Harun Yahya
Dua dekad kebelakangan ini, konsep 'Keganasan Islam' (Islamic Terror) menjadi topik perbincangan yang hangat. Selepas serangan 11 September yang menjadikan ribuan orang yang tidak bersalah di New York dan Washington sebagai sasaran, konsep ini bangkit semula menjadi agenda antarabangsa.
Sebagai seorang Islam, kita setentunya mengutuk perbuatan ini dan merakamkan ucapan takziah kepada rakyat Amerika.
Tulisan ini akan menekankan bahawa Islam bukanlah punca kepada segala keganasan malah keganasan tidak ada tempatnya di dalam Islam. Sungguhpun perampas kapal terbang itu disyaki sebagai seorang Islam tetapi itu tidak bermakna jenayah yang dilakukan itu dilabelkan sebagai 'Keganasan Islam'. Begitu juga tidaklah dinamakan 'Keganasan Yahudi' jika penjenayah itu adalah penganut Yahudi serta bukanlah 'Keganasan Kristian' walaupun penjenayah itu Kristian.
Ini kerana, membunuh orang yang tidak berdosa atas nama agama adalah salah sama sekali. Seperti yang sedia maklum bahawa mereka yang terbunuh di Washington atau New York merupakan orang yang beriman dengan Jesus (Kristian), Nabi Musa (Yahudi) dan orang Islam. Menurut Islam, membunuh orang yang tidak bersalah menjadi satu kesalahan yang besar dan azab neraka adalah paling layak baginya kecuali diampunkan Allah. Justeru, adalah mustahil orang yang beriman terjebak dalam perkara yang tidak diredhai ini.
Apa yang jelas ialah penjenayah-penjenayah itu sebenarnya telah merosakkan nama agama sendiri. Mereka sebenarnya telah menyebabkan sesebuah agama itu dipandang jahat di mata orang dan telah menanam rasa kebencian kepada mereka yang soleh. Akibatnya, setiap serangan yang dikatakan mewakili 'agama' sebenarnya secara tidak langsung 'memerangi' agama mereka sendiri.
Kesemua tiga agama samawi menganjurkan kasih sayang, belas dan keamanan. Keganasan jelas amat kontra dengan agama kerana ia ganas, sadis, sengsara dan menumpahkan darah. Oleh hal yang demikian, ketika menyelidiki latar belakang seorang pengganas itu mestilah diperiksa kepercayaannya bukan agamanya. Orang yang berlatarbelakang fascist, communist, racist atau materialist merupakan antara yang berpotensi menjadi penjenayah. Nama atau identiti pemetik picu tidaklah penting kerana jika mereka boleh membunuh orang yang tidak bersalah dengan memejam mata, itu tidak patut dilabelkan sebagai seorang yang beragama tetapi layak yang sebaliknya. Mereka menyerang tanpa rasa takut kepada tuhan kerana gila untuk menumpahkan darah dan melakukan kerosakan.
Berdasarkan itulah, 'Keganasan Islam' amat tidak cocok dengan ajaran Islam. Lebih-lebih lagi Islam tidak bersetuju langsung dengan keganasan malah mencegah keganasan dengan menganjurkan keamanan dan kesejahteraan ke serata alam.
Al-Quran Menganjurkan Kebaikan, Keadilan dan Keamanan
Jika dikaji dengan terperinci dapat disimpulkan bahawa keganasan itu dilakukan seseorang bagi mengejar target dalam agenda politiknya. Dalam erti kata lain, mangsa keganasan bukanlah sasaran utama tetapi yang sebenarnya ditujukan kepada pihak lain. Perbuatan keji yang dilakukan Hitler dan Stalin menjadi contoh yang tepat dan sememangnya bertentangan dengan moral keadilan manusia.
Al-Quran diturunkan untuk memandu manusia menurut kebenaran dan Allah memerintah hamba-Nya supaya mengadaptasikan akhlak dalam kehidupan. Akhlak yang merangkumi cinta, belas kasihan, toleransi, dan keamanan boleh diamalkan ke seluruh dunia:
Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam keamanan (Islam) secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu. (Surah al-Baqarah: 208)
Ajaran dari Al-Quran yang diimani orang Islam bukan sahaja menjadi panduan hidup mereka tetapi sesuai juga untuk bukan Islam kerana isi kandungannya mencakupi keadilan, memelihara orang yang memerlukan dan bersalah serta mencegah dari segala kerosakan. Allah juga berfirman, "Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan. (Surah al-Qasas: 77)
Membunuh seseorang tanpa sebab yang diterima merupakan salah satu contoh kerosakan. Allah mengulangi di dalam Al-Quran seperti yang pernah diungkapkan kepada Yahudi di dalam Old Testament:
Oleh karena itu Kami tetapkan (suatu hukum) bagi Bani Israil, bahawa: barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya. Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka rasul-rasul Kami dengan (membawa) keterangan-keterangan yang jelas, kemudian banyak di antara mereka sesudah itu sungguh-sungguh melampaui batas dalam membuat kerosakan di muka bumi. (Surah al-Maidah: 32)
Jelas diperkatakan bahawa membunuh seseorang kecuali jika orang itu membuat kekacauan di muka bumi adalah satu jenayah yang diibaratkan seperti membunuh manusia seluruh alam. Begitu juga dengan kes yang membunuh manusia beramai-ramai dengan cara serangan membunuh diri (suicide attacks) juga terlibat sekali. Allah memberitahu kita akan balasan di akhirat bagi mereka yang sekejam ini:
Sesungguhnya dosa itu atas orang-orang yang berbuat zalim kepada manusia dan melampaui batas di muka bumi tanpa hak. Mereka itu mendapat azab yang pedih. (Surah ash-Shura: 42)
Justeru, bagaimana boleh timbul satu tema 'Keganasan Islam'? Dari apa yang dijelaskan adalah mustahil jika dikaitkan Islam dengan keganasan. Apa yang jelas di sini ialah punca keganasan bukanlah dari agama tetapi dari faktor fenomena sosial.
Tentera Salib: Manusia Tidak Bertamadun Yang Menginjak Agamanya Sendiri
Isi kandungan agama yang benar atau sistem kepercayaan adakalanya boleh diseleweng oleh penganutnya yang palsu (pseudo-adherents). Contoh yang tepat boleh dilihat ketika zaman kegelapan dalam sejarah Kristian yang diputarbelitkan oleh tentera perang salib.
Tentera salib yang terdiri dari penganut Kristian Eropah yang bermatlamat untuk menjajah Holy Land (Palestin) dari tangan orang Islam di akhir abad ke-11 sebenarnya dikatakan berjuang atas nama agama. Tetapi mereka telah memanipulasi pengikutnya dengan memasuki tanah itu dengan keganasan dan kekejaman. Orang ramai yang tidak bersalah menjadi mangsa pembunuhan dan banyak kampung dan kota diceroboh.
Jerusalem yang menjadi kediaman orang Islam, Yahudi dan Kristian di bawah pentadbiran Islam yang aman telah bertukar menjadi medan pertumpahan darah yang amat dahsyat. Kekejaman mereka tidak berhenti setakat itu sahaja malah kota Istanbul yang merupakan kota Kristian juga diceroboh dan habis emas permata dicuri dari gereja-gereja.
Tanpa disangkal bahawa keganasan ini amat bertentangan dengan ajaran Kristian kerana agama Kristian yang dimaksudkan Bible ialah 'Gospel of Love'. Di dalamnya menurut Matthew, Jesus mengatakan, "Kasihilah musuh kamu dan berdoalah bagi mereka yang menganiaya kamu" kepada penganutnya (Matthew, 5/44). Menurut Luke pula, Jesus mengungkapkan "Jika seseorang memukul pipi kamu, balaslah dengan cara yang lain" (Luke, 6/29). Di dalam bahagian New Testament pula tidak ada langsung rujukan yang melegitimasi keganasan.
Yang menjadi persoalan ialah jika Kristian adalah agama yang berteraskan kasih sayang, bagaimana boleh terjadi peristiwa berdarah yang dilakukan tentera salib? Punca utama berlaku sedemikian ialah kerana tentera salib itu dibentuk dari mereka yang jahil tentang agama, yang tidak pernah membaca atau melihat Bible sepanjang hayat atau mereka yang tidak menghayati ajaran yang terkandung di dalam Bible.
Mereka dihimpunkan menjadi tentera salib di bawah slogan "God wills it".
Mengikut sejarah, pada zaman itu kehidupan penganut Kristian di Timur lebih bertamadun jika dibandingkan dengan Kristian di Barat. Cuma selepas peristiwa berdarah itulah barulah Kristian Ortodoks mengambil pendekatan untuk hidup bersama orang Islam. Menurut Terry Johns, pengulas BBC, dengan berakhirnya perang salib di timur tengah 'telah mewujudkan kehidupan bertamadun dengan gabungan tiga agama di bawah satu bumbung keamanan'. Nyata bahawa tentera salib itu bukanlah penganut sejati Kristian tetapi mereka terdiri dari orang yang jahil dalam segala ilmu lalu dipergunakan untuk menjayakan sesuatu ideologi walaupun tidak wujud langsung sebarang kepentingan ideologi itu dalam agama. Kekejaman Khmer Rouge di Kemboja menjadi contoh kerana terpengaruh dengan ideologi komunis yang cenderung kepada keganasan. Sebabnya juga kerana mereka terdiri dari orang yang jahil. Mereka yang jahil ini sebenarnya keliru dengan tujuan keganasan yang kononnya digunakan untuk membanteras keganasan (atau untuk agama).
Sifat Orang Badwi di dalam Al-Quran
Pada zaman Nabi Muhammad (s.a.w) wujud dua bentuk penempatan di tanah Arab iaitu penduduk kota dan badwi (gurun Arab). Mereka yang tinggal di kota banyak terdedah dengan dunia luar dan kehidupan mereka lebih bertamadun. Kehidupan mereka penuh dengan nilai-nilai murni selain membudayakan hidup dengan kesusasteraan terutamanya puisi. Berbeza dengan mereka yang mendiami di gurun yang hidup berpindah randah (nomad) dengan nilai kebudayaan yang carca merba. Kesenian dan kesusasteraan langsung tidak dipedulikan menyebabkan mereka membangun tanpa nilai murni dan sifat yang luhur.
Islam yang mula berkembang di Mekah merupakan kota yang penting di semenanjung Arab. Justeru, ramailah yang memeluk Islam dan penduduk di gurun juga tidak ketinggalan memeluknya. Setelah itu timbul masalah kerana penghuni gurun ini mundur dari segi kebudayaan dan intelektual yang menghalang mereka memahami dan mendalami Islam sepenuh jiwa. Allah menyatakan hal ini di dalam Al-Quran:
Orang-orang Arab Badwi itu, lebih banyak kekafiran dan kemunafikannya, dan lebih wajar tidak mengetahui hukum-hukum yang diturunkan Allah kepada Rasul-Nya. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (Surah at-Taubah: 97)
Nyatalah bahawa orang badwi itu merupakan kumpulan yang terdiri dari orang yang kufur yang munafiq serta cenderung untuk mengengkari perintah tuhan. Di dalam zaman nabi sendiri orang-orang sebegini menjadi petulang di dalam dunia Islam. Contohnya seperti golongan 'Kharijiyyah' yang jelas bersifat luar tatasusila kerana mereka merupakan kelompok yang keluar dan memberontak dari golongan Syiah.
Golongan fanatik, liar dan ekstrem ini mendakwa diri mereka Islam walaupun tidak memahami Islam sepenuhnya selain menyeleweng isi
Al-Quran untuk memerangi orang Islam sendiri. Saidina Ali yang merupakan sahabat paling rapat dengan nabi sehingga diiktiraf 'pintu segala ilmu' juga dibunuh angkara aktiviti ganas golongan kharijiyyah ini.
Telah terbukti bahawa tentera salib mengganas setelah ajaran Kristian diseleweng dan disalahtafsirkan, begitu juga dengan puak-puak yang mengkhianat Islam semata-mata untuk menghalalkan keganasan. Apa yang sama antara tentera salib dan orang badwi ini ialah mereka jahil, tidak faham, kurang didikan, liar dan terpencil dari umum. Keganasan yang dilakukan mereka berpunca dari struktur sosial bukannya agama yang menuntut melakukannya.
Hari ini, dunia Barat telah menyalahertikan fungsi organisasi atau pertubuhan Islam di seluruh dunia. Bagi mereka semua organisasi atau pertubuhan itu merupakan pendukung kepada kegiatan keganasan. Persepsi ini perlu diubah walaupun terdapat badan pengadilan yang boleh membuktikan kesahihan dakwaan itu. Yang penting ialah langkah jangka masa panjang perlu dirangka supaya dapat menyelesaikan permasalahan ini.
Dunia Barat terutamanya Amerika yang mempunyai kuasa majoriti di dunia tidak patut mempergunakan kuasa itu untuk memerangi Islam atau orang Islam tetapi sebaik-baik dipergunakan untuk memberi khidmat bagi menyantuni keperluan dunia Islam. Teori 'benturan peradaban' (clash of civilization) yang menjadi doktrin bermula 90an ini sewajarnya dilenyapkan.
Dalam masa yang sama, umat Islam diseru bersatu bagi menyebarluaskan maklumat tentang Islam yang menganjurkan kasih sayang, persaudaraan, keamanan dan kesejahteraan. Sebarang informasi yang salah boleh menimbulkan perbalahan dan menyemai semangat radikal. Selain itu, umat Islam seharusnya menonjolkan akhlak-akhlak mulia yang ditonjolkan Al-Quran.
Dari penjelasan di atas dapat difahami bahawa punca keganasan ialah kesempitan fikiran dan setentunya pendidikan merupakan jalan keluar baginya. Orang yang kesal dengan keganasan dan yang mengatakan keganasan hanya menghancurkan dan merosakkan Islam dan seluruh masyarakat seharusnya mengambil inisiatif untuk mencari alternatif mendidik masyarakat bagi membendung keganasan.
Harapan semua orang supaya dapat menyelamatkan dunia dari segala keganasan, huru-hara dan kekejaman patut diberi perhatian.
Amerika Syarikat yang didominasi oleh populasi Kristian yang mendakwa negaranya 'a nation under God' sebenarnya mempunyai perkaitan rapat dengan orang Islam. Allah juga mengatakan penganut Kristian sebagai "...paling dekat persabahatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: "Sesungguhnya kami ini orang Nasrani". (Surah al-Maidah: 82).
Dalam sejarah, orang yang jahil (tentera salib dan orang badwi) sebenarnya tidak memahami fakta sebenar sehingga menimbulkan perbalahan antara dua agama yang besar ini. Supaya kejadian ini tidak berulang, penganut Kristian dan Islam sepatutnya duduk semeja untuk saling bekerjasama. Duduk semeja bukan untuk mencari siapa salah tetapi bermusyawarah menghasilkan penyelesai masalah agar tidaklah lagi agama dikaitkan dengan sebarang keganasan. Susu sebelanga akan dibuang sekiranya dimasuki walau hanya setitik nila!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan