Translate

23 Jun 2010

Robot Haiwan Peliharaan.


Robopanda yang ceria

Ceria dan mampu berinteraktif dengan manusia, Robopanda merupakan robot yang dicipta meniru aksi seekor beruang panda yang comel.

Ia memiliki sepasang mata yang bersinar dan terang. Robopanda juga pandai berkongsi cerita, bersembang, dan berjenaka serta bernyanyi sesuai untuk semua peringkat usia kanak-kanak.

Selain itu, ia juga mampu melakukan pelbagai aksi seperti merangkak pada keempat-empat kakinya dan kembali kepada posisi duduk.

Direka tanpa menggunakan alat kawalan jauh, ia boleh di kawal dengan melalui sentuhan dan suara.

22 Jun 2010

Kenderaan Untuk Si Pemalas?.

KERANA boleh duduk, anda juga boleh membawa barang apabila menaiki U3-X.

BAGI mereka yang biasa menghadiri simposium atau persidangan ke Amerika Syarikat (AS), anda tentu pernah terserempak dengan lelaki beruniform yang mengawal simposium itu dengan menaiki kenderaan unik dikenali sebagai Segway.

Segway merupakan kenderaan roda dua yang dijana menggunakan bateri dan penunggang perlu berdiri ketika menaiki kenderaan yang berfungsi seperti basikal atau scooter ini.

Bagaimanapun, cara operasinya agak berbeza iaitu penunggang hanya perlu mencondongkan badannya ke hadapan untuk menggerakkan Segway ke hadapan dan mengiring ke kiri dan kanan untuk membelok.

Segway telah berjaya mendapat sambutan mengalakkan bagi pengangkutan di dalam bangunan seperti mengawal kawasan pusat dagangan, jabatan polis, pangkalan tentera, gudang, kampus korporat dan juga sebagai kenderaan pelancong di sesetengah negara Eropah.

Di atas kejayaan Segway, maka pelbagai syarikat kini turut cuba membangunkan kenderaan pengangkutan peribadi yang mungkin menjadi pilihan pengguna di masa depan.

Honda misalnya, baru-baru ini memperkenalkan kenderaan prototaip dikenali sebagai Sistem Pergerakan Peribadi U3-X yang seakan fungsi seperti Segway tetapi hanya menggunakan satu roda dan mempunyai tempat duduk.

Kenderaan ini tentu sesuai digunakan oleh mereka yang malas untuk berdiri seperti diperlukan oleh Segway. Ia juga tentu lebih stabil daripada scooter elektrik yang kini digunakan oleh sesetengah orang dewasa untuk bersiar di taman atau ke surau.

Bagi orang-orang tua, badut, orang gemuk dan semput bila berjalan jauh, U3-X adalah pilihanterbaik untuk mereka.

Kenderaan itu mampu bergerak selaju enam kilometer sejam (km/j) dan dengan beratnya hanya 10 kilogram, pengguna dengan mudah boleh membawanya menaiki bas, diletakkan di belakang bonet kereta atau dibawa berjalan.


Teknologi Asimo

Jika dicaj sepenuhnya, U3-X boleh digunakan selama sejam dan ia menggunakan beberapa teknologi robot Asimo dari Honda untuk mengimbangi kenderaan itu dan penunggangnya.

Honda menyatakan, syarikatnya mencipta alat itu untuk membantu golongan berumur tetapi golongan itu mempunyai banyak pilihan sekarang kerana telah banyak robot pendukung manusia sedang dicipta seperti Beruang Robot.

Honda juga berharap U3-X mampu bersaing dengan alat pengangkutan peribadi Winglet dengan dua roda yang diperkenalkan oleh Toyota dua tahun lepas.

Winglet juga merupakan scooter dua roda yang fungsinya hampir sama dengan Segway dan U3-X dengan kemampuan bergerak selaju 6 km/j iaitu sama dengan kelajuan U3-X. Bagaimanapun, ia tetap jauh berbeza dengan kelajuan Segway iaitu 20 km/j.

Honda telah menjalankan penyelidikan dalam bidang robotik sejak 1986 dan peralatan bergerak sejak 1999. Hasil kajian telah digunakan untuk pembangunan robot humanoid Asimo dan sebahagian daripada teknologi itu digunakan untuk U3-X.

Selain itu, Honda juga mempertingkatkan teknologi pemotorannya dengan memperkenalkan motosikal konsep 3R-C di Geneva, baru-baru ini yang melambangkan teknologi motosikal masa depan.

3R-C mempunyai penutup kecil yang melindungi tempat duduk penunggang ketika berhenti dan menjadi cermin pelindung angin ketika bergerak.

Maka di masa depan, kenderaan berkuasa elektrik akan menguasai jalan raya dan juga tempat laluan pejalan kaki kerana manusia ketika itu mungkin juga sudah lupa bagaimana untuk melakukan senaman cara mudah dan tanpa kos - iaitu berjalan.

21 Jun 2010

Robot Bola.


Kejohanan bola sepak Piala Dunia telah terasa bahangnya dari Afrika Selatan dan perlawanan antarapasukan sudah memasuki minggu kedua. Peminat bola sepak di seluruh dunia telah mula merasai kehangatan acara bola sepak empat tahun sekali itu.

Begitu juga bagi peminat robot, mereka juga tidak ketinggalan memeriahkan sambutan kejohanan tersebut, namun ia dilakukan dengan cara mereka yang tersendiri.

Robot bola

DI Hanover, Jerman, para peminat robot menyambut ketibaan kejohanan bola sepak Piala Dunia dengan menghasilkan empat robot humanoid yang berkebolehan untuk bermain bola sepak.

Empat robot itu yang tingginya kira-kira 60 sentimeter dan dinamakan Rajesh, Penny, Sheldon serta Leonard merupakan sebahagian pasukan B-Human yang memenangi kejohanan Piala Dunia Bola Sepak Robot di Austria pada tahun lalu.

Robot-robot itu mempamerkan kehandalan pada satu perlawanan pertunjukan di CeBIT iaitu pameran teknologi tinggi terbesar di dunia.

SOCCER BOT

Soccers bot merupakan antara ciptaan robot bermain bola untuk pertandingan RoboGames yang menghimpunkan hampir 70 peserta daripada seluruh dunia.

Dicipta menyerupai manusia (humanoid) ia memiliki ciri-ciri asas seperti pemain bola sepak iaitu menendang.

Bersaiz lebih besar daripada sebiji bola tenis, ia mampu melakukan pelbagai pergerakan secara sendiri tanpa memerlukan kawalan daripada manusia.

Selain bermain bola sepak, mereka juga turut memperkenalkan robot untuk pertempuran, Sumo Bots, dan juga android yang mampu melakukan aksi kungfu.

Vision Vgos

Vision Vgos dicipta bagi menyertai pertandingan RoboCup, pertandingan robot humanoid bermain bola diadakan di Suzhou, China.

Setinggi 445 milimeter, ia memiliki 21 sambungan yang bebas bergerak dan diselaputi gentian yang lembut bagi menyerap hentakan.

Rekaan robot ini telah diilhamkan oleh Tomotaka Takashi dari Kyoto, Jepun.

Digelar sebagai Pasukan Osaka, mereka telah mencipta robot yang mampu bermain bola sejak 2003 lagi dan telah menjuarai beberapa siri pertandingan RoboCup.

Hoap-3

Hoap- 3 merupakan sebuah lagi robot yang boleh bermain bola sepak ciptaan Fujitsu Automation dan telah memenangi Anugerah Robot pada tahun 2007.

Ia mampu menendang dan mengesan pergerakan bola di samping mampu menangkapnya namun ia masih perlu dikawal oleh manusia.

Walaupun Hoap-3 masih dikawal menggunakan wayar, namun lihat sahaja pada wajahnya yang memiliki mata dan mulut yang luas memudahkan ia dikawal dan menentukan sasaran iaitu menembusi gawang lawan.(UM)

Kereta Termahal Di Dunia.

Hanya terdapat empat model Bugatti Type 57SC Atlantic di dunia dan kereta ini dijual dengan harga kira-kira RM130 juta.


MEMILIKI kereta mewah atau kereta idaman sememangnya suatu yang tidak dapat dipisahkan dengan naluri dan keinginan manusia terutama golongan lelaki.

Maka tidak hairanlah jika kita dapat melihat ramai daripada pemilik kereta yang sanggup mengubahsuai kereta agar kelihatan seperti kereta sports yang menjadi idaman mereka.

Tetapi ada satu lagi golongan jutawan yang hobi mereka mengumpul kereta-kereta lama atau klasik dan sanggup membelanjakan wang berjuta-juta dollar untuk memiliki barangan antik yang diminati mereka.

Di California, Amerika Syarikat, baru-baru ini, sebuah kereta antik BUgatti Atlantic Model 1936 telah dijual dengan harga antara RM100 juta dan RM130 juta.

Kereta Bugatti jenis 57SC itu boleh dianggap sebagai antara kereta tercantik pernah dicipta dan pernah memenangi Anugerah Pebble Beach Concours d'Elegance 2003.

Kereta yang memecah rekod jualan kereta paling mahal di dunia itu mempunyai reka bentuk Perancis dan diperbuat daripada aluminium pada badannya.

Siapa pembeli dan jumlah sebenar yang dibayar untuk mendapatkan kereta itu tidak didedahkan oleh pelelongnya Gooding & Company, bagaimanapun, dipercayai kereta itu dijual kepada Muzium Automotif Mullin di California milik Peter Mullin.

Mullin merupakan Pengerusi Emeritus of MullinTBG dan pengasas serta pengerusi syarikat M. Financial yang mempunyai hobi mengumpul kereta-kereta antik keluaran negara Perancis dan ditempatkan di muzium automotifnya.

Hanya terdapat empat model Bugatti Type 57SC Atlantic di dunia dan salah satu daripadanya dimiliki oleh Ralph Lauren, manakala kereta yang dijual dengan harga tertinggi di dunia itu dimiliki oleh mendiang Dr. Peter Williamson yang juga merupakan pengumpul koleksi kereta Bugatti.

Jualan kereta tersebut telah memecah rekod jualan lelong yang dilaksanakan oleh Goodong & Company sebelum ini selepas berjayamenjual kereta Ferrari 250 Testa Rossa 1967 dengan harga AS$12.2 juta di Maranello, Itali pada 2009.
Kereta James Bond dilelong.

Sementara itu, kereta Aston Martin DB5 yang digunakan oleh James Bond dalam filem Goldfinger dan Thunderball akan dilelong pada 27 Oktober ini di London dengan anggaran nilai melebihi RM16 juta.

Menurut syarikat pelelong RM Auctions, ini adalah kali pertama kereta Aston Martin DB5 keluaran 1964 yang digunakan oleh Sean Connery dalam filem 007 itu ditawarkan untuk dibeli oleh orang awam.

Apa yang menarik, kereta itu bukan sahaja mengekalkan gaya dan kejuruteraannya tetapi juga peralatan serta gajet asal seperti cermin kalis peluru, nombor pendaftaran khas JB007, alat pengesan, panel bumbung boleh dibuka, pelepas asap dan minyak pelicin.

Pada 1969, pemilik stesen radio Philadelphia, Jerry Lee berjaya menyakinkan Kilang Aston Martin Lagonda untuk menjualkan kereta itu kepadanya dengan harga RM39,000.

Hasil lelongan kereta itu nanti akan dimasukkan kepada Jerry Lee Foundation, sebuah pertubuhan yang menjalankan aktiviti mengurangkan kadar jenayah dan meningkatkan pendidikan.

Kali terakhir kereta model seperti itu dijual di pasaran ialah pada 2006 apabila dibeli oleh seorang pembeli persendirian dengan harga RM6.9 juta, bagaimanapun Aston Martin itu tidak pernah digunakan untuk lakonan dalam filem James Bond.(UM)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

4U2C Posts

News Story

SELSEMA