Translate

17 Jun 2011

Pilihan raya masjid Pulau Pinang ditangguhkan atas titah Agong


Pemilihan jawatankuasa kariah masjid di Pulau Pinang yang dijadualkan diadakan pada esok dan lusa ditangguhkan buat sementara waktu sehingga satu keputusan rasmi dibuat.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Abdul Malik Abul Kassim, penangguhan itu dibuat selepas Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) Ellias Zakaria menghadap Yang di-Pertuan Agung Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara pagi tadi.

“Saya telah diberitahu melalui telefon oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang bahawa hasil daripada satu pertemuan yang telah diadakan di Istana Negara pagi ini, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan pemilihan jawatankuasa kariah masjid ditangguhkan buat sementara waktu.

“Oleh yang demikian pemilihan yang dijadulkan pada esok dan lusa ditangguhkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemilihan jawatankuasa kariah masjid yang julung kali diadakan itu menggunakan kaedah pilihan raya.

Kaedah yang digunakan kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu dikritik pemimpin-pemimpin Umno.

Tambah Abdul Malik, MAIPP akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan perkara itu.

Laporan Bernama Online menyebut seramai 4,485 calon telah menawarkan diri untuk mengisi 4,530 jawatan di 151 daripada 200 masjid di Pulau Pinang dalam pemilihan jawatankuasa kariah masjid yang pertama kali diadakan.

Abdul Malik sebelum ini berkata pengundian akan berlangsung semasa mesyuarat agung masjid-masjid esok dan 34 buah masjid tidak akan mengadakan pemilihan kerana anak-anak kariahnya telah mengadakan kompromi manakala lapan buah lagi tidak menghantar borang pencalonan selepas pencalonan ditutup pada 7 Jun.

Menurut laporan itu juga, Abdul Malik juga berkata pilihan raya masjid itu menepati Seksyen 22 (4) Enakmen Majlis Agama Islam Pulau Pinang. 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

4U2C Posts

News Story

SELSEMA