Oleh kerana isu kalimah ALLAH sekarang ini semakin panas, sepanas api yang marak membakar gereja oleh budak-budak bebal. Jadi aku ingin melontar sedikit pandangan berkaitan isu tersebut, nak ulas panjang-panjang takut di ISA kan pula. Ini kerana Kem Kemunting tengah lapar dan menterinya yang auuwww pula dah mula gatal-gatal tangan nak sain surat penahanan yang sedang mencari 'Kambing Hitam' sekarang ini.
Apatah lagi dengan demotrasi sana sini kerana membantah keputusan Mahkamah Tinggi yang telah memihak kepada akhbar mingguan The Herald Catholik Weekly menggunakan kalimah ALLAH dalam terbitan edisi Melayunya. Sebagaimana Umno mempertahankan ketuanan Melayu adalah milik mutlaknya, sekarang mereka menyatakan kalimah ALLAH adalah milik mutlak agama Islam pula.
Antara sedar atau pun tidak kerana mungkin mereka cerdik dalam bodoh atau pun bodoh dalam cerdik, akhbar tersebut telah pun menggunakan kalimah ALLAH berkali-kali ketika keputusan tersebut belum lagi diberi kebenaran oleh Mahkamah Tinggi. Kenapa aku kata begitu?
Apa tidaknya kerana semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi, akhbar tersebut pasti akan melapor akan perkembangan kes tersebut. Jadi dalam laporan akhbar kes itu, mereka akan menulis kalimah ALLAH untuk tatapan umum. Akhbar tersebut akan menulis kalimah ALLAH... ALLAH..... ALLAH dan tidak kepada Tuhan Orang Islam untuk merujuk perkembangan kes itu.
Kenapa dari awal-awal lagi sebelum keputusan di umumkan oleh Mahkamah Tinggi, tiada kedengaran bantahan daripada dikalangan orang Melayu/Islam. Tetapi mereka hanya membantah dan melakukan demotrasi setelah Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada akhbar Herald. Tidakkah bebal namanya, dari aspek kejahilan tentang Islam buat orang Melayu/Islam yang konon-kononnya tahu,arif dan alim tentang hukum hakam agama Islam.
Itulah jadinya bila sekadar menjadi Pak Pacak untuk Umno yang sentiasa mempermain-mainkan sentimen orang Melayu setelah mereka merasakan yang Umno sudah dipenghujung usia. Sudah menjadi tabiat Umno akan meniupkan api kemarahan dikalangan orang Melayu walau pun kita tahu mereka akan sentiasa menafikan penglibatan mereka yang bertangan ghaib itu.
Jika di zaman Datuk Onn yang mana Umno menjadi parti elit orang Melayu dan juga anak emas penjajah British. Mereka mengambil peluang menjadi jaguh setelah mereka menjadi dalang disebalik pengharaman parti Hizbul Muslimin dan PKMM dan penangkapan pemimpin-pemimpin parti tersebut dibawah undang-undang darurat. Diantara kata-katanya yang terkenal ialah,"Hubaya.....Hubaya..... Bahaya Dari Gunung" yang merujuk kepada Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol yang dipimpin oleh Ustaz Abu Bakar Al-Baqi.
Mereka mengambil alih sokongan orang Melayu terhadap penentangan 'Malaya Union' yang cuba dilaksanakan oleh penjajah British. Begitu juga dengan 'Peristiwa Hitam 13 Mei yang akhirnya PAS bersama-sama dengan Umno dalam Perikatan, kemudian di tukar menjadi Barisan Nasional. Selepas Umno pulih dan mendapat kembali sokongan daripada orang Melayu, PAS ditendang keluar daripada BN.
Dalam peristiwa 'Ketuanan Melayu' (bangsa Melayu pun bangsa pendatang) yang dibangkitkan oleh MCA, mereka sesama sendiri berkelahi yang mana pemimpin pembangkang menjadi mangsa kerakusan akta ISA. Sedangkan pemimpin pembangkang tidak langsung kena mengena dengan perbalahan tersebut. Itulah perangai Umno 'Dulu..... Kini...... Dan Selama-Lamanya' bila mereka merasakan parti perkauman Melayunya sudah hilang sokongan, mereka kan menciptakan isu dengan meniupkan api perkaumannya.
Sekarang ini aku tidak tahu siapa pula yang akan dimangsakan untuk memulih kembali imej mereka yang semakin tercemar dan hilang kepercayaan daripada orang Melayu/Islam. Mereka sudah mula mencucuk jarum kepada orang Melayu/Islam dengan isu kalimah ALLAH pula. Lihat dan renunglah wahai rakyat Malaysia bagaimana rakusnya Umno yang sudah terlalu terdesak dan kemaruk kuasa.
Rakyat Malaysia sepatutnya merasa malu dengan kepimpinan DS Najib dan Rosmah yang telah mencemarkan nama Malaysia dimata dunia. Daripada zaman Datuk Onn sehinggalah zaman Pak Lah memerintah, tidak pernah seorang Perdana Menteri Malaysia diberi sapina ataupun akan didakwa di luar negara. Tetapi Najib and Rosmah telah memecah record dunia di Perancis.
Walau bagaimana pun, sekurang-kurangnya Najib and Rosmah dengan One Malaysianya telah membuka mata penduduk dunia yang ada diantaranya tidak tahu langsung mengenai kewujudan negara Malaysia di peta dunia. Yang mereka tahu dan kenal ialah Singapura yang kecil itu, sedangkan Malaysia lebih besar dan bersempadan dendan Singapura........ kenapa jadi macam tu ya.
Sekarang ini mereka sudah mula mencari-cari dan mengikuti perkembangan Malaysia, lebih-lebih lagi rakyat Mongolia dan Perancis........... Terima kasih Najib and Rosmah......... diatas jasa-jasa anda itu. Yang menjadi sedikit terkilan bagi rakyat Malaysia ialah, Rosmah tidak lagi mempunyai peluang untuk bershooping atau pun untuk melihat peragaan pakaian musim bunga, musim luruh, musim sejuk, musim panas, musim beku dan bermusim-musim di Paris.