Selepas kejayaan "KL Gangster" yang berjaya mendapat kutipan hampir mencecah RM12 juta, Syamsul Yusof yang sebelum ini terkenal dengan filem bercorak aksi kini tampil dengan genre berbeza iaitu komedi romantik untuk filem terbarunya berjudul "Aku Bukan Tomboy".
Mengangkat isu tomboy dan pengkid, penerbit dan penulis skrip asal Dato' Yusof Haslam memberitahu Skop Productions Sdn. Bhd. ingin mempelbagaikan genre filem dan mengupas kisah kehidupan serta isu semasa.
"Ketika zaman remaja, saya pernah bergaul dan suka kepada gadis tomboy. Saya pasti kita ingat kebanyakan tomboy adalah seorang yang lasak dan ganas. Namun karakter asal mereka tetap wanita asli. Ia juga adalah kisah kehidupan yang sentiasa ada di sekeliling kita. Memandangkan umur saya tidak sesuai untuk mengarah filem berkisarkan isu ini, saya serahkan kepada Syamsul untuk mengarahnya mengikut citarasa zaman sekarang.
"Kita hasilkan filem ini bukan bertujuan untuk memperlekehkan sesiapa tetapi ia mempunyai mesej yang tersendiri iaitu jangan menilai seseorang hanya pada luarannya sahaja. Setiap manusia mempunyai perasaan tidak kira dia bersifat tomboy, pengkid dan sebagainya," jelas Dato' Yusof Haslam ketika majlis tayangan perdana "Aku Bukan Tomboy" yang berlangsung di GSC Mid Valley baru-baru ini.
"Aku Bukan Tomboy" mengisahkan seorang gadis tomboy yang dibesarkan oleh bapanya selepas kehilangan ibu tercinta sejak kecil. Walaupun bersifat kasar, dia menyimpan hati kepada seorang jejaka seperti gadis normal yang lain. Tanpa disedari, dia terlibat dalam percintaan tiga segi di antara dua jejaka.
Selain memegang tugasan mengarah, Syamsul Yusof turut tampil sebagai peneraju utama di samping Scha Al-Yahya, Shaheizy Sam, Harun Salim Bachik dan Salina Saibi.
"Aku Bukan Tomboy" akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei pada 17 November 2011.