Translate

25 November 2011

'Transformasi' Najib Menuju Diktator

Akta Perhimpunan Aman yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, kelmarin, jelas bertujuan untuk menghalang himpunan diadakan oleh rakyat negara ini.

Realiti itu terserlah apabila di dalam akta tersebut dikenakan pelbagai syarat yang tidak munasabah untuk membolehkan rakyat negara ini mengadakan perhimpunan berbanding kawalan sedia ada di bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967. 

Pengarah Jabatan Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia (Juham), Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi berkata, akta itu hanyalah mempunyai nama yang menarik, tetapi hakikatnya Kerajaan BN secara jelas mencabul hak rakyat untuk berhimpun. 

Menurut beliau, jika di bawah Akta Polis 1967, sekurang-kurangnya hanya perhimpunan di tempat awam yang dikenakan permit, tetapi di bawah akta baru ini mensyaratkan semua perhimpunan walaupun di premis persendirian atau disewa perlu diberikan notis makluman awal kepada polis 30 hari sebelum tarikh himpunan yang dicadangkan itu hendak dibuat.

Katanya, Seksyen 9(5) Akta itu pula membenarkan polis mendenda penganjur sehingga RM10,000.00 sekiranya tiada notis awal diserahkan kepada polis sebelum perhimpunan tersebut diadakan. 

"Peruntukan itu amatlah tidak munasabah kerana kebanyakan himpunan aman rakyat adalah berkaitan dengan isu-isu semasa yang berlaku dan memerlukan tindakan yang segera," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini. 

Itulah prinsip demokrasi dan hak asasi rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, menurutnya, tetapi malangnya hak-hak yang masih berbaki sedikit itupun cuba dihapuskan sepenuhnya oleh kerajaan Umno (Barisan Nasional). 

"Inikah transformasi yang dibangga-banggakan oleh Perdana Menteri atau transformasi yang dibuat hanya untuk mengubah negara menjadi negara diktator dan kuku besi?" ujarnya. 

Akta baru itu juga, tegasnya, melarang individu di bawah umur 21 tahun untuk berhimpun secara aman dan ini tentulah merujuk secara khusus kepada para mahasiswa dan mahasiswi di institusi pengajian tinggi negara. 

"Sudahlah para mahasiswa dikongkong teruk oleh AUKU, sekarang akta drakonian yang baru diperkenalkan ini pula meragut terus hak-hak asasi mereka untuk berhimpun dan menyuarakan pendapat secara aman. 

"Kerajaan BN benar-benar memperlekeh dan memperbodohkan terus keintelektualan para mahasiswa dan mahasiswi kita," tambah beliau. 

Manakala Seksyen 21(3) akta itu, tegasnya, membenarkan polis mendenda pihak yang ditangkap sehingga RM20,000.00, jumlah yang sangat tidak munasabah berbanding RM2000.00 sekarang, sedangkan kesalahan berhimpun bukanlah satu kesalahan jenayah yang serius. 

Katanya, banyak lagi peruntukan lain yang tidak munasabah dimasukkan di dalam akta baru itu, manakala segala kelemahan yang berlaku itu disebabkan sikap ego kerajaan yang enggan mendengar pendapat ramai supaya segala undang-undang baru yang hendak digubal yang berkaitan hak-hak asasi rakyat patut dirunding secara konsultasi bersama.

Juham mengecam Akta Perhimpunan Aman 2012 dan berpandangan akta tersebut hanya seperti menanam tebu di tepi bibir, manis di mulut tetapi hakikatnya membawa bencana dan mala petaka besar kepada hak-hak asasi rakyat untuk berhimpun secara aman seperti yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

"Akta ini jelas mengongkong kebebasan rakyat untuk berhimpun dengan sekatan dan syarat-syarat yang amat zalim, tidak munasabah dan tidak pernah difikirkan oleh rakyat yang waras," tegasnya. 

Juham menggesa agar kerajaan menarik balik akta itu dengan segera dan berunding dengan rakyat terlebih dahulu sebelum memperkenalkan apa-apa undang-undang yang zalim seperti itu dan menyekat kebebasan rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara.

24 November 2011

PM bentang usul tarik balik perisytiharan darurat



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan membentangkan usul di Dewan Rakyat hari ini untuk menarik balik tiga perisytiharan darurat yang masih berkuat kuasa selepas lebih daripada 40 tahun ia digubal.

Perisytiharan darurat itu adalah:
  • Perisytiharan Darurat 1966 di Sarawak bagi menyelesaikan pertikaian politik di negeri itu.
  • Perisytiharan Darurat 1969 di Persekutuan bagi menamatkan rusuhan di antara orang Melayu dan bukan Melayu pada 13 Mei 1969.
  •  Perisytiharan Darurat 1977 di Kelantan bagi menyelesaikan pertikaian politik ketika di bawah pemerintahan PAS.
Speaker Pandikar Amin Mulia semasa menangguhkan persidangan Dewan Rakyat malam semalam berkata usul berkenaan akan dibentangkan selepas sesi soalan pagi ini. Ia susulan selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 (Bajet 2012) lewat malam tadi.
Undang-undang yang masih berkuatkuasa itu membolehkan polis menggunakan kuasa-kuasa khas yang diperuntukkan dalam Ordina Darurat bagi menangkap dan menahan orang ramai tanpa perlu dibicarakan.
najib special address malaysia day 150911Najib pada malam 15 September lalu sempena perutusan Hari Malaysia, mengumumkan keputusan kerajaan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Buang Negeri 1959 yang dianggap tidak lagi relevan hari ini.

Katanya, kerajaan juga akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

23 November 2011

Ibrahim Ali mahu kem tentera dibina di Pasir Mas

Ahli parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali hari ini mahu kem tentera dibina di kawasan Pasir Mas, dengan membayangkan bahawa ia akan meningkatkan bilangan pengundi 'mesra BN' di situ.

NONE"Jika satu batalion pun, itu ramai pengundi tu. Serampang dua mata.
Binalah sekarang untuk menjamin keselamatan negara. Sediakan payung sebelum hujan," katanya ketika membahaskan peruntukan Kementerian Pertahanan di peringkat jawatankuasa Rang Undang-undang Bajet 2011 di Dewan Rakyat.

Ibrahim berhujah bahawa Pangkalan Tentera Briged Kelapan di Desa Pahlawan, dekat Pasir Mas di Kelantan, tidak terletak di tempat yang betul.

"Ancaman sebenarnya di sempadan dengan Thailand. Di mana Pasir Mas bertemu Rantau Panjang. Di situlah berlakunya penyeludupan, dengan dadahnya," katanya.

Beliau bertanya sama ada kementerian berkenaan mempunyai rancangan untuk memindahkan kem tersebut atau membina satu lagi di kawasan pilihan rayanya, dengan peringatan tersirat kepada kerajaan persekutuan bahawa satu batalion tentera akan bermakna sejumlah besar pengundi dari kalangan anggota tentera untuk BN .

Pakatan Rakyat telah menyuarakan kebimbangan mengenai penyalahgunaan undi pos oleh pengundi di kalangan anggota tentera dan pasangan mereka untuk meningkatkan sokongan kepada BN.

Ini merupakan salah satu kebimbangan yang dibangkitkan kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai reformasi pilihan raya.

'Serban pun boleh terbang'

azlanIbrahim juga menggesa supaya pangkalan kecil Tentera Laut Diraja Malaysia di tempatkan di Kelantan, yang berdepan dengan Laut
China Selatan, dan antara lain, berdepan dengan masalah pelarian Vietnam.

"Bila Jepun takluk kita dulu, mereka datang dari Kelantan, naik kat pantai di Kota Bharu...Tapi hari ini di Kelantan tak ada pertanahan."

Sehubungan itu, Ibrahim menggesa Kementerian Pertahanan menggunakan kapal selam Scorpene bagi meredakan modal politik PAS, yang konsisten mengkritik pembeliannya.

"Hantar satu kapal selam Scorpene ke Kelantan. Saya jamin yang beribu orang akan keluar tengok. Dan jika boleh biar saya bagi syarahan dari atas kapal Scorpene. Untuk bagi penerangan umum."


"Mereka telah selalu dengar PAS berceramah, yang Scorpene ini harganya berbillion dan tak boleh nak selam pun.

"Menteri Besar pun boleh tengok... kemungkinan seban pun boleh terbang bila tengok scorpene ni."

22 November 2011

Bekas penari istana saman Presiden Indonesia Rp7 bilion

Seorang wanita bekas penari Istana Presiden di era pemerintahan Presiden Soekarno menyaman Kerajaan Indonesia masa kini atas dakwaan negara telah melayani beliau secara diskriminatif selama puluhan tahun kesan daripada Gerakan 30 Sept Parti Komunis Indonesia (PKI) 1965, yang juga dikenali sebagai Gestapu.

Nona Nani Nurani, 70, yang menjadi penari di Istana Cipanas, Cianjur, Jawa Barat, pernah dipenjara tujuh tahun kerana dituduh menyokong PKI, setelah dia menari di satu acara ulang tahun PKI pada 1965.

Dia mendakwa cuma menari di acara itu dan bukan kader PKI, namun telah  dipenjarakan pada 23 Disember 1968 tanpa proses perbicaraan dan hanya dibebaskan  pada 19 November 1975, lapor harian Media Indonesia.

Atas dasar perjuangan dan penderitaan selama puluhan tahun itu, Nani memberanikan diri untuk menyaman Kerajaan Indonesia, yang dianggap telah merugikan dan merendahkan harakat dan martabatnya, demikian laporan Bernama Online hari ini.

Dalam samannya, Nani menuntut ganti rugi material sebanyak Rp7.46 bilion dan gantirugi bukan material sebanyak Rp30 juta, kata laporan itu.

Perbicaraan kes saman di Mahkamah Daerah Jakarta Pusat itu, bermula semalam. Saman terhadap negara itu dibuat melalui Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Peguam Nani, Andi Muttaqien dipetik sebagai berkata bahawa anak guamnya telah diperlakukan sewenang-wenangnya oleh kerajaan selama puluhan tahun, termasuk dipenjara tujuh tahun tanpa alasan jelas dan seumur hidup merasakan penderitaan akibat stigma negatif PKI.

Andi berkata layanan diskriminatif oleh kerajaan itu merupakan pelanggaran hak asasi manusia, yang dilakukan tanpa alasan jelas.

Laporan itu menyebut bahawa Nani belum mendapat hak untuk menjalani kehidupan sebagaimana yang dinikmati warga lain, sejak dibebaskan dari penjara.

Selama puluhan tahun sejak era Order Baru hingga era reformasi, Nani telah berjuang mendapatkan status sebagai penduduk tetapi belum memiliki kad pengenalan (KTP) bagi mengesahkan status kependudukannya.

Beliau pernah menyaman Penghulu Mukim Koja, Jakarta Utara pada 2003 kerana tidak mahu mengeluarkan KTP atas nama dirinya dan mahkamah memberi kemenangan kepada beliau dalam kes saman itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

4U2C Posts

News Story

SELSEMA