Translate

Memaparkan catatan dengan label Insider. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Insider. Papar semua catatan

28 April 2013

Adik KM Sarawak, Onn Mahmud Elak Bayar Cukai Tanah.


Adik kepada ketua menteri Sarawak, Onn Mahmud, telah menggunakan kawasan perlindungan cukai Pulau Cayman untuk mengelakkan berjuta dolar cukai hasil keuntungan dari perniagaan hartanah di Australia sepanjang 20 tahun lalu, lapor akhbar Australia The Age hari ini.


Akhbar tersebut melaporkan Onn menggunakan rangkaian kewangan global rumit untuk mengeksport pandapatannya dari portfolio komersial Sydney dan hartanah kediaman bernilai kira-kira A$100 juta (311.85 juta).
Laporan itu juga berkata ramai jutawan dan ahli politik Malaysia mempunyai akaun luar pesisir di kawasan-kawasan perlindungan cukai.
Dalam satu urusniaga yang dilaporkan oleh The Age, Onn menjual tapak pembangunan pangsapuri di Sydney Potts Point dengan harga A$15.5 juta pada 2007 – mendapat keuntungan A$10.8 juta.
Bekas rakan perniagaan Onn mengatakan tiada cukai keuntungan dibayar dari urusan tersebut dan semua hasil telah dipindahkan ke suatu akaun amanah berpangkalan di syurga cukai Pulau Cayman.
“Semua urusannya distruktur dengan berhati-hati bagi memastikan dia tidak membayar cukai di Australia,” kata Farok Abdul Majeed kepada akhbar tersebut yang mengatakan beliau menguruskan perniagaan hartanah Onn di Sydney selama bertahun-tahun.
Dokumen yang diperolehi oleh pemilik The Age Fairfax Media menunjukkan Onn memberikan maklumat bercanggah kepada pihak berkuasa untuk menjamin visa perniagaan Australia dan membina portfolio hartanah yang beliau uruskan melalui akaun amanah Pulau Cayman diuruskan oleh saudagar bank Merrill Lynch di Isle of Man.
Farok sekarang sedang berjuang untuk mendapatkan berjuta-juta dolar yang beliau dakwa yuran belum dibayar, komisen dan perbelanjaan.
Firma Arkitek ternama Crone Partners juga mendakwa masih belum dibayar lebih daripada A$500,000.
Akhbar tersebut mengatakan, Onn dilaporkan sebagai orang kedua terkaya di Malaysia dengan kekayaan melebihi A$2bilion – kebanyakkannya dari urusniaga melibatkan eksport kayu yang telah menghancurkan hutan hujan tropika Sarawak.
“Isteri  Onn dan anaknya tinggal di sebuah rumah di Carrara Road, Vaucluse, dengan pemandangan merentasi Sydney Harbour. Akan tetapi, beliau menghabiskan sebahagian besar masa di Singapura dan Malaysia,” kata akhbar itu.
Dikatakan permohonan visa perniagaan Onn ditaja oleh Ryan Park Limited dan tiga syarikat-syarikat bersekutu yang beliau dan keluarganya kawal: Ferncroft Limited, Golden Arrow Limited dan Cherry Blossom Limited.
Dalam permohonannya, Onn mengatakan Ryan Park dan syarikat lain telah melaburkan lebih A$50juta untuk hartanah Syedney akan tetapi akhbar tersebut memetik Farok sebagai berkata beliau percaya jumlah pelaburan hartanah di Australia dua kali lebih daripada itu.
Nombor pendaftaran Bilangan Perniagaan Australia Ryan Park menggambarkan ia sebagai “Syarikat swasta Australia” tetapi ia tidak mempunyai rekod dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Pelaburan Australia dan sebenarnya didaftarkan di Pulau Cayman pada tahun 1991 sebagai entiti “bukan pemastautin”, lapor akhbar tersebut.
Pada Mac 2007, eksekutif Merrill Lynch bersumpah dalam perakuan bersumpah di Isle of Man yang Ryan Park adalah “syarikat asing tidak berdaftar” dan “tidak menjalankan perniagaan di Australia”, tambahnya.
Ryan Park dan tiga lagi syarikat juga berdaftar di Pulau Cayman telah dibatalkan pendaftaran syarikat tersebut di kepulauan tersebut beberapa tahun lalu, kata akhbar tersebut dalam laporan itu.
Akhbar tersebut turut mengatakan portfolio hartanah yang dikumpulkan Onn diantara awal 1990 an dan 2007 termasuk hotal dan kompleks restoran di pusat Sydney dan bangunan pejabat di Elizabeth Street, Sydney yang dijual pada 2005 dengan keutungan dipercayai sebanyak A$5juta.
Sementara itu, The Age mengatakan Farok merupakan perunding pembangunan hartanah dan pengurusan projek dan dilahirkan di Malaysia telah mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan lebih daripada A$5 juta yang beliau dakwa masih belum dibayar oleh Onn, yang enggan menjawab soalan dari akhbar tersebut.
Pada Ogos 2007, Mahkamah Agung NSW memerintahkan Onn untuk membayar A$2.2 juta kepada Farok sebagai yuran dan komisen belum dibayar. Perintah tersebut tidak diteruskan selepas beliau gagal menghadiri perbicaraan seterusnya dimana perintah tersebut dicabar oleh peguam Onn. 

05 April 2013

Sombong Dan Angkuh Kerana Tiada Siapa Yang Berani Menyentuh Beliau. Jika Rakyat Sarawak Inginkan Keadilan, BN Mesti Ditewaskan.


Taib Mahmud tiba di PWTC. — Gambar oleh Choo Choy May
Tan Sri Abdul Taib Mahmud mendakwa dirinya menjadi mangsa permainan nakal oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menyatakan pendirian tidak akan bekerjasama dengan agensi tersebut dalam siasatan rasuah yang dipalitkan ke atasnya.
Ketua Menteri Sarawak itu juga berkata tuduhan rasuah seperti yang didedahkan oleh Global Witness baru-baru ini tidak akan memberi impak kepada Sarawak.
“Mereka tidak layak mendapat kerjasama saya kerana agak nakal.
“Mereka tidak jujur,” kata Taib yang ditemui di bangunan Umno, PWTC, hari ini.
Taib juga berkata tidak takut jika disiasat oleh agensi penguatkuasa tersebut.
“Biar mereka jadikan saya mangsa... saya tidak takut,” katanya lagi.
Ketua menteri Sarawak paling lama tersebut mendapat perhatian umum bulan lepas selepas sebuah kumpulan aktivis alam sekitar mendedahkan video dokumentari menuduh pemimpin utama Barisan Nasional tersebut menerima berjuta-juta ringgit hasil daripada perjanjian tanah di negeri Borneo tersebut.
Taib juga menegaskan dirinya tidak bersalah, mendakwa sepupunya dan pihak tertentu cuba menyabitkan dirinya dalam pendedahan video tersebut dengan menawarkan diri mereka sebagai ejennya untuk mendapatkan ganjaran.
Beliau juga menolak video tersebut yang dikeluarkan GW itu bakal memberikan kesan dalam Pilihan Raya 2013 nanti.
“Ia hanya beri kesan kecil. Ia tidak mempengaruhi pemikiran orang ramai,” tambah beliau.
Dalam video berjudul  “Inside Malaysia’s Shadow State”, penyiasat GW itu menyamar menjadi pelabur luar, menunjukkan beberapa keratan video tentang perbualan dengan sepupu dan peguam Ketua Menteri Sarawak, untuk membeli tanah dengan keuntungan besar namun akan menyebabkan orang asal di kawasan tersebut akan kehilangan tanah.
Apabila ditanya sama ada BN melihatnya sebagai liabiliti, Abdul Taib berkata: “Liabiliti apa? Dalam pilihan raya lepas, saya mendapat lebih dua pertiga majoriti dan mereka tidak kisah pun tentang itu.”
BN mengekalkan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya negeri Sarawak 2011, tetapi dengan jumlah keseluruhan kecil.
Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang dipimpin oleh Taib memenangi semua kerusi yang ditandinginya. 

18 Disember 2011

Cuepacs mahu kerajaan batal ‘Exit Policy’ sektor awam


Cuepacs mahu kerajaan membatalkan dasar pemisah atau ‘Exit Policy’, salah satu komponen di bawah sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) atas alasan ia akan merugikan kaitangan awam.
Cuepacs, badan induk kesatuan sekerja awam, juga mengesyaki ia salah satu usaha kerajaan mahu mengecilkan saiz perkhidmatan awam dalam jangka panjang.
“Cuepacs mahu dasar pemisah ini dimansuhkan, kami memutuskan tidak mahu terima dasar baru ini,” kata Presidennya Datuk Omar Osman pada sidang media sempena perhimpunan dan taklimat membantah SBPA di Pusat Konvensyen CIDB di sini hari ini.
Omar berkata, pihaknya khuatir dasar itu akan digunakan untuk membuang mana-mana kakitangan awam dengan memberi markah kurang 70 peratus.
Ketika kerajaan hendak melaksanakan umur persaraan wajib 60 tahun, katanya, dasar pemisah itu tidak perlu dan tidak dialu-alukan untuk membuang atau menghentikan mana-mana kakitangan.
Malah menurut beliau, dasar pemisah boleh disalahgunakan untuk mengecilkan tenaga kerja.
Pelaksanaan SBPA juga telah memansuhkan sekitar 29,000 jawatan.
Ketika diminta mengesahkan sama ada pihaknya risau ia akan digunakan untuk mengecilkan saiz tenaga kerja sektor awam, Omar berkata, “kita nampak begitu.”
Penolakan dasar pemisah merupakan antara lima perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan kakitangan awam, kata beliau.
Perkara itu akan dibawa ke perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa pertemuan dengan Cuepacs pukul 11 pagi, Khamis ini.
Kata Omar, kerajaan masih boleh membuang atau menghentikan mana-mana kakitangan yang bermasalah menggunakan cara lain termasuk merujuk kepada lembaga disiplin.
“Kita ada kaedah-kaedah lain, akujanji, perintah am dan lembagai disiplin. Mengapa hendak gunakan dasar ‘exit policy’,” katanya lagi.
Dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider 8 Disember lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata pelaksanaan dasar pemisah tidak wajar menjadi satu isu kerana bilangan kakitangan yang tergolong dalam kumpulan mereka berprestasi rendah sangat kecil.
Abu Bakar berkata, rekod JPA menunjukkan bilangan mereka yang memperoleh markah 69 peratus dan ke bawah, kumpulan yang terdedah kepada tindakan dibersarakan di bawah sistem SBPA, yang akan dilaksanakan mulai 1 Januari ini, hanyalah 1.1 peratus.
Paras itu bersamaan dengan sekitar 15,400 orang daripada keseluruhan 1.4 juta kakitangan awam buat masa sekarang.
“Jadi, ini tidak sepatutnya menjadi isu besar ditambah pula dengan jaminan JPA akan menyiasat terlebih dahulu sebelum diambil tindakan supaya dapat dielakkan penganiayaan,” kata beliau.
Dalam penjelasan itu, Abu Bakar berkata, berhubung dengan isu penjawat berprestasi rendah iaitu markah prestasi di bawah 70 akan dibersarakan, semakan JPA ke atas sampel laporan prestasi bagi tahun 2010 melibatkan 131,196 orang penjawat awam atau 10 peratus, seramai 39 peratus memperoleh 90 markah dan ke atas, dan ia disusuli dengan 55.6 peratus mengumpulkan 80 hingga 89 markah dan 4.3 peratus lagi antara 70 hingga 79 markah.
“Mereka yang prestasi di bawah 70 iaitu 69 ke bawah hanyalah 1.1 peratus,” katanya.
Ketika ditemui pada majlis pelancaran pekeliling SBPA bagi kakitangan perkhidmatan umum, guru, polis dan Angkatan Tentera Malaysia sehari sebelum itu, Abu Bakar berkata, penjawat kerajaan yang tidak memperlihatkan prestasi baik akan dinilai mulai Januari depan, susulan pelaksanaan sistem SBPA dan akan dihentikan kerja jika terus gagal memperbaiki kedudukan mereka selepas proses penilaian.
Abu Bakar menjelaskan penilaian akan dibuat ke atas kakitangan awam yang memperoleh 69 markah dan ke bawah.
“Kita akan menilai mulai tahun depan. Mereka akan dinilai oleh panel dan akan diberi peluang untuk memperbaiki prestasi masing-masing, dan jika masih tidak berubah, mereka akan dibuang kerja,” kata beliau.
SBPA akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari ini bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).
Abu Bakar berkata, mereka bukan dihentikan secara automatik jika gagal mempamerakan prestasi tidak memuaskan, sebaliknya akan diberi peluang bagi memperbaiki keadaan.
“Tetapi akan dinilai oleh panel, selama enam bulan, mungkin ada sebab mengapa seseorang kakitangan awam tidak berkhidmat dengan baik. Kita semua manusiakan,” katanya.
“Kita kena beri mereka peluang untuk memperbaiki keadaan, dan jika masih tiada perubahan, baru akan diminta berhenti kerja,” kata beliau lagi.

11 Disember 2011

Bila Raja Porno Bercakap Tentang Hudud, Mana Perginya Para Panglima Umno.


Soi Lek: Jika ABIM berhak, saya pun ada hak persoal hudud

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, beliau ada hak untuk mempersoalkan pelaksanaan undang-undang hudud yang hendak dibawa oleh PAS.
Menurut Dr Chua, sementara Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mempunyai hak untuk memintanya memohon maaf, beliau juga ada hak untuk bercakap mengenai hudud versi PAS dan impaknya ke atas bukan Islam di negara ini.
“ABIM seharusnya mengiktiraf hak MCA sebagai parti politik. Satu forum (yang dianjurkan baru-baru ini) sebulat suara mendapati bahawa hudud PAS akan ada impak ke atas bukan Islam.
“Anda perlu dengan khusus berkata ia hudud PAS dan bukan hanya hudud,” kata beliau(gambar) dipetik Sunday Star hari ini.
Sehubungan itu kata beliau, adalah sesuatu yang mengarut untuk mengatakan bahawa bukan Islam tidak boleh bercakap mengenai hudud.
“Akhirnya, ia ada impak ke atas kesemua rakyat Malaysia, kita semua adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Kelmarin, ABIM menyerahkan satu memorandum kepada Dr Chua, mengulangi gesaan agar presiden MCA itu memohon maaf secara terbuka kepada semua umat Islam di negara ini ekoran kenyataannya mengenai hudud baru-baru ini.
Setiausaha Agung ABIM Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, pihaknya kesal di atas kenyataan prejudis beliau yang merendahkan martabat perundangan hudud sekiranya dilaksanakan di negara ini.
“Adalah jelas bahawa kenyataan beliau bersifat tohmahan, prejudis dan tidak langsung disandarkan kepada sebarang fakta atau perangkaan empirikal yang boleh menjustifikasi dakwaaan beliau.
“Namun sehingga hari ini, beliau masih belum membuat sebarang permohonan maaf secara terbuka kepada umat Islam berhubung dengan kenyataan tersebut,” kata beliau.
Justeru kata beliau, ABIM terpanggil untuk sekali lagi menggesa beliau berbuat demikian dalam tempoh masa 48 jam menerusi saluran-saluran media di negara ini.

09 Disember 2011

Pakar: Bertenang, dunia tidak akan kiamat 2012


Jika anda bimbang bahawa dunia ini akan berakhir penghujung tahun depan berdasarkan kalendar kaum Maya — bertenang kerana tarikhnya masih jauh daripada ramalan.
Itu penegasan pakar-pakar Maya yang mengetepikan sebarang kepercayaan bahawa kaum Maya purbakala telah meramalkan dunia akan kiamat dengan malapetaka buruk pada Disember 2012.
Perkara itu juga telah digambarkan menerusi filem “2012” mengenai bagaimana dunia akan menjadi alam yang berbeza akibat kemusnahan dunia yang berlaku dua tahun lalu.
Dalam filem berkenaan kalendar kaum Maya berusia 5,125 akan tamat pada 21 Disember 2012.
Tamadun ini yang pernah wujud kira-kira 200 tahun sebelum masihi memiliki ilmu astronomi yang maju dan mereka berjaya mengesan pergerakan matahari dan planet sejak beberapa ribu tahun lalu. Ia mempunyai 22 kalendar yang merangkumi kitaran masa cakerawala dan sistem solar.
Pada tanggal 21 Disember 2012 bumi dikatakan akan berada sebaris dengan pusat Galaksi Bima Sakti buat kali pertama sejak 25,800 tahun menyebabkan polar magnet bumi berganjak sekali gus mencetuskan gempa bumi, banjir dan letupan gunung berapi.
Kalendar Maya kuno dikatakan amat tepat terutama membabitkan perubahan pada planet.
Kalendar itu menyebut bahawa detik itu akan membawa kembali Bolon Yokte, dewa Maya yang dikaitkan dengan perang dan penciptaan.
Penulis Jose Arguelles merumuskan tarikh penghujung masa “yang kita ketahui” dalam buku 1987, yang spekulasinya menjurus kepada akhiran pergolakan dahsyat.
Bagaimanapun pakar-pakar yang mengadakan mesyuarat mereka di bandar raya Maya di selatan Mexico menjelaskan, ia hanya menggambarkan pengakhiran satu tempoh penciptaan dan permulaan kepada yang baru.
“Kita kena jelas mengenai ini. Tidak ada ramalan bagi 2012,” kata Erik Velasquez, pakar dari National Autonomous University of Mexico.
“Ia hanya falasi pemasaran,” kata beliau.
National Institute of Anthropological History yang berpejabat di Mexico sedang cuba untuk menghilangkan rasa ragu-ragu siri ramalan mengenai pergolakan dahsyat yang akan membawa kiamat.
“Pemikiran muluk-muluk Barat telah memutarbelitkan pandangan dunia tentangan dunia ketamadunan purbakala seperti (kaum) Maya,” kata institut itu dalam satu kenyataan yang dipetik oleh Reuters.

Zaid Ibrahim saman editor, penerbit Buletin Rakyat


Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ibrahim memfailkan saman fitnah berjumlah RM30 juta terhadap seorang penulis, pengarang dan penerbit akhbar Buletin Rakyat berhubung penerbitan satu artikel.
Zaid, yang kini Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), memfailkan saman itu menerusi Tetuan Bashir & Co pada 21 November lalu di Mahkamah Tinggi di sini.
Beliau menamakan penulis artikel Mohd Sayuti Omar, pengarang akhbar Norzah Kepol dan penerbit yang juga pemilik akhbar itu, Kantung Network Sdn Bhd, sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Dalam pernyataan tuntutannya, Zaid mendakwa penerbitan artikel bertajuk “Zaid Terus Hanyut Dalam Keegoannya” telah memfitnah dan membawa maksud bahawa beliau memiliki moral politik yang rendah, seorang yang ego, bersikap autokratik, menggunakan kekayaan untuk memaksa orang tunduk kepadanya dan tidak memiliki ketinggian budi pekerti.
Zaid menuntut satu perintah menghalang kesemua defendan daripada menerbitkan kata-kata fitnah berkenaan di dalam akhbar dan internet, satu perintah supaya defendan mengambil langkah menarik balik atau memadamkan kata-kata fitnah itu dan defendan perlu menerbitkan atau menyiarkan permohonan maaf di akhbar itu secara berterusan selama dua bulan atau tempoh yang dianggap wajar oleh mahkamah.
Laporan Bernama Online menyebut, beliau turut menuntut ganti rugi am RM10 juta daripada setiap defendan, ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.
Selain itu, pada tarikh yang sama Zaid turut memfailkan satu injunksi untuk menghalang ketiga-tiga defendan daripada menerbitkan kata-kata fitnah tersebut dan memohon perintah interim supaya defendan mengambil langkah menarik balik atau memadam kata-kata berkenaan yang terdapat di akhbar dan internet dengan serta merta.
Sementara itu hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Datin Zabariah Mohd Yusof yang mendengar kes itu di dalam kamar menetapkan 14 Disember untuk pengurusan kes.

30 November 2011

Shahrizat guna kes liwat Anwar alih skandal NFC

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga harus meletakkan jawatan sebagai presiden PKR ekoran tuduhan jenayah dihadapi suaminya jika beliau dipaksa berundur berhubung isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini berhadapan dengan tekanan daripada PKR agar meletakkan jawatan kerajaan dan politik ekoran siri pendedahan berkaitan NFC, yang diuruskan oleh keluarganya.
Antara isu yang dibangkitkan oleh pemimpin-pemimpin PKR ialah salah guna dana projek ternakan lembu NFC termasuk untuk membeli kondominium mewah dan membiaya perbelanjaan keluarga, antaranya kos menunaikan umrah.
Sekali lagi hari ini, Shahrizat (gambar) mempertahankan dirinya bahawa beliau tidak kena-mengena dengan syarikat diuruskan oleh suami dan anak-anaknya.
Sebaliknya beliau mencabar Ketua Wanita PRK Zuraida Kamaruddin agar mendesak peletakan jawatan oleh Dr Wan Azizah.
Shahrizat membuat cabaran itu ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Agung Tahunan Wanita di sini hari ini.
Projek NFC kini disiasat oleh polis. Pengerusi Eksekutif NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail merupakan suami Shahrizat.
“Beliau (Zuraida) minta saya letak jawatan sebab suami saya terlibat dalam NFC. Beliau buat kerja beliau dan saya buat kerja saya. Saya tiada kaitan dengan itu. Mengapa minta saya letak jawatan?” kata Shahrizat di hadapan 944 perwakilan Pergerakan Wanita. “Jika itu polisi dan prinsip beliau, maka saya mencabar ketua Wanita PKR agar minta presiden PKR letak jawatan,” katanya lagi.
“Hari ini saya mencabar semua (ahli Wanita PKR) agar minta peletakan jawatan Wan Azizah sebab suami beliau (Ketua Umum PKR  Datuk Seri Anwar Ibrahim), yang telah dihukum dan didakwa,” katanya lagi.
Jelas Shahrizat, cabaran Zuraida itu umpama “gajah di depan hidung tak nampak, kuman di seberang laut nampak.”
“Wan Azizah patut didesak meletak jawatan kerana suaminya, Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim pernah disabit dan dikenakan tindakan kerana pelbagai kesalahan,” katanya lagi.
“Buat Zuraida, jangan ingat Wanita Umno penakut,  walaupun kamu menghentam saya, saya tetap senyum sampai dah tak boleh nak senyum lagi ni, itu belum kita angkat kain lagi,” tegas Shahrizat memberi amaran kepada Zuraidah supaya jangan memperlekehkan wanita Umno kerana pergerakan wanita itu jelasnya sentiasa bersedia menepis dakwaan fitnah dan songsang PKR.
Shahrizat dalam ucapan dasarnya turut menyelar Zuraida dan mengingatkannya agar tidak mengambil kesempatan terhadap Wanita Umno.
“Untuk Wanita PKR, saya beri ingatan, jangan cuba ambil kesempatan kepada kami, kami telah bersedia,” tegasnya.
Menurut Shahrizat, Zuraida dan Wanita PKR sebenarnya takutkan perjuangan Wanita Umno kerana pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menyaksikan 1.3 juta wanita menyokong perjuangan Umno-Barisan Nasional.
“Pembangkang dan PKR sebenarnya takutkan Wanita Umno, kita ada kekuatan 1.3 juta ahli kalangan wanita untuk memastikan kemenangan Umno, sebab itu mereka cuba untuk merosakkan kita dengan pelbagai cara,” tegas beliau lagi.

22 November 2011

Bekas penari istana saman Presiden Indonesia Rp7 bilion

Seorang wanita bekas penari Istana Presiden di era pemerintahan Presiden Soekarno menyaman Kerajaan Indonesia masa kini atas dakwaan negara telah melayani beliau secara diskriminatif selama puluhan tahun kesan daripada Gerakan 30 Sept Parti Komunis Indonesia (PKI) 1965, yang juga dikenali sebagai Gestapu.

Nona Nani Nurani, 70, yang menjadi penari di Istana Cipanas, Cianjur, Jawa Barat, pernah dipenjara tujuh tahun kerana dituduh menyokong PKI, setelah dia menari di satu acara ulang tahun PKI pada 1965.

Dia mendakwa cuma menari di acara itu dan bukan kader PKI, namun telah  dipenjarakan pada 23 Disember 1968 tanpa proses perbicaraan dan hanya dibebaskan  pada 19 November 1975, lapor harian Media Indonesia.

Atas dasar perjuangan dan penderitaan selama puluhan tahun itu, Nani memberanikan diri untuk menyaman Kerajaan Indonesia, yang dianggap telah merugikan dan merendahkan harakat dan martabatnya, demikian laporan Bernama Online hari ini.

Dalam samannya, Nani menuntut ganti rugi material sebanyak Rp7.46 bilion dan gantirugi bukan material sebanyak Rp30 juta, kata laporan itu.

Perbicaraan kes saman di Mahkamah Daerah Jakarta Pusat itu, bermula semalam. Saman terhadap negara itu dibuat melalui Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Peguam Nani, Andi Muttaqien dipetik sebagai berkata bahawa anak guamnya telah diperlakukan sewenang-wenangnya oleh kerajaan selama puluhan tahun, termasuk dipenjara tujuh tahun tanpa alasan jelas dan seumur hidup merasakan penderitaan akibat stigma negatif PKI.

Andi berkata layanan diskriminatif oleh kerajaan itu merupakan pelanggaran hak asasi manusia, yang dilakukan tanpa alasan jelas.

Laporan itu menyebut bahawa Nani belum mendapat hak untuk menjalani kehidupan sebagaimana yang dinikmati warga lain, sejak dibebaskan dari penjara.

Selama puluhan tahun sejak era Order Baru hingga era reformasi, Nani telah berjuang mendapatkan status sebagai penduduk tetapi belum memiliki kad pengenalan (KTP) bagi mengesahkan status kependudukannya.

Beliau pernah menyaman Penghulu Mukim Koja, Jakarta Utara pada 2003 kerana tidak mahu mengeluarkan KTP atas nama dirinya dan mahkamah memberi kemenangan kepada beliau dalam kes saman itu.

28 September 2011

Gaji Minimum: Kerajaan BN Semakin Terdesak Untuk Menghadapai PR.



PUTRAJAYA, 28 Sept — Kerajaan mengumumkan bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong sebagai Pengerusi Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) dan kadar gaji minimum pula akan diputuskan akhir tahun ini.

Bercakap pada sidang media mengumumkan pelantikan itu di sini hari ini, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata, pihaknya yakin dengan pengalaman luas Shim sebagai Pengerusi Mahkamah Perusahaan dapat membantu majlis itu membuat keputusan yang saksama dalam menetapkan gaji minimum.
Dr Subramaniam (gambar) berkata MPGN mempunyai tempoh sehingga hujung tahun ini untuk membuat pertimbangan dan keputusan serta mengemukakan syor kepada kerajaan.

“Kerajaan akan umumkan kadar gaji minimum dan makanisme pelaksanaannya pada penghujung tahun ini. Majlis itu juga akan mengeluarkan satu laporan tentang segala kajian yang mereka telah buat yang akan menjadi dokumen kepada kerajaan,” katanya dipetik Bernama Online.

Beliau juga menegaskan pelantikan anggota MPGN bebas daripada pengaruh politik.
Undang-undang pembentukan majlis itu diluluskan Julai lalu.

Dr Subramaniam juga yakin MPGN mempunyai masa yang cukup untuk membuat penelitian dan mengemukakan syor kepada kerajaan memandangkan semua anggota yang dilantik mempunyai pengalaman luas berkaitan isu tersebut.

Berikut adalah senarai penuh MPGN:

Pengerusi; Tan Sri Steve Shim Lip Kiong (bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak serta Hakim Mahkamah Persekutuan);

Timbalan Pengerusi: Datuk Dr Syed Mohamad Syed Abdul Kadir (Pengarah Kanan Bukan Eksekutif, CIMB Bank Berhad dan Bekas Ketua Setiausaha, Kementerian Sumber Manusia);

Lima wakil agensi kerajaan: Dr Sundaran Annamalai (Kementerian Kewangan), Dr Mohd Gazali Abas (Unit Perancang Ekonomi), Datuk Mat Aron Deraman (Jabatan Perkhidmatan Awam), G. Alagasan (wakil Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Mohd Sahar Darusman (wakil Kementerian Sumber Manusia);

Enam wakil pekerja: Mohd Khalid Atan (Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia — MTUC), Abdul Halim Mansor (Setiausaha Agung MTUC - Kesatuan Kebangsaan Pekerja Perusahaan Petroleum dan Kimia), G. Rajasekaran (Kesatuan Pekerja Industri Logam), Andrew Lo Kian Nyan (Setiausaha MTUC Sarawak), Catherine Jikunan (Setiausaha MTUC Sabah) dan A. Navamukundan (Kesatuan Kebangsaan Pekerja Ladang);

Enam wakil majikan: Datuk Azman Shah Datuk Seri Haron (Presiden Persekutuan Majikan Malaysia - MEF), Tan Sri Dr Mohd Noor Ismail (Presiden Persatuan Pengeluar-pengeluar Pertanian Tanah Melayu), Shamsuddin Bardan (Pengarah Eksekutif MEF), Datuk Henry Lau Lee Kong (Setiausaha Agung Persatuan Kayu Kayan Sarawak), Alan Khoo Choom Kwong (Pengerusi Persatuan Perundingan Majikan Sabah) dan satu lagi belum diisi.

Lima wakil dari lain-lain: Prof Emeritus Tan Sri Anuwar Ali (Presiden/Naib Canselor Universiti Terbuka Malaysia), Tan Sri Datuk Mustafa Mansur (Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia), Datuk Marimuthu Nadason (Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia), Dr Zakariah Abdul Rashid (Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia) dan Chung Hon Cheong (Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Tenaga Nasional Berhad /Penasihat Khas Lembaga Pengarah Johor Corporation).
Setiausaha: Kua Abun (Setiausaha Bahagian Dasar Sumber Manusia, Kementerian Sumber Manusia).

09 Julai 2011

BERSIH 2.0.: KL ‘kemarau’, kawalan polis ketat halang himpunan Bersih


Hentian Puduraya di pusat ibu negara juga kosong selepas operasinya dihentikan sejak tengah malam tadi. - Foto TMI
Pusat bandar raya Kuala Lumpur yang lazimnya sesak dengan lautan manusia dan kenderaan hari ini bertukar seolah-olah ‘bandar hantu’ dengan hanya dikawal ketat ratusan anggota polis di setiap pelusuk bagi menghalang Himpunan Bersih 2.0 petang ini.
 

Sejak tengah malam tadi 30 jalan utama memasuki Kuala Lumpur ditutup dan pagi ini sebahagian besar anggota polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ditempatkan lokasi-lokasi yang sering menjadi tumpuan demonstrasi diadakan. 

Tinjauan The Malaysian Insider yang sejak awal pagi berada di lokasi utama di Jalan Masjid Jamek dan Dataran Merdeka mendapati lebih 100 anggota polis sudah berada di sana. 

Malah turut kelihatan beberapa trak meriam air di lokasi-lokasi berkenaan di mana anggota polis dan FRU bersiap sedia berdepan dengan peserta Himpunan Bersih 2.0 yang diketuai Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Datuk Ambiga Sreenevasan dan disokong oleh Pakatan Rakyat. 

Selain di lokasi-lokasi tumpuan, polis juga menjadikan stesen-stesen LRT, Komuter dan Monorel untuk memeriksa penumpang yang menuju ke lokasi panas. 

Kenderaan-kendaraan yang memasuki ibu negara turut diperiksa. 

Di Masjid Negara yang menjadi lokasi berkumpul PAS turut dikawal ketat oleh anggota polis yang mula berada di sana sejak awal pagi. 

Selain itu, laluan masuk ke Kuala Lumpur juga turut dikawal ketat dengan polis melakukan pemeriksaan kepada kenderaan. 

Himpunan Bersih 2.0 semalam memutuskan untuk berhimpun di tempat letak kenderaan Stadium Merdeka walaupun polis sudah memberi amaran agar tidak mengadakan demonstrasi. 

Setakat jam 8.30 pagi ini, perkhidmatan LRT, Komuter dan Monorel berjalan seperti biasa dengan semua stesen boleh dituju. 

Sementara itu di Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) keadaan masih lagi terkawal dengan pemeriksaan diperketatkan dengan bantuan polis bantuan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). 

Dijangkakan kelewatan akan berlaku di bas dari selatan dan pantai timur ekoran sekatan jalan raya yang diadakan. 

Dalam pada itu laporan Bernama Online juga menyebut suasana sekitar Kuala Lumpur setakat pukul 8.30 pagi ini kelihatan lengang berikutan beberapa jalan memasuki ke pusat bandar ditutup berperingkat. 

Keadaan trafik bagaimanapun dilihat terkawal dengan anggota polis berada di beberapa kawasan bagi mengawal lalu lintas ke pusat bandar, dengan kerjasama pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). 

Sejak pukul 12 tengah malam tadi, polis telah menutup beberapa jalan masuk ke pusat bandar dan trafik dilencongkan ke beberapa jalan lain. 

Antara jalan yang ditutup ialah Jalan Syed Putra, Jalan Bukit Petaling, Jalan Chenderasari dan kawasan sekitar Masjid Negara; 

Kawasan di sekitar Dataran Merdeka, Pasar Seni, Masjid Jamek, Dataran DBKL, Kompleks Sogo, Maju Junction, Masjid Kampung Baru, Jalan Kinabalu, Jalan Kuching, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Bot, Jalan Sri Amar, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Haji Taib. 

Jalan lain yang turut ditutup ialah Jalan Raja Muda Musa, Jalan Raja Bot, Jalan Raja Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Gereja, Jalan Raja Chulan, Jalan Tun Perak, Jalan Tun Tan Cheng Lok, Jalan Sultan Mahmud dan semua kawasan berhampiran. 

Sementara itu, perkhidmatan bas di tiga terminal utama di Kuala Lumpur beroperasi sementara di terminal lain sejak awal hari ini. 

Perkhidmatan bas ekspres dari Pantai Timur di Terminal Hentian Putra dan bas SKS (dari Seremban) di Pudu Raya dipindahkan sementara ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Bandar Tasik Selatan. 

Perkhidmatan bas di Terminal Hentian Pudu Raya dan Terminal Hentian Jalan Pekeliling pula dipindahkan sementara ke Terminal Hentian Duta, Jalan Duta. 

17 Jun 2011

Pilihan raya masjid Pulau Pinang ditangguhkan atas titah Agong


Pemilihan jawatankuasa kariah masjid di Pulau Pinang yang dijadualkan diadakan pada esok dan lusa ditangguhkan buat sementara waktu sehingga satu keputusan rasmi dibuat.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Abdul Malik Abul Kassim, penangguhan itu dibuat selepas Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) Ellias Zakaria menghadap Yang di-Pertuan Agung Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara pagi tadi.

“Saya telah diberitahu melalui telefon oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang bahawa hasil daripada satu pertemuan yang telah diadakan di Istana Negara pagi ini, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan pemilihan jawatankuasa kariah masjid ditangguhkan buat sementara waktu.

“Oleh yang demikian pemilihan yang dijadulkan pada esok dan lusa ditangguhkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemilihan jawatankuasa kariah masjid yang julung kali diadakan itu menggunakan kaedah pilihan raya.

Kaedah yang digunakan kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu dikritik pemimpin-pemimpin Umno.

Tambah Abdul Malik, MAIPP akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan perkara itu.

Laporan Bernama Online menyebut seramai 4,485 calon telah menawarkan diri untuk mengisi 4,530 jawatan di 151 daripada 200 masjid di Pulau Pinang dalam pemilihan jawatankuasa kariah masjid yang pertama kali diadakan.

Abdul Malik sebelum ini berkata pengundian akan berlangsung semasa mesyuarat agung masjid-masjid esok dan 34 buah masjid tidak akan mengadakan pemilihan kerana anak-anak kariahnya telah mengadakan kompromi manakala lapan buah lagi tidak menghantar borang pencalonan selepas pencalonan ditutup pada 7 Jun.

Menurut laporan itu juga, Abdul Malik juga berkata pilihan raya masjid itu menepati Seksyen 22 (4) Enakmen Majlis Agama Islam Pulau Pinang. 

15 Jun 2011

IGP: Ugutan godam laman web kerajaan, Malaysia tingkat sekuriti




Paparan skrin mengatakan Anonymous mengugut untuk menggodam laman web kerajaan Malaysia awal pagi esok.


Malaysia mula meningkatkan tahap keselamatan ekoran ugutan bahawa laman web rasmi kerajaan akan digodam oleh kumpulan yang menggelar diri mereka Anonymous berikutan langkah pihak berkuasa mengadakan tapisan program hiburan dan menjejaki aktivis.

“Kami ada menerima kata-kata ugutan ini. Banyak agensi terlibat dalam ini dan kami akan bertindak,” kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar kepada Reuters hari ini.

“Siasatan perlu dijalankan dan kami harus melindungi sistem kami pada masa yang sama,” katanya.

Laporan Reuters juga berkata, Malaysia menjadi negara terbaru berhadapan dengan sasaran perang siber yang digerakkan oleh aktivis, yang mula popular apabila mereka mengganggu laman web MasterCard dan Paypal yang memutuskan perkhidmatan kewangan kepada Wikileaks.

Mereka juga ada hubungan dengan kumpulan-kumpulan yang pernah menggodam laman web di Syria, Tunisia, Mesir dan India.

Menurut Reuters lagi, dalam satu lagi makluman disiarkan di laman pastebin.com, Anonymous berkata tindakan Malaysia menapis program televisyen dan filem dan menghalang laman-laman perkongsian fail menyebabkan pihaknya mengambil tindakan mahu menggodam laman web  http:www.malaysia.gov.my.

“Internet adalah untuk kebebasan, tanpa rasa takut dengan campur tangan kerajaan,” kata kumpulan itu.

“Kami bimbang bahawa jika anda membuat keputusan susulan untuk membuang kebebasan awam. Kami bertanggungjawab untuk bertindak pantas dan tiada belas kasihan,” katanya.

Pada 2009, Malaysia bercadang untuk mengadakan sistem tapisan Internet, yang mirip projek Green Dam yang diperkenalkan oleh China.

Bagaimanapun seperti juga di China, Malaysia berundur daripada melaksanakannya ekoran kritikan banyak pihak.

Mengikut laporan media semalam, Anonymous mengancam untuk menggodam laman web kerajaan di bawah “Operation Malaysia” awal pagi esok.

Kumpulan itu menghantar mesej mengatakan bahawa ia akan menggodam pada pukul 3.30 pagi esok waktu Malaysia ( 7.30 petang ini, waktu GMT).

Ugutan itu dibuat dalam bentuk grafik disiarkan di lamab web http://i.imgur.com/PTFWh.png.

Mikko Hypponen, ketua pejabat penyelidikan di F-Secure Corporation, sebuah firma sekuriti perisian yang berpejabat di  Helsinki, Finland menghantar mesej mengenainya menerusi Twitter kira-kira 4.42 pagi semalam (waktu Malaysia).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

4U2C Posts

News Story

SELSEMA