PADA lewat malam 15 Oktober lalu (waktu Malaysia), jutaan manusia di
seluruh dunia tidak berkelip mata selama empat minit, menyaksikan satu
bintik putih di angkasa gelap bergerak ke bawah dengan kelajuan mencecah
1,342 km/j dari ketinggian 39,000 meter atau 128,000 kaki.
Bintik putih itu sebenarnya adalah Felix Baumgartner, juruterbang
helikopter yang menjalankan misi penerjunan paling tinggi dan paling
laju dalam sejarah dunia.
Dalam proses penerjunan mengerikan itu, Baumgartner juga berjaya memecahkan kelajuan bunyi menggunakan badannya sendiri.
Dunia melihat dengan penuh debaran bagaimana lelaki warga Austria
berumur 43 tahun itu melompat keluar dari kapsulnya selepas memberi
tabik kepada planet bumi di bawahnya.
Perjalanan naik ke angkasa ketika misi itu mengambil masa dua setengah jam, lebih cepat daripada jangkaan awal.
Kapsul itu membawa Baumgartner ke pinggir angkasa selepas beberapa hari tertunda akibat cuaca buruk.
Kurang lima minit selepas terjunan itu, penonton di seluruh dunia yang
menyaksikan penerjunan itu secara langsung menarik nafas lega apabila
payung terjun Baumgartner akhirnya terbuka pada ketinggian 5,000 kaki
(1,524 meter).
Semua kebimbangan hilang, walaupun sebelum itu beberapa detik
mencemaskan mendebarkan pasukan saintis dan keluarganya di bilik kawalan
misi itu kerana Baumgartner kelihatan seperti hilang kawalan dan
berpusing dengan kuat.
Paling mengagumkan, Baumgartner mendarat dengan penuh bergaya, kedua
kakinya mencecah tanah dengan sempurna, sebelum lelaki itu melutut di
atas tanah dan menumbuk udara tanda gembira, seperti tidak percaya
dengan kejayaan luar biasanya.
Siapa lelaki berani ini?
Bekas penerjun tentera dan pengamal sukan payung terjun ekstrem ini
telah banyak kali melakukan penerjunan dari bangunan tinggi dan pelbagai
bentuk muka bumi di seluruh dunia.
“Kadang-kala kita perlu berada pada kedudukan sangat tinggi untuk
menyedari betapa kecilnya diri kita,” katanya dengan gembira beberapa
minit selepas dia selamat mendarat.
Namun beliau akui bukan mudah untuk mencapai kejayaan itu.
“Ia lebih sukar daripada apa yang saya jangka. Percayalah, apabila anda
berdiri di atas dunia pada ketinggian seperti itu, anda rasa begitu
rendah diri.
“Anda tidak lagi berfikir mahu memecahkan rekod, bukan lagi untuk
mendapatkan data saintifik tetapi apa yang anda fikir hanyalah untuk
kembali ke bumi dengan selamat,” katanya.
Baumgartner berkata, penerjunan minggu lalu itu adalah cabaran terbesar
dalam kariernya kerana dia perlu mengatasi ketakutan yang tidak
disangka, iaitu klaustrofobia, atau perasaan takut apabila berada di
tempat sempit.
Ketika latihan selama lima tahun untuk misi itu, Baumgartner beberapa
kali panik apabila dia perlu menghabiskan masa berjam-jam di dalam sut
angkasa dan topi keledarnya.
Sehinggakan pernah sekali pada 2010, Baumgartner melarikan diri dari
pusat latihannya di Amerika Syarikat (AS) apabila disuruh menjalankan
ujian ketahanan menggunakan sut itu.
Namun dia akhirnya berjaya mengatasi rasa takut itu melalui terapi
berterusan dengan pakar dan petunjuk diberikan mentornya, Joseph
Kittinger, 84.
Kittinger adalah bekas juruterbang tentera udara AS yang memegang rekod
dunia dengan melakukan penerjunan pada ketinggian 31,000 meter pada
1960, sebelum rekod itu dipecahkan Baumgartner minggu lalu.
Sepanjang perjalanan naik ke angkasa, Baumgartner menyibukkan dirinya
dengan berkomunikasi secara berterusan dengan Kittinger bagi
menghilangkan perasaan fobianya itu.
Apabila tiba detik untuk membuat terjunan itu, Kittinger berkata kepada Baumgartner: “Malaikat pelindung akan menjaga anda”.
Sebelum penerjunan itu, Baumgartner berkata dia tidak akan melakukannya jika kemungkinan untuk selamat adalah tipis.
Apabila ditanya mengenai pihak yang yakin dia tidak akan selamat,
Baumgartner berkata, “Saya rasa mereka memandang rendah kemahiran
seorang penerjun udara.”
Baumgartner telah melakukan 2,500 penerjunan dari kapal terbang dan
bangunan pencakar langit, termasuk menjadi individu pertama terbang
merentasi Selat Inggeris dengan memakai sayap fiber.
Menurut Baumgartner, terjunan dari angkasa itu akan menjadi penutup kepada perjalanan hidupnya sebagai penerjun ekstrem.
Baumgartner merancang untuk berkahwin dengan teman wanitanya dan
menjadi juruterbang helikopter penyelamat di kawasan pergunungan serta
kapal terbang bomba di AS dan negara asalnya Austria.
Pasukan jurutera, doktor dan saintis yang mengambil masa lima tahun
merancang penerjunan itu menjangka Baumgartner akan jatuh pada kelajuan
1,126 km/j semasa 50 saat pertama.
Tetapi Baumgartner berjaya mencapai kelajuan lebih laju, mencecah 1,342 km/j.
Dr Jonathan Clark, pengarah kesihatan Baumgartner berkata, sut angkasa
bertekanan tinggi itu melindungi Baumgartner ketika penerjun itu
memecahkan kelajuan bunyi.
Namun risiko untuk maut juga tinggi kerana sebarang sentuhan antara
Baumgartner dengan dinding kapsul semasa keluar boleh menyebabkan sut
terkoyak, mendedahkannya kepada kekurangan oksigen dan suhu serendah -
70 darjah Celcius.
Jika itu berlaku, darah di dalam badan Baumgartner akan mendidih, otaknya meletup dan biji matanya tersembul keluar.
Namun kumpulan pakar yang bekerja bersama Baumgartner sejak lima tahun
lalu telah melakukan segala yang mampu untuk memastikan dia berjaya
kembali ke bumi dengan selamat.
Sut angkasa direka khas itu bernilai AS$200,000 (RM610,000) dan mampu
menahan cuaca ekstrem serta diisi dengan oksigen bertekanan tinggi untuk
melindungi badan pemakai.
Ia juga mempunyai satu perbezaan penting dengan sut angkasa dipakai
angkasawan, iaitu tetap fleksibel walaupun selepas diisi dengan gas
bertekanan tinggi.
Cermin topi keledar Baumgartner pula dilengkapi pengawal suhu berkuasa tinggi yang memberikannya pandangan jelas tanpa kabus.
Sementara itu, kapsul dinaiki Baumgartner bersaiz 3.35 meter tinggi dan
2.4 meter lebar diperbuat daripada gelas fiber dan rangka besi dengan
berat seperti sebuah kereta.
Kapsul itu direka oleh saintis yang menghasilkan jet pengebom AS dan berdasarkan roket Apollo.
Belon diisi sembilan juta meter padu gas helium yang membawa kapsul itu
ke angkasa mempunyai ketinggian sama dengan bangunan 55 tingkat selepas
dikembangkan.
Belon itu diperbuat daripada plastik khas dengan ketebalan satu persepuluh daripada plastik pembalut.
Selepas Baumgartner melakukan penerjunannya, kapsul itu tertanggal
secara automatik daripada belon tersebut dan kembali ke bumi dengan
payung terjun khas.
Kittinger memuji keberanian Baumgartner untuk melakukan misi itu dan berkata penerjun itu bukan hanya memecahkan rekod dunia.
“Dia berjaya menunjukkan manusia boleh selamat dalam situasi kecemasan pada ketinggian ekstrem.
“Selepas ini, angkasawan akan memakai sut angkasa yang diuji Felix dalam penerjunan itu,” katanya.
Semasa penerjunan itu, Baumgartner disokong oleh bilik kawalan yang
dipenuhi 300 orang, termasuk 70 jurutera, saintis dan doktor yang
sama-sama bekerja untuk projek digelar Red Bull Stratos, sempena nama
syarikat minuman yang menaja misi itu.
Selain memecahkan rekod dunia, jurutera dan saintis dalam pasukan Red
Bull Stratos mengumpul data untuk membantu juruterbang, angkasawan dan
mungkin juga pelancong angkasa untuk menyelamatkan diri jika berlaku
kemalangan udara.
“Kami menguji sut angkasa baru, konsep melepaskan diri dalam kecemasan
dan protokol rawatan baru jika berlaku kehilangan tekanan pada
ketinggian ekstrem,” menurut Clark.
Semasa membina sut dan kapsul itu, pasukan dianggotai veteran angkasa
itu turut mempunyai satu persoalan penting: Apa akan berlaku pada badan
manusia apabila dia memecahkan kelajuan bunyi?
Jawapannya telah diberikan Baumgartner, iaitu dengan bantuan teknologi
yang betul, badan manusia boleh dilindungi walaupun terjatuh dengan
kelajuan menakutkan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan