Translate

14 Januari 2014

Betulkah Persempadanan Semula Menguntungkan Semua Pihak?




Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (gambar) menggesa Pakatan Rakyat (PR) menerima persempadanan semula kerana ia menguntungkan semua pihak, walaupun langkah tersebut dikritikdigunakan untuk mengekalkan Umno-Barisan Nasional di tampuk kuasa.


Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu berkata, pembangkang perlu berfikir dua kali sebelum menolak proses persempadanan semula.

"Sebelum menolak cadangan SPR, sepatutnya mereka kena fikir dua kali kerana ia mungkin menguntungkan kedua-dua pihak (pembangkang dan kerajaan)," katanya seperti dilaporkan akhbar milik Umno, Utusan Malaysia hari ini.
SPR sebelum ini digesa menghentikan proses tersebut, selepas pendedahan kontroversi bekas pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bahawa persempadanan semula pilihan raya ditentukan untuk mengekalkan kuasa Melayu.

Pemimpin pembangkang dan pengkritik menyifatkan ia adalah bukti SPR cuma menjadi alat kepada Umno dan BN untuk terus mengekalkan kuasa.

Kali terakhir persempadanan semula dilakukan adalah pada 2003.

Proses itu pernah dijalankan pada 1958, 1974, 1984 dan 1994. Semua persempadanan semula dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun kecuali antara 1958 dan 1974 (16 tahun) dan 1994 hingga 2003 (9 tahun).

Setiap kali pilihan raya umum diadakan selepas persempadanan semula, pencapaian BN akan melonjak dalam pilihan raya tersebut.

Antaranya pilihan raya 1986, 1995 dan 2004. Tiada persempadanan semula dibuat menjelang pilihan raya 2013 kerana BN tidak mempunyai majoriti 2/3 untuk meminda perlembagaan.

Abdul Aziz yang sebelum ini dikritik teruk dalam isu dakwat kekal berkata, makluman kajian proses tersebut akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak pada April atau Mei ini.

SPR juga dijangka mula menggunakannya dalam pilihan negeri Sarawak pada 2016 nanti.

"Proses persempadanan ini akan dijalankan serentak melibatkan semenanjung, Sabah dan Sarawak.

"Insya-Allah, kita hendak guna ini dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sarawak yang dijadual berlangsung pada Jun 2016 (setelah mandat kerajaan negeri berakhir)," katanya.

Abdul Aziz juga mengakui cabaran yang dihadapinya kali ini adalah ketika kerajaan persekutuan yang dipimpin BN tidak memiliki majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat seperti sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, bagi negeri yang memiliki kerajaan majoriti dua pertiga mereka boleh pinda perlembagaan negeri untuk tambah kerusi.

"Bagi negeri yang ada majoriti dua pertiga seperti Pulau Pinang, Selangor, Kelantan, Melaka dan Perlis  daripada segi teorinya mereka boleh lulus dan pinda perlembagaan negeri untuk tambah kerusi," katanya.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) sebelum ini menggesa SPR menghentikan persempadanan semula kerana mengatakan orang ramai sudah hilang keyakinan kepada badan itu.

Kenyataan Presiden Bersih, Maria Chin Abdullah dibuat selepas pengakuan Abdul Rashid bahawa amalan persempadanan semula lalu dilakukan untuk mengekalkan kuasa orang Melayu.

Abdul Rashid memimpin SPR dalam enam daripada 13 pilihan raya umum termasuk empat persempadanan semula.

Maria memetik kritikan daripada Laporan Pemerhatian Pilihan Raya Pemantau dan laporan Malaysia Electoral Roll Analysis Project (Merap) serta kegagalan dakwat kekal dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

Sebelum ini, timbul dakwaan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR juga mempunyai keahlian dalam Umno.
Keengganan SPR membersihkan senarai undi walau sudah dibuktikan juga dikritik pelbagai pihak.

Penemuan kes penyelewengan dan pelanggaran peraturan pilihan raya pada PRU13 oleh Pemantau Pilihan Raya Rakyat (Pemantau), ditambah dengan keengganan SPR untuk bertanggungjawab dalam kes dakwat kekal; memuktamadkan segala dakwaan. - 13 Januari 2014.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

4U2C Posts

News Story

SELSEMA