Translate

06 Disember 2011

Lesapkan Wang Rakyat Tetapi Salahkan DAP

Orang Melayu diingatkan agar tidak terpengaruh dengan politik kotor Umno yang menggunakan DAP sebagai modal untuk menakut-nakutkan mereka, sebaliknya perlu sedar dengan salah guna kuasa dan penyelewengan wang rakyat yang dilakukan parti itu.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, Umno dalam perhimpunan agungnya minggu lalu secara tidak langsung mengakui sudah tidak mampu menarik sokongan orang Melayu kerana urus tadbir negara yang semakin lemah di bawah pemerintahan mereka.

Justeru, Umno terpaksa menuduh DAP akan lebih berkuasa dan mengambil hak orang Melayu jika orang Melayu menyokong Pakatan Rakyat.

"Saya nak ingatkan orang Melayu, jangan sampai kita takut kepada DAP, RM250 juta hilang dalam NFC (Perbadanan Fidlot Negara), takut dengan DAP, RM52 bilion saham bumiputera tinggal RM2 bilion, takut dengan DAP akhirnya RM1.8 bilion diberi kepada Tajudin Ramli (bekas Pengerusi Syarikat Penerbangan Malaysia-Mas), takut dengan DAP, berlaku skandal dalam wang PPRT RM32 bilion oleh menteri Umno," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.

Tambah Mahfuz, Umno terpaksa menarik sokongan orang Melayu yang semakin menurun bagi membolehkan mereka terus memerintah dan mengumpul kekayaan untuk  kroni mereka.

"Umno gunakan DAP untuk takutkan Orang Melayu, tapi dalam masa yang sama terus memunggah khazanah negara untuk kroni mereka," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Menurut beliau juga, perhimpunan agung Umno juga membuktikan parti itu masih takut memberi ruang yang sepenuhnya kepada perwakilan untuk membincangkan soal integriti kepimpinannya.

"Awal-awal lagi Ketua Polis Negara keluarkan kenyataan tak berlaku pecah amanah dalam NFC yang dimiliki suami (Datuk Seri) Shahrizat (Jalil). Ini hanya untuk mengelakkan huru hara dalam perhimpunan agungnya.

"Bila ada kenyataan daripada Ketua Polis Negara, perwakilan tak bangun persoal soal NFC tapi saya yakin Orang Melayu mempunyai pendirian yang sama iaitu mempersoal dan mempertikai kepimpinan Umno," katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

4U2C Posts

News Story

SELSEMA