Translate

30 November 2011

Doktor peribadi Michael Jackson dipenjara empat tahun

Dr Conrad Murray, doktor peribadi yang berada di sisi ketika kematian Michael Jackson pada 2009 dikenakan hukuman penjara empat tahun.

Hukuman diputuskan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Michael Pastor semalam dan mengarahkan Dr Murray, 58, menjalani hukuman di Los Angeles County Jail.

Di bawah pindaan undang-undang, hukuman bagi kesalahan kes-kes kematian tidak disengajakan tidak boleh dijalani di penjara negeri.

Selain itu, undang-undang negeri yang baru juga secara automatik mengurangkan hukuman penjara daripada empat kepada dua tahun.

Awal bulan ini Dr Murray (gambar, digari polis) didapati bersalah menyebabkan kematian penghibur tersohor itu dua tahun lalu.

Dr Murray didakwa melakukan pembunuhan tidak sengaja ke atas Jackson pada 25 Jun 2009.

Dia sebelum ini mengaku tidak bersalah kerana memberikan penyanyi “Thriller” satu dos maut ‘anaesthetic propofol’ yang terlalu aktif — yang biasanya digunakan dalam pembedahan - yang diputuskan sebagai punca utama kematian raja pop itu.

Pendakwa berhujah bahawa Dr Murray bertindak cuai dalam menguruskan bahan itu untuk membantu Jackson tidur. Bagaimanapun peguam pembela pula mendakwa Jackson sendiri yang mengambil dos tersebut. — Reuters

Shahrizat guna kes liwat Anwar alih skandal NFC

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga harus meletakkan jawatan sebagai presiden PKR ekoran tuduhan jenayah dihadapi suaminya jika beliau dipaksa berundur berhubung isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini berhadapan dengan tekanan daripada PKR agar meletakkan jawatan kerajaan dan politik ekoran siri pendedahan berkaitan NFC, yang diuruskan oleh keluarganya.
Antara isu yang dibangkitkan oleh pemimpin-pemimpin PKR ialah salah guna dana projek ternakan lembu NFC termasuk untuk membeli kondominium mewah dan membiaya perbelanjaan keluarga, antaranya kos menunaikan umrah.
Sekali lagi hari ini, Shahrizat (gambar) mempertahankan dirinya bahawa beliau tidak kena-mengena dengan syarikat diuruskan oleh suami dan anak-anaknya.
Sebaliknya beliau mencabar Ketua Wanita PRK Zuraida Kamaruddin agar mendesak peletakan jawatan oleh Dr Wan Azizah.
Shahrizat membuat cabaran itu ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Agung Tahunan Wanita di sini hari ini.
Projek NFC kini disiasat oleh polis. Pengerusi Eksekutif NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail merupakan suami Shahrizat.
“Beliau (Zuraida) minta saya letak jawatan sebab suami saya terlibat dalam NFC. Beliau buat kerja beliau dan saya buat kerja saya. Saya tiada kaitan dengan itu. Mengapa minta saya letak jawatan?” kata Shahrizat di hadapan 944 perwakilan Pergerakan Wanita. “Jika itu polisi dan prinsip beliau, maka saya mencabar ketua Wanita PKR agar minta presiden PKR letak jawatan,” katanya lagi.
“Hari ini saya mencabar semua (ahli Wanita PKR) agar minta peletakan jawatan Wan Azizah sebab suami beliau (Ketua Umum PKR  Datuk Seri Anwar Ibrahim), yang telah dihukum dan didakwa,” katanya lagi.
Jelas Shahrizat, cabaran Zuraida itu umpama “gajah di depan hidung tak nampak, kuman di seberang laut nampak.”
“Wan Azizah patut didesak meletak jawatan kerana suaminya, Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim pernah disabit dan dikenakan tindakan kerana pelbagai kesalahan,” katanya lagi.
“Buat Zuraida, jangan ingat Wanita Umno penakut,  walaupun kamu menghentam saya, saya tetap senyum sampai dah tak boleh nak senyum lagi ni, itu belum kita angkat kain lagi,” tegas Shahrizat memberi amaran kepada Zuraidah supaya jangan memperlekehkan wanita Umno kerana pergerakan wanita itu jelasnya sentiasa bersedia menepis dakwaan fitnah dan songsang PKR.
Shahrizat dalam ucapan dasarnya turut menyelar Zuraida dan mengingatkannya agar tidak mengambil kesempatan terhadap Wanita Umno.
“Untuk Wanita PKR, saya beri ingatan, jangan cuba ambil kesempatan kepada kami, kami telah bersedia,” tegasnya.
Menurut Shahrizat, Zuraida dan Wanita PKR sebenarnya takutkan perjuangan Wanita Umno kerana pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menyaksikan 1.3 juta wanita menyokong perjuangan Umno-Barisan Nasional.
“Pembangkang dan PKR sebenarnya takutkan Wanita Umno, kita ada kekuatan 1.3 juta ahli kalangan wanita untuk memastikan kemenangan Umno, sebab itu mereka cuba untuk merosakkan kita dengan pelbagai cara,” tegas beliau lagi.

29 November 2011

Afghanistan suruh NATO serang pos tentera Pakistan

 TENTERA Pakistan memberi penghormatan terakhir kepada rakan mereka yang terbunuh akibat serangan NATO.
TENTERA Pakistan memberi penghormatan terakhir kepada rakan mereka yang terbunuh akibat serangan NATO.


PESHAWAR: Tentera Afghanistan yang diserang ketika bertugas berhampiran sempadan Pakistan meminta bantuan pesawat udara Perjanjian Pakatan Atlantik Utara (NATO) yang membawa kepada pembunuhan 28 askar Pakistan di dua pos pemeriksaan. 

Pada masa sama, pegawai Afghanistan juga mengakui mereka tidak pasti siapa yang menembak anggota perondanya sebelum subuh Sabtu lalu kecuali tembakan itu dilepaskan dari arah pos pemeriksaan Pakistan.



Bagaimanapun, Pakistan semalam menafikan melakukan provokasi yang membawa kepada serangan udara NATO, sekali gus meningkatkan ketegangan berhubung serangan merentasi sempadan yang terus mengeruhkan hubungan Amerika Syarikat dan Pakistan.
“Ini tidak benar. Mereka reka alasan. Jika betul, di manakah korban mereka,” kata jurucakap ketua tentera Pakistan, Mejar Jeneral Athar Abbas. 

Tentera Pakistan juga mendedahkan, serangan udara NATO berterusan selama dua jam meskipun panglima tentera Pakistan merayu supaya ia dihentikan. 

Sementara itu, beribu-ribu penduduk berkumpul di luar Konsulat Amerika di Karachi kelmarin untuk membantah serangan itu. 

Wartawan agensi berita yang berada di lokasi berkata, penduduk melaungkan ‘Matilah Amerika’ manakala seorang lelaki dilihat memanjat tembok dan meletakkan bendera Pakistan pada kawat besi. 
“Amerika menyerang sempadan kami. Kerajaan perlu memutuskan hubungan dengannya segera. Amerika mahu menceroboh negara kami tetapi kami tidak akan membenarkannya,” kata Naseema Baluch, suri rumah yang turut hadir dalam perhimpunan itu. 

Ramai rakyat Pakistan percaya tentera yang memerangi militan cuma melindungi kepentingan Barat. 

Kejadian itu memburukkan lagi hubungan kedua-dua negara. Tentera Pakistan berkata, NATO melancarkan serangan tanpa sebab dan menegaskan tiada aktiviti militan berhampiran pos sempadan di wilayah Mohmand. 

Berang dengan serangan itu, Islamabad menutup sempadannya kepada trak yang membawa bekalan kepada tentera pelbagai negara di Afghanistan dan menuntut Amerika mengosongkan pangkalan udaranya dalam masa 15 hari. 

Ketua tentera Pakistan, Jeneral Ashfaq Pervez Kayani, menghadiri majlis pengebumian mangsa ketika Washington berusaha meminimumkan ketegangan kedua-dua negara. 

Hubungan keruh kedua-dua negara mencapai kemuncak selepas pasukan khas Amerika membunuh pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden di Abbottabad, Mei lalu. 

Menteri Luar Pakistan, Hina Rabbani Khar, memberitahu Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton, serangan NATO itu menafikan semua kemajuan dalam memulihkan hubungan kedua-dua negara. 

Dia memberitahu Hillary dalam panggilan telefon serangan itu tidak dapat diterima dan mencetuskan kemarahan di kalangan rakyat negaranya. 

Islamabad juga membuat bantahan kepada kerajaan Afghanistan, dan berkata ia sepatutnya menghalang NATO menyerang Pakistan. 

Seorang pegawai Afghanistan menyifatkan bantahan itu sebagai tidak berasas dan berkata NATO beroperasi di Afghanistan dengan mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas diluluskan Pakistan. – Agensi 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

4U2C Posts

News Story

SELSEMA