Selepas tiga hari berada di Turki untuk melihat dari dekat perjalanan dan
strategi kempen parti AK di Turki, rombongan hari ini berkemas-kemas untuk
pulang.
Lima delegasi telah berlepas pulang 13 Jun, sehari selepas
pilihan raya, manakala hari ini lima lagi anggota akan berlepas pulang ke
Malaysia.
Banyak yang dapat dipelajari dari AK parti untuk membolehkan
PAS, PKR dan DAP juga menempah kemenangan yang sama di Malaysia.
"Bagi
saya, terlalu banyak perkara yang kita boleh pelajari dalam pilihan raya ini dan
perlu kita laksanakan. Sebaik saja pulang ke Malaysia, saya akan pastikan
perkara ini sampai kepada pimpinan PKR untuk dilaksanakan," kata Saifudin
Nasution Ismail, Setiuasaha Agung PKR sebelum berlepas pulang 13
Jun.
Turut pulang bersama beliau adalah Dr Siti Mariah Mahmud, Nasir
Mustafa, Datuk Johari Abdul dan juga Nurul Izzah Anwar.
"Saya akan
membuat beberapa cadangan kepada PAS untuk dilaksanakan menjelang pilihan raya
akan datang," kata Dr Mariah Mahmud. Sessi lepas, Dr Mariah adalah timbalan
pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.
Selepas melihat dari dekat
strategi dan pendekatan kempen AKP, ada beberapa perkara pokok yang perlu
dipertimbangkan dan wajar dilaksanakan oleh PAS khasnya untuk memenangi hati
rakyat Malaysia menjelang pilihan raya ke 13 nanti.
Pertama, kempen ini mesti inklusif atau memasukkan semua orang dalam
sasaran. Benar PAS parti Islam tetapi Islam hendaklah dijelmakan untuk memimpin
semua pihak, Islam dan bukan Islam. Di Turki, AK disenangi semua pihak. Yang
mahukan Islam menyokong AKP, yang sudah jauh dari Islam juga menyokong AKP.
Kami berjumpa dengan seorang pemain bola sepak semi pro Turki ketika
membeli CD lagu Turki untuk dibawa pulang ke Malaysia. Kebetulan dikedai itu,
dia yang boleh berbahasa Inggeris. Apabila diberitahu kami mencari lagu tema
kempen AK yang dicipta khas untuk pilihan raya ini, beliau sibuk sekali cuba
mendapatkannya. Perkenalan itu menjadi sangat mesra kerana mengetahui kami
menyokong AKP.
Seorang penyokong Saadet, Hassan, juga menjangkakan AKP
akan menang besar dalam pilihan raya ini. Ini kerana, beliau akui orang ramai
suka dengan cara AK. Yang kuat Islamnya suka kerana AK sangat tegas
mempertahankan nilai-nilai Islam manakala yang sudah terungkai Islamnya dek
lamanya Turki dibawah sekular, senang dengan pendekatan terbuka AKP.
Yang
kuat Islam sangat terpaku dengan ketegasan Raccip Toyyib Erdogan memperjuangkan
hak untuk wanita Islam memakai pakaian yang menutup aurat sebagaimana isteri
beliau hatta di universiti dan majlis rasmi kerajaan yang selama ini dihalang
oleh undang-undang Turki.
Mereka juga terkesima dengan cara Erdogan
melayan Presiden Israel, Shimon Peres, dalam Forum Ekonomi Dunia di Davos
beberapa tahun lalu. Gambar Erdogan menunding jari kepada Peres dan video
peristiwa itu menjadi bahan kempen utama AKP dalam pilihan raya ini.
Yang sudah jauh dari Islam juga menerima AKP. Ketika AKP
memperjuangkan hak untuk wanita Islam memakai tudung, parti itu juga memberikan
peluang kepada wanita yang tidak bertudung untuk menjadi calon mereka. Mungkin
PAS tidak perlu melakukan hal ini di Malaysia namun keterbukaan mereka
memberikan makna besar kepada rakyat Turki.
Cara kempen Turki juga
berjaya membawa golongan muda dan seluruh keluarga untuk bersama mereka. Lebih
80 peratus pihak yang meraikan kemenangan AKP 12 Jun lalu adalah golongan muda
yang datang bersama keluarga mereka.
Ketika berkempen begitu juga. Ramai
sekali golongan ini bersama berarak di jalan raya (walk about) bersama
calon-calon AKP. Ketika berkumpul di sebuah taman untuk mendengar ucapan, ia
juga dipenuhi anak-anak muda.
Pemimpin AKP sendiri mendekati mereka
bukannya diserahkan kepada pemimpin muda sahaja. Lagipun, suasana yang
dihasilkan dalam kempen juga menggamit anak muda dan keluarga untuk turut
bersama dalam kempen itu.
Pendekatan kempen mereka bukan pentas ceramah
semata tetapi berkumpul di taman, berjalan di kawasan perumahan dengan diiringi
muzik yang sesuai dan sebagainya.
Pendekatan kempen AKP
juga bercorak 'lihat dan percaya'. Melalui pendekatan ini, bahan-bahan kempen
AKP juga lebih bercorak gambar yang besar-besar. Gambar-gambar besar tanpa
perkataan ini di pasang di merata-rata tempat khasnya di pejabat-pejabat
AKP.
Jentera kempen utama AKP adalah van yang dibaluti dengan gambar
bahan kempen parti mereka. Van-van ini disewa untuk tempoh kempen ini sahaja.
Pendekatan ini menyebabkan AKP boleh dilihat di merata tempat. Untuk Istanbul
sahaja, AKP mempunyai lebih 300 buah van. Setiap calon anggota Parlimen mereka
akan mempunyai sekurang-kurangnya dua buah van semacam ini.
Van ini pula
dipantau pergerakan mereka dengan GPRS. Hasilnya, pergerakan jentera mereka ini
dapat dilihat dengan jelas di ibu pejabat mereka.
Selain gambar kempen
membaluti van ini, ia juga dilengkapkan dengan pembesar suara yang memasangkan
lagu-lagu AKP sepanjang kempen mereka.
Dalam kempen ini, AKP banyak
memaparkan kejayaan yang dibuat oleh mereka sepanjang lapan tahun pentadbiran
AKP bermula 2002 lalu. Mereka bandingkan setiap perkara dari pendidikan,
kesihatan, pengangkutan, ekonomi dan sebagainya. Perbandingan dibuat antara
'Nereden' (dahulu) dan 'Nereye' (kini) dalam bentuk gambar, grafik dan angka
yang besar, jelas dan terang.
Kami yakin, ini perkara utama yang perlu di
buat oleh negeri-negeri Pakatan Rakyat iaitu Kelantan, Selangor, Pulau Pinang
dan Kedah.
Untuk
peringkat nasional juga boleh dibuat iaitu dengan membanding Malaysia dahulu dan
kini selepas 50 tahun di perintah oleh Umno dan Barisan Nasional.
Oleh
kerana media di Turki adalah bebas tanpa kongkongan parti politik yang
memerintah, semua parti boleh berkempen melalui media samada tv, akhbar atau
dalam bentuk banner-banner besar.
Hasilnya, tidak banyak dirasai
kehangatan kempen di jalan-jalan raya Turki tetapi ia sangat hangat di media.
Memandangkan Malaysia tidak menikmati kebebasan sebegini, ia agak sukar
dilakukan. Namun begitu, Pakatan perlu juga mengambil pendekatan ini dengan
membeli ruang-ruang iklan di media yang agak bebas untuk menyampaikan
mesejnya.
Pendekatan tulisan yang banyak sudah ketinggalan. Manifesto
perlu dipaparkan dalam bentuk gambaran bukan tulisan yang banyak lagi. lihat dan
percaya (Seing is beliving) perlu dipraktikkan sepenuhnya dalam kempen era moden
dan tanpa sempadan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan