"Seronok itu sementara, sengsara selama, lama, lama,
lama, lama...." begitulah mesej daripada Suhaimi Ahmad, Pengarah
Rekreasi Pengasih, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengendalikan
pusat pemulihan penagih dadah terkemuka di negara ini, kepada mereka
yang tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah atau tidak mengetahui
masalah berkaitan gejala itu.
"Ia merosakkan struktur keluarga, merosakkan struktur masyarakat. Anda akan merasa terbuang, anda akan merasakan kesunyian.
"Jadi ingat, jauhi dadah. Seronok itu sementara, sengsaranya sampai ke
liang lahad. Itu sahaja pesanan saya," kata Suhami, yang juga bekas
penagih dadah tegar sebelum kehidupannya diselamatkan oleh Pengasih dan
kini menjadi seorang daripada orang kanan di NGO berkenaan.
Beliau bergelumang dengan penagihan dadah selama 22 tahun dan telah
bersih daripada gejala itu selama 18 tahun sejak menjalani rawatan dan
pemulihan di Rumah Pengasih di Bukit Tunku di tengah-tengah ibu negara
ini dan kini menabur khidmat bakti kepada mereka yang senasib dengannya
di suatu masa dahulu.
Suhaimi dalam temu ramah dengan Bernama berkata: "Memang betul
masyarakat mengatakan penagih dadah itu sampah. Memang betul. Tetapi di
kota seperti Kuala Lumpur ini, ada tiga tong sampah di tepi-tepi jalan.
"Satu untuk botol, satu untuk aluminium dan yang satu lagi untuk sampah
biasa. Sampah-sampah ini dibawa ke mana? Ke kilang untuk dikitar
semula. Begitulah juga penagih dadah macam saya dahulu, dimasukkan ke
Rumah PENGASIH, dikitar semula sehingga sekarang."
Di Rumah pengasih, beliau mendapat begitu banyak pengajaran untuk
memulakan kehidupan baharu, termasuk menjalani program pelajaran
pemulihan di Singapura, dan di Amerika Syarikat.
Rumah pengasih yang diasaskan oleh bekas penagih dadah kini telah
melebarkan fungsinya sebagai pusat pemulihan bukan berkaitan dadah
seperti penagihan alkohol, ponteng sekolah dan bekas-bekas banduan yang
bakal menyertai semula masyarakat.
NGO ini mendapat bantuan kewangan daripada agensi kerajaan seperti
Agensi Anti-Dadah Kebangsaan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga
dan Masyarakat, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Majlis Agama
Islam Selangor dan sejak 2008 daripada Khazanah Nasional Berhad.
Khazanah Nasional juga membantu dalam pembangunan sumber manusia
menerusi program lestari bertujuan membolehkan bekas penagih berdikari
dengan mengadakan projek-projek keusahawanan kecil dan sederhana.
"Di rumah pengasih, kami pakai modaliti, iaitu dalam aspek bio,
psikologi, sosial dan spiritual. Kami betulkan pola pemikiran mereka,
kami betulkan balik macam mana mereka dan mengedalikan emosi dan
mengubah tingkah laku, betulkan balik soal tanggungjawab. (Tentang)
macam mana nak bertanggungjawab kepada diri sendiri, pada agama, bangsa
dan masyarakat," kata Suhaimi menjelaskan konsep pemulihan yang diguna
pakai.
Juga diamalkan ialah konsep kekeluargaan dan role model, di samping
konsep tekanan sebaya. Setelah mereka keluar, diadakan Narcotic
Anonymous Group untuk penagih dadah dan Alcoholic Anonymous Group untuk
penagih alkohol, yang berjumpa setiap minggu.
"Setiap hari akan ada kumpulan untuk penagih yang telah berjaya di luar
sana, mereka ada tempat untuk mencurah rasa, jadi tak payah
pantau-pantau," katanya.
Bagaimanapun, setelah lebih 40 tahun Malaysia melancarkan perang
terhadap penyalahahgunaan dadah, ia masih lagi merupakan masalah nombor
satu negara kerana berbeza dengan jenis dadah yang berleluasa dahulu
seperti candu, ganja, heroin dan morphin, kini terdapat "designer drugs"
seperti pil kuda, pil ecstasy, syabu dan ketamine.
"Ini orang kaya sahaja yang hisap. Saya tak sampai tahap itu. Kalau
saya hisap sekarang ni, saya tak duduk sini, saya di wad gila," tambah
Suhaimi.
Pengasih juga mengendalikan program 'Kenali Anak Kita' yang membabitkan
kempen di sekolah-sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru
(PIBG). Usaha ini perlu kerana kadang-kadang ibu bapa tidak tahu anak
mereka terlibat dadah akibat tidak mengambil tahu tentang pergerakan
anak-anak.
"Ibu bapa dapat tahu anak hisap dadah masa bila? Bila polis datang ketuk rumah mereka.
"Dan walaupun kita tidak boleh buang stigma dan diskriminasi masyarakat
terhadap penagih dadah bahawa mereka sampah masyarakat atau bangkai
bernyawa, terbukti bahawa saya sebagai penagih satu ketika dahulu atau
'the walking dead of Kuala Lumpur', saya pun tak sangka saya boleh
bersih daripada dadah dan kini mengharungi kehidupan seperti hari ini,"
kata Suhaimi yang kini berusia 55 tahun dan mempunyai tiga orang cucu.
Pengasas dan Presiden Pengasih Datuk Yunus Pathi, ketika menjelaskan
lebih lanjut mengenai skop rawatan dan pemulihan NGO itu, berkata ia
kini merawat mereka yang mempunyai masalah tingkah laku.
"Ramai klien kami yang datang ke pengasih bukan hanya kerana masalah
dadah, kerana program pengasih adalah program self-empowerment, program
bawa orang itu boleh berdikari.
"Masalah penagihahan dadah serius, sampai hari ini serius. Cuma mereka
tidak lagi berada di Chow Kit. Mereka tidak lagi berkeliaran di jalan
raya. Kalau pergi pun, mungkin buat publisiti sahaja.
"Mereka sekarang adalah 'career addicts' yang bekerja dan menagih
dadah," katanya. Dan dadah yang mereka gunakan bukan lagi dadah macam
dahulu," katanya.
Menjawab soalan, Yunus berkata matlamat oleh Persatuan Negara-negara
Asia Tenggara (Asean) yang telah mengisytiharkan tahun 2015 sebagai
tahun bebas dadah tidak akan tercapai.
Sambil ketawa, beliau berkata: "Ini hanya mimpi atau angan-angan kosong
yang tidak akan menjadi realiti kerana masalah dadah di rantau ini
tetap serius seperti dahulu." - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan