Akta Perhimpunan Aman yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, kelmarin, jelas bertujuan untuk menghalang himpunan diadakan oleh rakyat negara ini.
Realiti itu terserlah apabila di dalam akta tersebut dikenakan pelbagai syarat yang tidak munasabah untuk membolehkan rakyat negara ini mengadakan perhimpunan berbanding kawalan sedia ada di bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967.
Pengarah Jabatan Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia (Juham), Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi berkata, akta itu hanyalah mempunyai nama yang menarik, tetapi hakikatnya Kerajaan BN secara jelas mencabul hak rakyat untuk berhimpun.
Menurut beliau, jika di bawah Akta Polis 1967, sekurang-kurangnya hanya perhimpunan di tempat awam yang dikenakan permit, tetapi di bawah akta baru ini mensyaratkan semua perhimpunan walaupun di premis persendirian atau disewa perlu diberikan notis makluman awal kepada polis 30 hari sebelum tarikh himpunan yang dicadangkan itu hendak dibuat.
Katanya, Seksyen 9(5) Akta itu pula membenarkan polis mendenda penganjur sehingga RM10,000.00 sekiranya tiada notis awal diserahkan kepada polis sebelum perhimpunan tersebut diadakan.
"Peruntukan itu amatlah tidak munasabah kerana kebanyakan himpunan aman rakyat adalah berkaitan dengan isu-isu semasa yang berlaku dan memerlukan tindakan yang segera," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini.
Itulah prinsip demokrasi dan hak asasi rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, menurutnya, tetapi malangnya hak-hak yang masih berbaki sedikit itupun cuba dihapuskan sepenuhnya oleh kerajaan Umno (Barisan Nasional).
"Inikah transformasi yang dibangga-banggakan oleh Perdana Menteri atau transformasi yang dibuat hanya untuk mengubah negara menjadi negara diktator dan kuku besi?" ujarnya.
Akta baru itu juga, tegasnya, melarang individu di bawah umur 21 tahun untuk berhimpun secara aman dan ini tentulah merujuk secara khusus kepada para mahasiswa dan mahasiswi di institusi pengajian tinggi negara.
"Sudahlah para mahasiswa dikongkong teruk oleh AUKU, sekarang akta drakonian yang baru diperkenalkan ini pula meragut terus hak-hak asasi mereka untuk berhimpun dan menyuarakan pendapat secara aman.
"Kerajaan BN benar-benar memperlekeh dan memperbodohkan terus keintelektualan para mahasiswa dan mahasiswi kita," tambah beliau.
Manakala Seksyen 21(3) akta itu, tegasnya, membenarkan polis mendenda pihak yang ditangkap sehingga RM20,000.00, jumlah yang sangat tidak munasabah berbanding RM2000.00 sekarang, sedangkan kesalahan berhimpun bukanlah satu kesalahan jenayah yang serius.
Katanya, banyak lagi peruntukan lain yang tidak munasabah dimasukkan di dalam akta baru itu, manakala segala kelemahan yang berlaku itu disebabkan sikap ego kerajaan yang enggan mendengar pendapat ramai supaya segala undang-undang baru yang hendak digubal yang berkaitan hak-hak asasi rakyat patut dirunding secara konsultasi bersama.
Juham mengecam Akta Perhimpunan Aman 2012 dan berpandangan akta tersebut hanya seperti menanam tebu di tepi bibir, manis di mulut tetapi hakikatnya membawa bencana dan mala petaka besar kepada hak-hak asasi rakyat untuk berhimpun secara aman seperti yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
"Akta ini jelas mengongkong kebebasan rakyat untuk berhimpun dengan sekatan dan syarat-syarat yang amat zalim, tidak munasabah dan tidak pernah difikirkan oleh rakyat yang waras," tegasnya.
Juham menggesa agar kerajaan menarik balik akta itu dengan segera dan berunding dengan rakyat terlebih dahulu sebelum memperkenalkan apa-apa undang-undang yang zalim seperti itu dan menyekat kebebasan rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara.
PUTRAJAYA,
28 Sept — Kerajaan mengumumkan bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan
Sri Steve Shim Lip Kiong sebagai Pengerusi Majlis Perundingan Gaji
Negara (MPGN) dan kadar gaji minimum pula akan diputuskan akhir tahun
ini.
Bercakap pada sidang media mengumumkan pelantikan itu di sini hari
ini, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata, pihaknya
yakin dengan pengalaman luas Shim sebagai Pengerusi Mahkamah Perusahaan
dapat membantu majlis itu membuat keputusan yang saksama dalam
menetapkan gaji minimum.
Dr Subramaniam (gambar) berkata MPGN mempunyai
tempoh sehingga hujung tahun ini untuk membuat pertimbangan dan
keputusan serta mengemukakan syor kepada kerajaan.
“Kerajaan akan umumkan kadar gaji minimum dan makanisme
pelaksanaannya pada penghujung tahun ini. Majlis itu juga akan
mengeluarkan satu laporan tentang segala kajian yang mereka telah buat
yang akan menjadi dokumen kepada kerajaan,” katanya dipetik Bernama
Online.
Beliau juga menegaskan pelantikan anggota MPGN bebas daripada pengaruh politik.
Undang-undang pembentukan majlis itu diluluskan Julai lalu.
Dr Subramaniam juga yakin MPGN mempunyai masa yang cukup untuk
membuat penelitian dan mengemukakan syor kepada kerajaan memandangkan
semua anggota yang dilantik mempunyai pengalaman luas berkaitan isu
tersebut.
Berikut adalah senarai penuh MPGN:
Pengerusi; Tan Sri Steve Shim Lip Kiong (bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak serta Hakim Mahkamah Persekutuan);
Timbalan Pengerusi: Datuk Dr Syed Mohamad Syed Abdul Kadir (Pengarah
Kanan Bukan Eksekutif, CIMB Bank Berhad dan Bekas Ketua Setiausaha,
Kementerian Sumber Manusia);
Lima wakil agensi kerajaan: Dr Sundaran Annamalai (Kementerian
Kewangan), Dr Mohd Gazali Abas (Unit Perancang Ekonomi), Datuk Mat Aron
Deraman (Jabatan Perkhidmatan Awam), G. Alagasan (wakil Kementerian
Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Mohd Sahar Darusman (wakil
Kementerian Sumber Manusia);
Enam wakil pekerja: Mohd Khalid Atan (Presiden Kongres Kesatuan
Sekerja Malaysia — MTUC), Abdul Halim Mansor (Setiausaha Agung MTUC -
Kesatuan Kebangsaan Pekerja Perusahaan Petroleum dan Kimia), G.
Rajasekaran (Kesatuan Pekerja Industri Logam), Andrew Lo Kian Nyan
(Setiausaha MTUC Sarawak), Catherine Jikunan (Setiausaha MTUC Sabah) dan
A. Navamukundan (Kesatuan Kebangsaan Pekerja Ladang);
Enam wakil majikan: Datuk Azman Shah Datuk Seri Haron (Presiden
Persekutuan Majikan Malaysia - MEF), Tan Sri Dr Mohd Noor Ismail
(Presiden Persatuan Pengeluar-pengeluar Pertanian Tanah Melayu),
Shamsuddin Bardan (Pengarah Eksekutif MEF), Datuk Henry Lau Lee Kong
(Setiausaha Agung Persatuan Kayu Kayan Sarawak), Alan Khoo Choom Kwong
(Pengerusi Persatuan Perundingan Majikan Sabah) dan satu lagi belum
diisi.
Lima wakil dari lain-lain: Prof Emeritus Tan Sri Anuwar Ali
(Presiden/Naib Canselor Universiti Terbuka Malaysia), Tan Sri Datuk
Mustafa Mansur (Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia),
Datuk Marimuthu Nadason (Presiden Gabungan Persatuan Pengguna
Malaysia), Dr Zakariah Abdul Rashid (Pengarah Eksekutif Institut
Penyelidikan Ekonomi Malaysia) dan Chung Hon Cheong (Pengarah Bebas
Bukan Eksekutif, Tenaga Nasional Berhad /Penasihat Khas Lembaga Pengarah
Johor Corporation).
Setiausaha: Kua Abun (Setiausaha Bahagian Dasar Sumber Manusia, Kementerian Sumber Manusia).












