Translate

09 Disember 2011

Zaid Ibrahim saman editor, penerbit Buletin Rakyat


Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ibrahim memfailkan saman fitnah berjumlah RM30 juta terhadap seorang penulis, pengarang dan penerbit akhbar Buletin Rakyat berhubung penerbitan satu artikel.
Zaid, yang kini Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), memfailkan saman itu menerusi Tetuan Bashir & Co pada 21 November lalu di Mahkamah Tinggi di sini.
Beliau menamakan penulis artikel Mohd Sayuti Omar, pengarang akhbar Norzah Kepol dan penerbit yang juga pemilik akhbar itu, Kantung Network Sdn Bhd, sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Dalam pernyataan tuntutannya, Zaid mendakwa penerbitan artikel bertajuk “Zaid Terus Hanyut Dalam Keegoannya” telah memfitnah dan membawa maksud bahawa beliau memiliki moral politik yang rendah, seorang yang ego, bersikap autokratik, menggunakan kekayaan untuk memaksa orang tunduk kepadanya dan tidak memiliki ketinggian budi pekerti.
Zaid menuntut satu perintah menghalang kesemua defendan daripada menerbitkan kata-kata fitnah berkenaan di dalam akhbar dan internet, satu perintah supaya defendan mengambil langkah menarik balik atau memadamkan kata-kata fitnah itu dan defendan perlu menerbitkan atau menyiarkan permohonan maaf di akhbar itu secara berterusan selama dua bulan atau tempoh yang dianggap wajar oleh mahkamah.
Laporan Bernama Online menyebut, beliau turut menuntut ganti rugi am RM10 juta daripada setiap defendan, ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.
Selain itu, pada tarikh yang sama Zaid turut memfailkan satu injunksi untuk menghalang ketiga-tiga defendan daripada menerbitkan kata-kata fitnah tersebut dan memohon perintah interim supaya defendan mengambil langkah menarik balik atau memadam kata-kata berkenaan yang terdapat di akhbar dan internet dengan serta merta.
Sementara itu hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Datin Zabariah Mohd Yusof yang mendengar kes itu di dalam kamar menetapkan 14 Disember untuk pengurusan kes.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

4U2C Posts

News Story

SELSEMA