Apakah bahayanya jika golongan profesional menguasai PAS?
Mengapa
Utusan Malaysia dan akhbar arus perdana begitu takut dengan keputusan
pemilihan perwakilan muktamar PAS ke-57? Apakah perubahan besar yang mereka
jangka akan berlaku berikutan keputusan ini?
Benarkah dalam muktamar PAS kali ini golongan ulama tewas?
Tepatkah bacaan dan tafsiran yang dibuat oleh media arus perdana yang memang
selama ini tidak pernah bersimpati kepada PAS dan kerabat Pakatan Rakyat itu?
Yang jelas, tafsiran dan analisis media arus perdana yang diketuai oleh
Utusan Malaysia ini memang salah! Mungkin kesalahan ini berlaku kerana
kejahilan atau niat sengaja untuk mencari-cari kelemahan dalam PAS dan Pakatan
Rakyat.
Hakikatnya ialah, PAS memang sebuah parti yang bergerak
berteraskan ajaran Islam. Maka setiap ahlinya secara langsung atau tidak harus
melalui proses tarbiyah untuk bukan sahaja mengenali erti halal haram tetapi
bagaimana menentukan keadilan kepada semua dalam tata-kelola negara dan
masyarakat.
Sebab itu, apabila
Utusan dan
Berita
Harian membuat laporan kekalahan ulama dalam muktamar kali ini, ia
menggambarkan kebebalan mereka memahami sejarah, ideologi perjuangan dan juga
konsep politik yang diperjuangkan parti itu.
Menurut Datuk Husam Musa,
seorang yang digelar profesional dan dikatakan condong kepada pemikiran Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, setiap pemimpin profesional yang dipilih
menerajui PAS kali ini adalah anak didik ulama PAS sendiri.
Ulama kalah?
Oleh itu, tidak timbul soal ulama kalah dalam pemilihan kali ini. Sebaliknya,
ulama yang menang. Pentarbiyahan ulama PAS sudah menampakkan hasilnya. Anak-anak
muda yang dilatih dengan sejarah perjuangan PAS dan memiliki ijazah profesional
kini menggalas tanggungjawab menjadikan PAS parti lebih dinamis dalam iklim
politik Malaysia.
Lantas apa yang dapat disimpulkan daripada laporan media
arus perdana akan pemikiran pemimpin Umno, ahli-politik yang tercicir dalam
sayembara siasah Malaysia dan media pencacai mereka ialah cemas, kalut dan
sedih.
Nada cemas dan membuahkan reaksi kalut ini dapat diukur di segi
betapa bercelarunya komen yang dikutip oleh akhbar-akhbar pro-Umno ini. Ada di
kalangan pemimpin UImno yang meratapi anjakan yang dibuat oleh PAS kerana
dikatakan tidak lagi memperjuangkan konsep negara Islam dan memilih moto negara
berkebajikan.
Jika benar mereka ikhlas dalam memberi komen, maka kini
barulah kita tahu bahawa mereka selama ini adalah pengkagum PAS yang mahu
menegakkan negara Islam. Dan, kini mereka amat bersedih kerana PAS beranjak mahu
negara berkebajikan. Salah seorang dari mereka dari golongan ini adalah Ketua
Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.
Rupa-rupanya
Utusan dan pemimpin Umno berkenaan
cuba belajar dari sejarah. Melihat kejayaan pejuang Islam mengambil alih
pemerintahan Turki dari golongan sekular seperti Umno di Malaysia, mereka cuba
melekatkan persepsi bahawa golongan ini di bawah payung pemikiran Anwar Ibrahim
mahu mengambil alih pemerintahan negara daripada Umno yang sekular.
Mereka namakan golongan ini sebagai kumpulan Erdogan, sempena nama
pemimpin gerakan Islam Turki hari ini.
Janda politik
Baiknya sudut pandangan ini ialah,
Utusan dan pemimpin Umno
berkenaan mengaku bahawa golongan sekular memang boleh ditundukkan seperti yang
berlaku di Turki dan dalam iklim politik Malaysia yang sekular ialah Umno.
Cuma cop kumpulan Erdogan ini digunakan untuk
menakut-nakutkan orang Melayu yang belum celik perubahan sejarah, betapa Umno
yang sekular akan tersungkur dalam pilihan raya umum akan datang.
Ada juga yang tiba-tiba menafsirkan pemilihan itu sebagai kejayaan DAP
menyempurnakan penguasaannya terhadap parti berteraskan perjuangan Islam dan
Melayu itu. Seorang yang mempunyai pemikiran liar begitu ialah, janda politik,
yang menjadi wakil rakyat tetapi tidak mempunyai parti selepas diceraikan oleh
PKR.
Entah ilmu mantik apa yang digunakannya, kesimpulan beliau
bahawa DAP kini sudah menguasai PAS ternyata ucapan seorang yang “meroyan”.
PAS dengan DAP kini merintis jalan mencari lebih banyak titik persamaan –
menumbangkan Umno-BN – dan tidak timbul soal siapa menguasai siapa. Namun tidak
sukar difahami pemikiran Zulkifli yang sempit kerana telah terlalu lama hidup
bersendirian sebagai seorang “janda politik”.
Mungkin dengan bercakap betapa PAS terlepas peluang
pimpinan ulama, Zulkifli berharap ada ulama yang menaruh belas kasihan dan
melamarnya untuk masuk PAS seperti Ibrahim Ali yang tidak berparti tetapi
diambil PAS untuk menjadi anak angkat dan disokong bertanding pilihanraya umum
ke-12 lalu. Namun bila golongan profesional memimpin PAS, peluang ini tertutup
sama sekali. Kasihan Zulkifli si-janda politik.
Diterima di akhirat Apa jua logik yang
digunakan untuk menafsirkan pemilihan lebih ramai profesional dalam barisan
pimpinan PAS itu, ternyata dibuat dari lubuk hati yang cemas dan menghasilkan
komen yang kalut dan dangkal.
Pengkagum Umno, Syed Azidi Abdul Aziz yang menggunakan nama
samaran Kickdefella dalam blognya, menyatakan bahawa bagi rakyat Malaysia
beragama Islam, pertembungan PAS dan Umno pada masa hadapan bukan lagi untuk
memilih syurga dan neraka di akhirat, tetapi syurga dan neraka di dunia
mereka.
Jelas betapa sempitnya kefahaman Islam Kickdefella ini. Mungkin
beliau tidak faham bahawa kebaikan dan keadilan yang dilaksanakan di dunia ini
akan menentukan ganjaran apa yang diterima di akhirat. Sebab itu PAS mahu
menegakkan negara berkebajikan untuk kebaikan umat di dunia demi mendapat
ganjaran syurga di akhirat!
Sukar hendak pastikan pandangan insan
sebegini sama ada ia bebal, jahil atau semata-mata kerana pintu hati sudah
tertutup daripada mengenali kebenaran.
Pandangan
yang meragu-ragukan seumpama ini dikutip oleh Utusan daripada Mufti Perlis, Dr
Juanda Jaya. Beliau dilaporkan sebagai mencabar PAS supaya segera menjelaskan
pengertian negara berkebajikan dan tidak meninggalkan rakyat tertanya-tanya
apakah pengertian negara Islam yang sebelum ini hendak diperjuangkan oleh
PAS.
Penghinaan dayafikir Melayu-IslamJika
benar itu yang dikatakan oleh Dr Juanda, maka ternyata beliau pun tidak jauh
daripada kelompok Kickdefella. Cuma jika benar Dr Juanda berkata demikian, maka
dia sendiri seharusnya tahu apa hukumnya iaitu, tugas seorang mufti seharusnya
turut mengimarahkan konsep negara berkebajikan ke cuping telinga
pemimpin-pemimpin Umno beragama Islam dan bukan cuba menanam kesangsian di
kalangan rakyat mengenai konsep negara berkebajikan itu.
Namun Awang Selamat, jaguh
Utusan, seperti biasa
cuba melontarkan sudut pandang yang negatif terhadap sesiapa sahaja yang cuba
mencabar Umno. Kini apabila PAS melangkah untuk membuktikan dinamisme
politiknya,
Utusan meratapi kekurangan bilangan kepemimpinan ulama
dalam PAS.
Memang sikap hipokrit. Ini kerana apabila PAS dipimpin ulama,
mudah bagi Utusan menggambarkan betapa ulama tidak arifnya kepemimpinan PAS
dalam banyak hal tatakelola kerajaan dan isu antarabangsa.
Ini memang
alur pemikiran umno. Jika rakyat terus dibebalkan dengan hiburan dan kemunduran
ekonomi, ia beranggapan bahawa rakyat, khususnya melayu, akan terus bergantung
harap kepada Umno untuk memelihara dan memperjuangkan nasib dan masa depan
ekonomi mereka.
Maka
Utusan dan media pro-Umno menggunakan logik ini dalam menafsirkan apa
yang berlaku dalam PAS. Ternyata andaian atau gagasan pemikiran ini salah,
zalim. Malah ia satu penghinaan terhadap dayafikir orang Melayu-Islam yang
membuat dalam keputusan memilih barisan pimpinan baru PAS.
Sebenarnya, apa yang ditakuti ialah golongan profesional Islam ini akan
berhasil meneraju PAS diterima setiap lapisan rakyat Malaysia dan menggantikan
Umno!
ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya
mencerminkan pendirian kami.