Translate

04 Disember 2011

Tuduhan Jahat Barat Terhadap Iran.

PELAJAR-pelajar wanita mempamerkan sepanduk 'Kedutaan Pengintip Ditutup Selamanya' dan gambar Ayatollah Ali Khamenei dan Ayatollah Khomeini semasa menyambut ketibaan diplomat Iran dari London di Teheran, semalam. - AFP


LONDON 3 Dis. - Duta Britain ke Iran, Dominick Chilcott mendakwa insiden serangan ke atas pejabat kedutaan Britain di Teheran pada Selasa lalu mendapat sokongan daripada pemimpin-pemimpin Iran.

Beliau yang kini telah dipanggil pulang ekoran insiden itu berkata, serangan seperti itu hanya akan berlaku jika ia mendapat kebenaran daripada pemimpin negara itu.

"Iran bukanlah sebuah negara di mana demonstrasi secara spontan bertukar menjadi ganas dan kemudiannya menyerang kedutaan asing.

"Tindakan sepantas itu hanya boleh berlaku jika mendapat kebenaran dan sokongan daripada kerajaan negara itu," katanya kepada media Britain di London, semalam.

Sementara itu, diplomat-diplomat Iran yang diusir dari London akibat insiden serangan tersebut tiba di Teheran awal hari ini.

Ketibaan kumpulan diplomat itu bagaimanapun cuba disembunyikan daripada penglihatan media yang menunggu kedatangan mereka, dengan dibawa melalui koridor belakang di Lapangan Terbang Antarabangsa Teheran.

Menurut jurugambar AFP, kira-kira 150 pelajar yang berhimpun menunggu ketibaan diplomat itu sambil memekik 'Mati untuk Britain' dan memegang kalungan bunga tidak menyedari kehadiran kumpulan tersebut.

Kumpulan diplomat itu diusir dari London semalam, ekoran insiden keganasan di kedutaan Britain dan kediaman diplomatik di Teheran pada Selasa lalu yang dilancarkan oleh beratus-ratus penunjuk perasaan pro-rejim Iran.

Britain yang memindahkan semua diplomatnya dari Teheran untuk keselamatan mereka selepas serangan itu turut menutup kedutaannya dan mengarahkan Iran melakukan perkara sama.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Ramin Mehmanparast yang berada di lapangan terbang untuk menyambut ketibaan diplomat tersebut berkata, pihaknya kecewa negara-negara Kesatuan Eropah (EU) lain turut mengambil tindakan yang menyokong Britain.

"Britain kini cuba melibatkan negara Eropah lain dalam isu ini, tetapi kami telah memberitahu negara EU lain supaya tidak merosakkan hubungan dengan Iran hanya kerana Britain," katanya kepada agensi berita Fars.

Perancis, Jerman, Belanda dan Itali telah memanggil duta mereka di Teheran bagi menunjukkan sokongannya kepada Britain.

EU pula mengetatkan sekatan ke atas Iran dan memberi amaran akan mengenakan sekatan lebih kuat terhadap sektor kewangan dan minyak negara ini. - AFP

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

4U2C Posts

News Story

SELSEMA