Translate

30 Oktober 2009

Sidang DUN ; Warna dan Peristiwa

1. Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak bagi meluluskan Bajet 2010 semalam bermula tanpa kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang memboikotnya sebelum bertindak mengadakan 'sidang' sendiri semasa waktu rehat.

2. Sidang bermula pada kira-kira 10 pagi dengan bacaan doa dan Speaker Datuk R.Ganesan kemudian meminta kesemua ADUN dan hadirin di dewan bangun untuk bertafakur selama seminit mengingati kejadian jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang, Kampar, kelmarin yang menyebabkan seorang pelajar maut manakala dua lagi masih hilang. Sidang diteruskan dengan pembentangan Bajet 2010 oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir manakala kesemua 28 ADUN pembangkang terus berada di luar dewan.

3. Speaker Datuk R.Ganesan kemudian mengumumkan sidang dewan berehat selama sejam sehingga 11.20 pagi selepas Dr Zambry selesai membentangkan Bajet dan keadaan mulai kecoh apabila ADUN pembangkang memasuki dewan. Episod 'sidang' pembangkang bermula selepas itu. Bekas speaker yang juga ADUN Tronoh V. Sivakumar memulakan persidangan dengan bacaan doa dan juga tafakur.

4. ADUN Buntong (DAP), A. Sivasubramanian meminta Ganesan turun dari tempat duduk Speaker atas alasan beliau tidak layak kerana masih menjadi peguam selepas tempoh tiga bulan dilantik sebagai Speaker. Ganesan tidak berganjak dari kerusi sepanjang 'sidang' berkenaan dan ADUN Barisan Nasional (BN) juga tidak mengendahkan keadaan dan berbual sesama sendiri.

5. Sementara itu, ADUN Pantai Remis (DAP) Nga Kor Ming berkata beliau akan membuat aduan polis kerana dikasari oleh seorang pegawai polis semasa hendak masuk ke dewan. Keadaan di luar adalah terkawal dan hanya kira-kira 200 penyokong pakatan pembangkang berkumpul berhampiran pejabat DAP Perak berhampiran dan mengadakan solat hajat selain melaung-laungkan pelbagai slogan.(Hamidah Osman)

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

4U2C Posts

News Story

SELSEMA