Translate

22 November 2011

Bekas penari istana saman Presiden Indonesia Rp7 bilion

Seorang wanita bekas penari Istana Presiden di era pemerintahan Presiden Soekarno menyaman Kerajaan Indonesia masa kini atas dakwaan negara telah melayani beliau secara diskriminatif selama puluhan tahun kesan daripada Gerakan 30 Sept Parti Komunis Indonesia (PKI) 1965, yang juga dikenali sebagai Gestapu.

Nona Nani Nurani, 70, yang menjadi penari di Istana Cipanas, Cianjur, Jawa Barat, pernah dipenjara tujuh tahun kerana dituduh menyokong PKI, setelah dia menari di satu acara ulang tahun PKI pada 1965.

Dia mendakwa cuma menari di acara itu dan bukan kader PKI, namun telah  dipenjarakan pada 23 Disember 1968 tanpa proses perbicaraan dan hanya dibebaskan  pada 19 November 1975, lapor harian Media Indonesia.

Atas dasar perjuangan dan penderitaan selama puluhan tahun itu, Nani memberanikan diri untuk menyaman Kerajaan Indonesia, yang dianggap telah merugikan dan merendahkan harakat dan martabatnya, demikian laporan Bernama Online hari ini.

Dalam samannya, Nani menuntut ganti rugi material sebanyak Rp7.46 bilion dan gantirugi bukan material sebanyak Rp30 juta, kata laporan itu.

Perbicaraan kes saman di Mahkamah Daerah Jakarta Pusat itu, bermula semalam. Saman terhadap negara itu dibuat melalui Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Peguam Nani, Andi Muttaqien dipetik sebagai berkata bahawa anak guamnya telah diperlakukan sewenang-wenangnya oleh kerajaan selama puluhan tahun, termasuk dipenjara tujuh tahun tanpa alasan jelas dan seumur hidup merasakan penderitaan akibat stigma negatif PKI.

Andi berkata layanan diskriminatif oleh kerajaan itu merupakan pelanggaran hak asasi manusia, yang dilakukan tanpa alasan jelas.

Laporan itu menyebut bahawa Nani belum mendapat hak untuk menjalani kehidupan sebagaimana yang dinikmati warga lain, sejak dibebaskan dari penjara.

Selama puluhan tahun sejak era Order Baru hingga era reformasi, Nani telah berjuang mendapatkan status sebagai penduduk tetapi belum memiliki kad pengenalan (KTP) bagi mengesahkan status kependudukannya.

Beliau pernah menyaman Penghulu Mukim Koja, Jakarta Utara pada 2003 kerana tidak mahu mengeluarkan KTP atas nama dirinya dan mahkamah memberi kemenangan kepada beliau dalam kes saman itu.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

4U2C Posts

News Story

SELSEMA