaran kepada ahli parlimen Serdang, tetapi kena hantar juga kepada Majlis Fatwa Kebangsaan," katanya.


(HarakahDaily)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

4U2C Posts

News Story

SELSEMA