Adik kepada ketua menteri Sarawak, Onn Mahmud, telah menggunakan kawasan perlindungan cukai Pulau Cayman untuk mengelakkan berjuta dolar cukai hasil keuntungan dari perniagaan hartanah di Australia sepanjang 20 tahun lalu, lapor akhbar Australia The Age hari ini.
Akhbar tersebut melaporkan Onn menggunakan rangkaian kewangan global rumit untuk mengeksport pandapatannya dari portfolio komersial Sydney dan hartanah kediaman bernilai kira-kira A$100 juta (311.85 juta).
Laporan itu juga berkata ramai jutawan dan ahli politik Malaysia mempunyai akaun luar pesisir di kawasan-kawasan perlindungan cukai.
Dalam satu urusniaga yang dilaporkan oleh The Age, Onn menjual tapak pembangunan pangsapuri di Sydney Potts Point dengan harga A$15.5 juta pada 2007 – mendapat keuntungan A$10.8 juta.
Bekas rakan perniagaan Onn mengatakan tiada cukai keuntungan dibayar dari urusan tersebut dan semua hasil telah dipindahkan ke suatu akaun amanah berpangkalan di syurga cukai Pulau Cayman.
“Semua urusannya distruktur dengan berhati-hati bagi memastikan dia tidak membayar cukai di Australia,” kata Farok Abdul Majeed kepada akhbar tersebut yang mengatakan beliau menguruskan perniagaan hartanah Onn di Sydney selama bertahun-tahun.
Dokumen yang diperolehi oleh pemilik The Age Fairfax Media menunjukkan Onn memberikan maklumat bercanggah kepada pihak berkuasa untuk menjamin visa perniagaan Australia dan membina portfolio hartanah yang beliau uruskan melalui akaun amanah Pulau Cayman diuruskan oleh saudagar bank Merrill Lynch di Isle of Man.
Farok sekarang sedang berjuang untuk mendapatkan berjuta-juta dolar yang beliau dakwa yuran belum dibayar, komisen dan perbelanjaan.
Firma Arkitek ternama Crone Partners juga mendakwa masih belum dibayar lebih daripada A$500,000.
Akhbar tersebut mengatakan, Onn dilaporkan sebagai orang kedua terkaya di Malaysia dengan kekayaan melebihi A$2bilion – kebanyakkannya dari urusniaga melibatkan eksport kayu yang telah menghancurkan hutan hujan tropika Sarawak.
“Isteri Onn dan anaknya tinggal di sebuah rumah di Carrara Road, Vaucluse, dengan pemandangan merentasi Sydney Harbour. Akan tetapi, beliau menghabiskan sebahagian besar masa di Singapura dan Malaysia,” kata akhbar itu.
Dikatakan permohonan visa perniagaan Onn ditaja oleh Ryan Park Limited dan tiga syarikat-syarikat bersekutu yang beliau dan keluarganya kawal: Ferncroft Limited, Golden Arrow Limited dan Cherry Blossom Limited.
Dalam permohonannya, Onn mengatakan Ryan Park dan syarikat lain telah melaburkan lebih A$50juta untuk hartanah Syedney akan tetapi akhbar tersebut memetik Farok sebagai berkata beliau percaya jumlah pelaburan hartanah di Australia dua kali lebih daripada itu.
Nombor pendaftaran Bilangan Perniagaan Australia Ryan Park menggambarkan ia sebagai “Syarikat swasta Australia” tetapi ia tidak mempunyai rekod dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Pelaburan Australia dan sebenarnya didaftarkan di Pulau Cayman pada tahun 1991 sebagai entiti “bukan pemastautin”, lapor akhbar tersebut.
Pada Mac 2007, eksekutif Merrill Lynch bersumpah dalam perakuan bersumpah di Isle of Man yang Ryan Park adalah “syarikat asing tidak berdaftar” dan “tidak menjalankan perniagaan di Australia”, tambahnya.
Ryan Park dan tiga lagi syarikat juga berdaftar di Pulau Cayman telah dibatalkan pendaftaran syarikat tersebut di kepulauan tersebut beberapa tahun lalu, kata akhbar tersebut dalam laporan itu.
Akhbar tersebut turut mengatakan portfolio hartanah yang dikumpulkan Onn diantara awal 1990 an dan 2007 termasuk hotal dan kompleks restoran di pusat Sydney dan bangunan pejabat di Elizabeth Street, Sydney yang dijual pada 2005 dengan keutungan dipercayai sebanyak A$5juta.
Sementara itu, The Age mengatakan Farok merupakan perunding pembangunan hartanah dan pengurusan projek dan dilahirkan di Malaysia telah mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan lebih daripada A$5 juta yang beliau dakwa masih belum dibayar oleh Onn, yang enggan menjawab soalan dari akhbar tersebut.
Pada Ogos 2007, Mahkamah Agung NSW memerintahkan Onn untuk membayar A$2.2 juta kepada Farok sebagai yuran dan komisen belum dibayar. Perintah tersebut tidak diteruskan selepas beliau gagal menghadiri perbicaraan seterusnya dimana perintah tersebut dicabar oleh peguam Onn.