Kim Jong-Un ganti bapa warisi tampuk pemerintahan
SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-II meninggal dunia pada usia 69 tahun akibat serangan jantung lapor media tempatan semalam, meletakkan negara miskin yang dilengkapi senjata nuklear itu dalam keadaan tidak menentu.
Mendiang dilaporkan meninggal dunia jam 8.30 pagi pada Sabtu, ketika menaiki keretapi dalam satu lawatan rasmi beliau, kata agensi berita Korean Central (KCNA).
Negara itu menggesa penduduknya mematuhi anak bongsu yang juga pewaris, Kim Jong-Un, yang berusia lewat 20-an manakala tahun lalu menjadi panglima empat bintang dan diberikan jawatan tertinggi parti pemerintah.
“Semua ahli parti, tentera dan orang awam perlu mematuhi kepimpinan komrad Kim Jong-Un dan melindungi serta menguatkan lagi barisan depan parti, tentera dan awam,” kata pengacara televisyen yang mengenakan pakaian hitam.
KCNA berkata, Kim meninggal dunia berikutan serangan jantung yang teruk. Bedah siasat ke atas mayatnya dilakukan kelmarin.
Pemimpin itu mengalami serangan strok pada Ogos 2008 yang menyebabkan beliau tidak dapat menggerakkan bahagian kiri kaki dan tangannya, mencetuskan rancangan mencari penggantinya.
Majlis pengebumian Kim akan diadakan pada 28 Disember di Pyongyang tetapi tiada delegasi asing diundang, kata KCNA. Tempoh berkabung adalah diisytiharkan mulai 17 Disember hingga 29 Disember.
Di kedutaan Korea Utara di Beijing, bendera kebangsaan dikibarkan separuh tiang.
Jentera propaganda Korea Utara melancarkan tindakan untuk membina personaliti sama bagi Jong-Un seperti yang dilakukan kepada bapa dan datuknya, Kim II-Sung, pengasas dan pemimpin kekal bagi Korea Utara yang meninggal dunia pada 1994.
Walau bagaimana pun tidak banyak yang diketahui mengenai penggantian berkenaan. Pegawai tertinggi Korea Selatan mengenai hal ehwal merentasi sempadan bulan lalu berkata akan ada cabaran dalam memindahkan kuasa kepada anaknya.
Hanya satu-satunya saudara perempuan Kim Jong-II, Kim Kyong-Hui dan suaminya, Hang Song-Thaek, pemimpin nombor dua negara tidak rasmi dijangka bertindak sebagai penjaga anak Jong-ll dan menjaga hal ehwal politik dari belakang, kata penganalisis.
Berita berkenaan mengundang kejutan di rantau ini yang dilanda ketegangan sejak bertahun berikutan cita-cita nuklear Korea Utara dan taktik agresif.
Korea Selatan meletakkan tentera dan polisnya dalam keadaan berjaga-jaga dan mengadakan satu mesyuarat dengan Majlis Keselamatan Negara.
Presiden Lee Myung-Bak membatalkan jadual dan menggesa satu mesyuarat tergempar kabinet pada jam 3 petang. – AFP