Pusat bandar raya Kuala Lumpur yang lazimnya sesak dengan
lautan manusia dan kenderaan hari ini bertukar seolah-olah ‘bandar hantu’ dengan
hanya dikawal ketat ratusan anggota polis di setiap pelusuk bagi menghalang
Himpunan Bersih 2.0 petang ini.
Sejak tengah malam tadi 30 jalan utama memasuki Kuala Lumpur ditutup dan pagi
ini sebahagian besar anggota polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU)
ditempatkan lokasi-lokasi yang sering menjadi tumpuan demonstrasi diadakan.
Tinjauan The Malaysian Insider yang sejak awal pagi berada di lokasi
utama di Jalan Masjid Jamek dan Dataran Merdeka mendapati lebih 100 anggota
polis sudah berada di sana.
Malah turut kelihatan beberapa trak meriam air di lokasi-lokasi berkenaan di
mana anggota polis dan FRU bersiap sedia berdepan dengan peserta Himpunan Bersih
2.0 yang diketuai Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Datuk
Ambiga Sreenevasan dan disokong oleh Pakatan Rakyat.
Selain di lokasi-lokasi tumpuan, polis juga menjadikan stesen-stesen LRT,
Komuter dan Monorel untuk memeriksa penumpang yang menuju ke lokasi panas.
Kenderaan-kendaraan yang memasuki ibu negara turut diperiksa.
Di Masjid Negara yang menjadi lokasi berkumpul PAS turut dikawal ketat oleh
anggota polis yang mula berada di sana sejak awal pagi.
Selain itu, laluan masuk ke Kuala Lumpur juga turut dikawal ketat dengan
polis melakukan pemeriksaan kepada kenderaan.
Himpunan Bersih 2.0 semalam memutuskan untuk berhimpun di tempat letak
kenderaan Stadium Merdeka walaupun polis sudah memberi amaran agar tidak
mengadakan demonstrasi.
Setakat jam 8.30 pagi ini, perkhidmatan LRT, Komuter dan Monorel berjalan
seperti biasa dengan semua stesen boleh dituju.
Sementara itu di Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS)
keadaan masih lagi terkawal dengan pemeriksaan diperketatkan dengan bantuan
polis bantuan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Dijangkakan kelewatan akan berlaku di bas dari selatan dan pantai timur
ekoran sekatan jalan raya yang diadakan.
Dalam pada itu laporan Bernama Online juga menyebut suasana sekitar Kuala
Lumpur setakat pukul 8.30 pagi ini kelihatan lengang berikutan beberapa jalan
memasuki ke pusat bandar ditutup berperingkat.
Keadaan trafik bagaimanapun dilihat terkawal dengan anggota polis berada di
beberapa kawasan bagi mengawal lalu lintas ke pusat bandar, dengan kerjasama
pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Sejak pukul 12 tengah malam tadi, polis telah menutup beberapa jalan masuk ke
pusat bandar dan trafik dilencongkan ke beberapa jalan lain.
Antara jalan yang ditutup ialah Jalan Syed Putra, Jalan Bukit Petaling, Jalan
Chenderasari dan kawasan sekitar Masjid Negara;
Kawasan di sekitar Dataran Merdeka, Pasar Seni, Masjid Jamek, Dataran DBKL,
Kompleks Sogo, Maju Junction, Masjid Kampung Baru, Jalan Kinabalu, Jalan
Kuching, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Bot, Jalan Sri Amar, Jalan Tuanku Abdul
Rahman dan Jalan Haji Taib.
Jalan lain yang turut ditutup ialah Jalan Raja Muda Musa, Jalan Raja Bot,
Jalan Raja Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Gereja,
Jalan Raja Chulan, Jalan Tun Perak, Jalan Tun Tan Cheng Lok, Jalan Sultan Mahmud
dan semua kawasan berhampiran.
Sementara itu, perkhidmatan bas di tiga terminal utama di Kuala Lumpur
beroperasi sementara di terminal lain sejak awal hari ini.
Perkhidmatan bas ekspres dari Pantai Timur di Terminal Hentian Putra dan bas
SKS (dari Seremban) di Pudu Raya dipindahkan sementara ke Terminal Bersepadu
Selatan (TBS) Bandar Tasik Selatan.
Perkhidmatan bas di Terminal Hentian Pudu Raya dan Terminal Hentian Jalan
Pekeliling pula dipindahkan sementara ke Terminal Hentian Duta, Jalan Duta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan