Menurut laporan tersebut, kebanyakan kerja-kerja pembinaan bagi Masjid Nabawi akan dijalankan di kawasan barat masjid tersebut dan apabila siap nanti, dijangkakan ianya  akan mampu menempatkan manusia paling ramai di dunia iaitu seramai 1.6 juta orang jemaah.
Mungkinkah Kubah Hijau Masjid Nabawi bakal tinggal kenangan
Namun di sebalik pembangunan yang menelan belanja SR25 bilion (RM20.5 bilion) itu timbul pula  kebimbangan di kalangan umat Islam  apabila melibatkan pemusnahan  kesan-kesan tinggalan terpenting dalam sejarah Islam terutamanya kubah hijau di masjid berkenaan yang menaungi makam junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Kemarahan telah mula timbul di negara tersebut apabila kerajaan beraja Bani Saud  itu tidak mengendahkan tinggalan sejarah penting di antaranya seperti rumah isteri Nabi Muhammad SAW iaitu Khadijah RA di dalam projek pembangunan Mekah.
Perobohan kubah hijau masjid Nabawi itu dibimbangi akan menjejaskan makam yang menempatkan Rasulullah SAW dan dua sahabatnya iaitu Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA  dan Saidina Umar al-Khattab RA yang betul-betul terletak dibawah kubah tersebut.
Bukan hanya melibatkan Masjid Nabawi...gambaran pembangunan "New Madinah"
Selain masjid-masjid yang dibina sempena Abu Bakar dan Umar, bakal turut dimusnahkan adalah Masjid Ghamama yang juga mempunyai nilai yang amat penting dalam sejarah umat Islam.
Setakat ini tidak ada perancangan oleh pihak Saudi untuk memelihara masjid tersebut. Mengikut sejarah, masjid ini dinamakan Ghamama ialah kerana di masjid inilah Nabi SAW  membuat solat Istisqah (mohon hujan).
Perkataan Ghamama bermaksud awan yang  muncul secara tiba-tiba dan membawa hujan selepas Nabi SAW selesai mengerjakan solat tersebut.
Banyak lagi peristiwa sejarah di zaman Nabi SAW berlaku di masjid tersebut yang sepatutnya dipelihara oleh pemerintah Islam sebagai pengajaran untuk umat Islam di masa hadapan. Untuk maklumat boleh rujuk disinihttp://www.islamiclandmarks.com/saudi/madinah/other/masjid_ghamama.html
Antara pihak yang melahirkan kebimbangan ialah Dr. Irfan al-Alawi dari “Islamic Heritage Foundation”. Beliau menyatakan;
” Tidak dapat dinafikan Madinah perlu dibangunkan, tetapi cara pihak berkuasa menanganinya adalah amat membimbangkan “.
Beliau menyatakan lagi;
” Terdapat berbagai cara untuk membangunkannya yang boleh mengelak atau memelihara tempat bersejarah dalam Islam tetapi sebaliknya mereka memilih untuk merobohkan kesemuanya”.
Teguran paling keras dibuat oleh Syed Zaid Zaman Hamid seorang penganalisis ketenteraan Pakistan apabila beliau menempelak kerajaan Saudi  dengan perbuatan syirik apabila berusaha memelihara patung berhala di Madain Saleh tetapi di masa yang sama meruntuhkan masjid-masjid yang dibina oleh para sahabat di sekitar Mekah dan Madinah.
Beliau menggesa supaya umat Islam seluruh dunia mengemukakan bantahan sama ada secara  bertulis atau sebagainya di mana-mana kedutaannya terhadap tindakan Arab Saudi tersebut.
Kata beliau lagi, ini bukan isu mazhab tetapi isu melibatkan sejarah dan maruah umat Islam, keimanan dan kecintaan terhadap Rasulullah SAW dan para tabi’in yang banyak berjasa terhadap Islam.
Apakah sikap umat Islam kalau Yahudi melakukan perobohan terhadap Masjid al-Aqsa? Sudah tentu umat Islam akan terus mengisytiharkan perang,  tetapi apakah kita berdiam diri jika pencapaian umat Islam lebih 1400 tahun dimusnahkan begitu sahaja oleh orang Islam sendiri tanpa sebarang bantahan?
Dengan tambang yang semakin murah dan kenaikan jumlah umat yang datang untuk menunaikan kewajiban, Mekah dan Madinah perlu bergelut dengan 12 juta jemaah yang datang setiap tahun – jumlah ini dijangkakan meningkat sebanyak 17 juta pada tahun 2025.
Dr al-Alawi berkata lagi, “Umat Islam langsung tidak memberikan sebarang respon terhadap perkara ini sedangkan ketika filem yang dikeluarkan tentang Rasulullah SAW  mendapat tentangan yang hebat dari serata dunia, walhal, kelulusan bagi projek merobohkan tempat lahir Rasulullah, tempat Baginda solat dan menyampaikan ajaran Islam langsung tidak ditentang.”
Gambaran Masjid Nabawi baharu
Perbandingan kedudukan di antara Masjid Nabawi yang baharu dengan yang asal. Selepas proses pembesaran selesai titik fokus para jemaah bukan lagi terhadap Makam Nabi SAW.
Kebanyakan peserta kempen memelihara Mekah dan Madinah serta rakyat tempatan terkejut apabila melihat sebahagian kawasan bandar-bandar tersebut dirobohkan untuk pembinaan pusat-pusat membeli-belah, hotel-hotel mewah dan bangunan pencakar langit.
Dijangkakan bahawa 95 peratus daripada keseluruhan bangunan-bangunan yang berusia 1,000 tahun yang terdapat di bandar-bandar tersebut telah dimusnahkan dalam tempoh 20 tahun.
Di Mekah, Masjid al-Haram, kawasan yang paling suci bagi seluruh umat Islam kini dibayangi oleh kompleks bangunan Jabal Omar yang mempunyai apartmen-apartmen, hotel-hotel serta menara jam yang besar.
Bagi membina kompleks tersebut, pihak berkuasa Saudi telah memusnahkan Kubu Ajyad yang terbina sejak dari era Uthmaniyyah dan juga bukit yang terdapat di kawasan tersebut.
Antara kawasan lain yang dimusnahkan termasuk tempat lahir Rasulullah – kini menjadi perpustakaan – dan juga rumah isteri pertama Baginda, Khadijah, yang digantikan dengan blok tandas awam.
Pihak kerajaan menyatakan bahawa lebih banyak hotel-hotel murah telah dibina bagi jemaah-jemaah yang kurang berkemampuan, walaupun ada yang mengatakan bahawa kebiasaanya, jemaah-jemaah tersebut ditempatkan di kawasan yang jauh sedikit dari kota suci.
Sehingga baru-baru ini, kerja-kerja pembangunan semula bagi kota Madinah agak sedikit perlahan berbanding dengan kota Mekah, walaupun beberapa tapak sejarah telah dimusnahkan.
Antara yang dimusnahkan adalah lima masjid-masjid yang dibina untuk memperingati Perang Khandaq – antara sejarah-sejarah terpenting dalam perkembangan Islam – hanya dua yang masih tidak dirobohkan.
10 tahun lalu, sebuah masjid yang dimiliki oleh cucu Rasulullah telah diletupkan.
Gambar-gambar letupan tersebut telah diambil secara rahsia yang kemudiannya disebarkan menunjukkan pihak berkuasa meraikan keruntuhan masjid tersebut.
Pengabaian sejarah awal Islam sedikit sebanyak memperjelaskan penggunaan pemahaman Wahabi dalam rejim tersebut, pemahaman yang menentang apa jua perkara yang mungkin menggalakkan umat Islam daripada menyembah ikon-ikon Islam.
Dalam kebanyakan negara-negara Islam, sememangnya terdapat makam-makan yang dibina bagi tokoh-tokoh besar, amalan melawat kubur juga adalah sesuatu yang biasa.
Namun, pemahaman Wahabi menganggap bahawa perkara tersebut adalah sesuatu yang dilarang…bida’ah!
Dr al-Alawi bimbang bahawa pembangunan semula Masjid an-Nabawi mungkin akan mengalihkan perhatian orang ramai daripada makam Baginda Rasulullah.
Kawasan yang menandakan makam Rasulullah dilindungi oleh kubah hijau yang menjadikan kawasan tumpuan bagi masjid tersebut.
Namun, dengan pelan baru ini, makam tersebut akan menjadi kawasan Timur keseluruhan masjid tersebut (lapan kali dari saiz asal masjid) dan dilengkapi dengan mimbar baru.
Pelan tersebut juga dijangkakan akan memusnahkan bahagian tengah masjid. Kawasan tersebut membentuk Riyadh al-Jannah (Taman Syurga), bahagian yang Rasulullah katakan paling suci bagi masjid tersebut.
“Alasan mereka adalah, mereka mahu membina lebih banyak ruang (20 bahagian) pada masjid tersebut yang mampu memuatkan 1.6 juta umat Islam pada satu-satu masa,” kata Dr al-Alawi.
“Tidak masuk akal langsung. Apa yang mereka benar-benar mahukan adalah untuk mengalihkan perhatian umat daripada tempat Rasulullah dikebumikan.”
Satu risalah yang diterbitkan pada tahun 2007 oleh Kementerian Hal Ehwal Islam – dan diakui oleh Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdulaziz – telah membuat tuntutan agar kubah tersebut dimusnahkan dan makam bagi Rasulullah, Abu Bakar dan Umar supaya diratakan.
Sheikh Ibn al-Uthaymeen, salah seorang ulama Wahabi yang terkenal pada abad ke-20 juga telah membuat tuntutan yang sama.
Inikah tanda-tanda kerosakan di Madinah yang dimaksudkan oleh junjungan besar  Rasulullah SAW  sebagaimana yang dicatatkan di dalam hadis di bawah.
Berkata Muadz ibn Jabal RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
“Makmurnya Baitul Maqdis merupakan kerosakan bagi Yatsrib (Madinah), rosaknya Yatsrib (Madinah) sebagai tanda dimulainya al-Malhamah, dimulainya al-Malhamah merupakan pembebasan bagi Kostantinopel,  dan pembebasan Kostantinopel sebagai tanda keluarnya Dajjal”, lalu Muadz ibn Jabal memukulkan tangannya ke paha atau pundak orang yang sedang diajaknya bicara, sambil berkata: Sungguh ini pasti terjadi, sebagaimana pastinya engkau duduk di sini.”  (Hadis Hasan riwayat Abu Dawud)