Translate

Memaparkan catatan dengan label HarakahDaily. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label HarakahDaily. Papar semua catatan

13 Januari 2014

Mengalah Bukan Bererti Kalah Kerana Ia Untuk Kebaikkan Semua Dan Hentikan Dendam Politik.


Akhirnya Mukhriz Mengalah Dan KUIN Kembali Ke Kuala Ketil.


PROGRAM pertama Kolej Universiti Insaniah (Kuin) selepas kerajaan negeri bertukar tangan ialah memindahkan semula pusat pentadbiran dari kampus induk di Kuala Ketil kembali ke tapak asal yang sempit di Mergong.

Sebaik kampus induk Kuin dirasmikan pada Disember 2012 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, pusat pentadbiran institusi pengajian yang menjadi kebanggaan kerajaan negeri itu berpindah dari Mergong ke Kuala Ketil.

Semua kuliah pengajian Kuin juga turut dipindahkan secara berperingkat. Walaupun pada peringkat awal terdapat pelbagai masalah kerana asrama pelajar belum sempat disiapkan namun akhirnya masalah tersebut diatasi dengan pelbagai usaha.

Ditakdirkan Pakatan Rakyak tumbang dalam PRU14, maka pentadbiran Kuin pun bertukar tangan selepas rektornya Prof Dr. Mohd Jamil Othman melepaskan jawatan.

Pemangku Rektor kemudian diserahkan kepada Dato’ Che Barni Mohd Nor, seorang yang bukan dari latarbelakang pengurusan akademik.

Melalui keputusan terburu-buru yang dibuat oleh kerajaan baru dan pentadbiran baru, pusat pentadbiran kembali dipindahkan di Mergong. Mereka memberi pelbagai alasan terhadap perpindahan tersebut. Antaranya kerana kos pengurusan yang terlalu tinggi dan kerajaan negeri tidak sudi membuat pelaburan dalam projek yang ibarat ‘mencurah air ke daun keladi’.

Namun terdapat sumber dalaman menyebut bahawa antara sebab kembali ke Mergong adalah kerana terdapat pegawai yang tinggal di Alor Setar tidak sanggup berulang alik ke Kuala Ketil yang agak jauh. Jika benar dakwaan ini maka teruk sungguh pegawai tadbir di bawah kerajaan BN.

Manakala sebab kerajaan negeri mahu pusat pentadbiran berpindah ke Mergong, tidak lain tidak bukan berpunca dari sikap ego. Iyalah, jika mereka kekal di Kuala Ketil, ia macam pengiktirafan terhadap kejayaan yang dibuat oleh kerajaan lalu. Mukhriz yang pernah menjadi peserta demonstrasi haram bersama segelintir kakitangan Kuin menghentam kerajaan negeri tentulah rasa tercabar untuk mengiktiraf buah tangan Tan Sri Ustaz Azizan Razak. Sekalipun kembali ke Mergong adalah perbuatan 'kurang cerdik' tapi bagi kerajaan Mukhriz biarlah 'kurang cerdik' asal jangan iktiraf kecerdikan kerajaan lalu.

Di Mergong pelajar terpaksa kembali bersesak menghadiri kuliah. Siapa yang datang lewat terpaksa berada di luar kelas, mengikuti pengajian melalui tingkap. Di zaman siber ini semua gelagat lucu itu terakam dan tersebar dengan pantas ke alam maya. Teruknya kerajaan BN mentadbir Kuin menjadi bahan gelak ketawa dunia luar.

Kampus induk yang besar dan lengkap segala kemudahan tidak digunakan sebaliknya mereka memilih suasana penuh kedhaifan. BN dapat Kuin diibaratkan seperti kera dapat bunga.

Rektor baru


Kerajaan negeri kemudiannya memilih rektor baru iaitu Prof Datuk Mohd Yusof Kasim. Beliau adalah orang akademik dan bukan orang politik. Keputusan yang dibuat adalah berdasarkan campur, tolak, darab, bahagi – pengurusan akademik. Beliau memilih untuk kembali ke kampus induk di Kuala Ketil.

Nampaknya dalam menguruskan negeri, kerajaan Mukhriz jadi macam Lebai Malang sekejap ke hulu, sekejap ke hilir dan kembali ke hulu. Macam Pak Pandir, sentiasa salah dalam membuat keputusan. Macam Pak Kadok, jadi bahan gelak ketawa orang ramai dengan gelagat baju kertasnya.

Alhamdulillah, akhirnya kerajaan negeri memanfaatkan sepenuhnya kampus induk yang menjadi buah tangan Ustaz Azizan. Memang itu yang sepatutnya dilakukan dari awal.

Terbaru, Mukhriz berkata kerajaan negeri bersetuju menggunakan sepenuhnya kampus induk tahun ini, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk melahirkan lebih ramai anak negeri yang dapat memimpin masyarakat serta mencorakkan kehidupan masa depan yang lebih berkualiti. Mukhriz terlewat tujuh bulan untuk mula berfikiran murni seperti itu. Tak apalah sekurang-kurangnya lebih baik dari tidak terfikir langsung mengenainya.

Tanggal 11 Januari baru-baru ini Istiadat Konvokesyen Ke 15 diadakan di kampus induk Kuin Kuala Ketil, disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong. Di hadapan Agong, Mukhriz menyebut perihal pelan transformasi Kuin menyasarkan pencapaian taraf universiti penuh menjelang tahun 2015. Sebenarnya itulah yang dihasratkan oleh Ustaz Azizan dahulu apabila membina kampus induk di atas tanah yang berkeluasan lebih 300 hektar itu dengan segala prasarana yang melayakkannya untuk diiktiraf sebuah universiti penuh.

Jika Kuin terus terperap bawah longkong tempurung macam di Mergong maka sampai bila-bila Kuin tidak jadi sebuah universiti penuh.

Ustaz Azizan juga pernah mensasarkan suatu masa Kuin akan mencapai kedudukan kewangan yang stabil serta tidak bergantung lagi pada kerajaan negeri, walaupun pada peringkat awal ia seolah menjadi bebanan kepada negeri.

“Kuin juga dijangka mencapai kelestarian kewangan dan mampu berdikari mulai 2017,” itu ucapan Mukhriz selepas tujuh bulan mendapat Kuin yang ditinggalkan Ustaz Azizan. 

Mukhriz membuktikan kebenaran wawasan Ustaz Azizan walaupun terpaksa menempelak muka sendiri dengan sikap dan tindakan lalu.

15 Disember 2013

Syahidnya Abdul Qader Mulla Jadi Inspirasi Aktivis Islam

As-Syahid Abdul Qader Mulla

Kematian Abdul Qader Mulla  tidak dinafikan lagi adalah syahid dan almarhum akan menjadi inspirasi bukan sahaja kepada rakyat Bangladesh tetapi juga kepada seluruh aktivis Islam di seluruh dunia.

Pembuktian yang direkacipta oleh para hakim yang korup jelas adalah di bawah arahan kerajaan dan bertujuan politik semata-mata.

Demikian ditegaskan Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid; Pengerusi Shura, Abdul Ghani Samsuddin; Timbalan Pengerusi Jama'iy Perak, Zulkifli Ibrahim; Timbalan Presiden Teras, Wan Tarmizi Abdul Aziz dan Yang Dipertua Salimah, Datin Aminah Zakaria dalam kenyataan media bersama, hari ini, sebagaimana di bawah.

Kami mengutuk dengan keras pembunuhan Penolong Setiausaha Agung Jamaat-e-Islami Bangladesh, Abdul Qader Mulla oleh kerajaan Awami League Bangladesh.

Kami berdiri teguh dengan kenyataan bahawa perlaksanaan hukuman bunuh yang dilaksanakan dua hari yang lalu adalah suatu pembunuhan kejam, zalim dan suatu keputusan oleh sebuah sistem kehakiman Bangladesh yang bersifat kriminal.

Kematian Abdul Qader tidak dinafikan lagi adalah syahid dan almarhum akan menjadi inspirasi bukan sahaja kepada rakyat Bangladesh tetapi juga kepada seluruh aktivis Islam di seluruh dunia.

Pembuktian yang direkacipta oleh para hakim yang korup jelas adalah di bawah arahan kerajaan dan bertujuan politik semata-mata.

Mahkamah yang membicara beliau dan beberapa pemimpin Jamaat Islami lagi telahpun dipersoal oleh organisasi hak manusia antarabangsa, kerajaan dunia dan juga PBB.

Abdul Qader telah dihukum dan menjalani hukuman mati oleh hakim yang paling korup di bawah telunjuk dan arahan pemimpin parti Awami League.

Kami menyampaikan takziah kepada ahli keluarga Abdul Qader dan syahidnya beliau akan mencetuskan kebangkitan di kalangan golongan muda untuk menentang kerajaan tirani Awami League.

Kami mengutuk kerajaan dibawah  Awami League yang dipimpin oleh Perdana Menteri  Sheikh Hasina yang telah mewujudkan Tribunal Jenayah Antarabangsa yang bertujuan untuk menghapuskan musuh politik Hasina, iaitu Jamaat Islami.

Tribunal tersebut tidak memenuhi standard antarabangsa. Inilah yang menyebabkan kumpulan hak manusia, PBB dan para ahli perundangan antarabangsa mempersoalkan pembicaraan ke atas pemimpin Jamaat Islami.

Tujuan utama Tribunal tersebut adalah untuk kerajaan yang sedia ada mempertahankan kuasa dan  menghapuskan musuh politik terutama Jamaat Islami dengan cara mengembleng golongan sekular, hakim dan pemimpin-pemimpin  Awami League agar menangkap dan membicara pemimpin Jamaat Islami.

Keputusan menjatuhkan hukum bunuh ke atas Abdul Qader jelas adalah keputusan yang diarah oleh Syeikh Hasina.

Jamaat Islami dilabel sebagai parti anti liberal dan sebuah organisasi penjenayah.

Ia adalah sebuah keputusan yang sama sekali tidak masuk akal kerana ia menafikan hakikat sejarah. Jamaat Islami yang telah melibatkan diri dalam pilihanraya sejak 1986  dalam pilihanraya Bangladesh secara sah telah diterima oleh sistem negara itu dan ada pemimpinnya yang telah menang dan menjadi Ahli Parlimen Bangladesh. Jadi bagaimana ia boleh dituduh organisasi penjenayah?

Hujah hakim jelas adalah direka-reka, manakala keputusan sudah pun ditetapkan untuk menghapuskan Jamaat.

Kami yakin pembicaraan tersebut hanyalah sebuah konspirasi politik antara kerajaan, hakim dan kelompok elit sekular untuk melaksanakan hukum bunuh tersebut.

Malah konspirasi itu didedahkan dalam majalah The Economist yang merakam perbualan antara hakim dan seorang musuh Jamaat Islam Dr Ahmad Ziauddin yang menetap di Belgium.

Arahan Perdana Menteri Sheikh Hasina “…no one will be able to stop the trial of war criminals. They will be executed on this soil” (The Daily Star, 3 March 2013). Abdul Qader adalah mangsa pertama dari arahan Hasina.

Kami melihat kerajaan Bangladesh yang ada sekarang bukan lagi sebuah kerajaan yang kredibel untuk memerintah kerana dengan wujudnya sebuah sistem kehakiman yang korup, negara itu tidak lagi mempunyai sebarang kredibiliti di mata dunia dan ia jelas sedang menuju ke arah sebuah negara yang gagal.

Tindakan kerajaan Bangladesh ini akan mengakibatkan rantau ini bakal menghadapi ketegangan yang akan mempunyai implikasi yang serius terhadap kestabilan dan sekuriti kawasan ini.

Kami menuntut PBB campurtangan sebelum terlambat dan menghentikan tindakan mahkamah Bangladesh yang akan meneruskan keputusan menjatuhkan hukuman mati keatas beberapa pemimpin Jamaat dan juga pemimpin BNP. Kerajaan Bangladesh tidak boleh dibiarkan meneruskan hukuman bunuh ke atas musuh politik Hasina dengan mengguna tribunal yang penuh kepalsuan itu.

Kami menggesa semua pemimpin dunia untuk menuntut regim Hasina menghentikan pembicaraan ini dan tidak meneruskan melaksanakan hukuman bunuh yang dijatuhkan ke atas pemimpin-pemimpin Jamaat Islami. HD

05 Mac 2013

Tidak Mahu Menyerah Tetapi Sedang 'Berstirehat'


Laporan portal berita Philippine Daily Inquirer menyebut kumpulan bersenjata yang kini berdepan serangan pasukan keselamatan Malaysia, tidak akan menyerah malah menegaskan akan berjuang sehingga titisan darah terakhir.

Laporan itu menyebut, jurucakap kesultanan Sulu Abraham Idjirani (gambar)memberitahu demikian kepada satu stesen radio selepas dihubungi ketua kumpulan itu, Azzimudie melalui telefon.

"Tidak. Tidak menyerah," kata Idjirani, yang menambah Azzimudie dalam perbualan terakhir mereka melalui telefon memberitahunya bahawa mereka kini sedang "beristirahat".

Idjirani juga dilaporkan berkata, kumpulan bersenjata itu akan mencari jalan untuk keluar dari keadaan bahaya demi kelangsungan mereka.

Namun masa panggilan itu dibuat tidak dinyatakan.

Sementara itu, AFP melaporkan Jurucakap Presiden Benigno Aquino III berkata, Filipina telah melakukan sedaya upaya bagi mengelakkan pencerobohan di Sabah berakhir dengan pertempuran.

Namun katanya, kumpulan yang mendakwa pengikut kepada Jamalul Kiram III, pewaris kepada Sultan Sulu itu memilih 'jalan sendiri'.

Setiausaha Luar Filipina, Albert del Rosario pula dilaporkan masih berada di Kuala Lumpur untuk berunding dengan Menteri Luar di Malaysia bagi menyelesaikan kemelut itu.

Difahamkan Filipina meminta pihak berkuasa Malaysia untuk membantu menyediakan perjalanan keluar yang selamat dari Sabah untuk wanita Filipina dan mereka yang bukan penceroboh bersenjata.

18 Julai 2012

TV Hijrah Didakwa Pecah Belahkan Islam.


Kepada:
Ketua Pegawai Eksekutif
Al Hijrah Media Corporation
Kompleks Pusat Islam, Jalan Perdana,
50480 Kuala Lumpur, Malaysia.

Assalamualaikum wr wb

Tuan,

Menyemai Perpecahan Dalam Kalangan Umat Islam


Saluran Televisyen Al Hijrah merupakan salah satu saluran yang mempunyai ramai bilangan penontonnya. Sikap, pemahaman, pandangan dan tindakan mereka yang menonton rancangan televisyen itu akan dipengaruhi apa yang mereka tonton. Oleh sebab itu, sebagai pengendali saluran Islam, anda mempunyai tanggungjawab yang besar untuk melaksanakan penelitian yang rapi dalam penyampaian mesej melalui saluran televisyen kepada penonton agar ia tidak melanggar ajaran al Quran yang menuntut kebaikan dan melarang kemungkaran.

Al Hijrah, dalam kenyataan misi dan visinya, telah berjanji untuk menjadi stesen penyiar dengan misi untuk mendidik, menghibur dan menyatukan umah melalui siaran yang berkualiti dan kreatif berdasarkan ajaran Islam yang sesuai dengan masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Memandangkan  misi yang suci ini, kami amat terkejut apabila mendapati bahawa TV Al Hijrah menyiarkan suatu diskusi panel di mana ahli panel yang dianggap sebagai sarjana Islam membuat tuduhan tidak berasas terhadap Syiah yang hanya akan menimbulkan perpecahan dan kebencian dalam kalangan umat Islam.

Mereka menuduh Syiah berkomplot bersama Yahudi,  menganggap Islam Sunni sebagai anjing, mengamalkan penipuan, dan tuduhan lain yang mengapi-apikan yang boleh menimbulkan kebencian Islam Sunni terhadap saudara Syiah mereka. Kenyataan provokasi seperti itu jelas melanggar perintah Allah swt: Berpegang teguhlah dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah antara kamu... [Surah Al Imran 3:103].

Siaran TV yang mengutuk Syiah menjejaskan inisiatif yang diambil untuk menggalakkan pemahaman yang lebih luas antara mereka dan kita golongan Sunni dalam usaha untuk menguatkan perpaduan Islam selaras dengan pengajaran al Quran.

Pada Julai 2005, berdasarkan fatwa yang dikeluarkan oleh 24 ulamak kanan (termasuklah Sheikh Al Azhar, Ayatollah Sistani dan Sheikh Qaradawi), Raja Abdullah II dari Jordan telah menganjurkan satu persidangan Islam antarabangsa yang dihadiri oleh 200 sarjana Islam terkemuka dunia dari 50 negara yang telah mengeluarkan fatwa berikut:

•    Sesiapa sahaja yang patuh kepada salah satu daripada empat Usuluddin Islam mazhab Sunni (Hanafi, Maliki, Shafei dan Hanbali), dua Usuluddin Islam mazhab Syiah (Ja’fari dan Zaydi), Usuluddin Islam  mazhab Ibadi dan Usuluddin Islam mazhab Thahiri adalah seorang Islam. Mengisytiharkan seseorang itu sebagai murtad adalah mustahil dan tidak dibenarkan.

•    Terdapat lebih banyak persamaan antara pelbagai mazhab Usuluddin Islam berbanding dengan perbezaan antara mereka. Pengikut lapan mazhab Usuluddin  Islam ini bersepakat dalam perkara prinsip asas Islam.

•    Semua percayakan Allah (Tuhan), dimuliakan dan ditinggikan, esa dan unik; al Quran itu suci dan wahyu yang dipelihara dan dilindungi oleh Allah, dimuliakan serta tiada sebarang perubahan dan pindaan; dan Muhammad s.a.w adalah Rasul dan Nabi untuk semua manusia.

•    Semua bersetuju mengenai lima rukun Islam: mengucap dua kalimah syahadah; solat; mengeluarkan zakat; berpuasa di bulan Ramadan dan menunaikan haji ke Mekah. Semua bersepakat mengenai rukun Iman: percaya kepada Allah, Malaikat, Al Quran, Rasul, Hari Kiamat dan Qada dan Qadar.

•    Ketidaksepakatan antara ulama antara lapan mazhab Usuluddin Islam itu hanya pada cabang agama (furu) dan beberapa asas (usul) [agama Islam]. Ketidaksepakatan tentang  cabang agama (furu) adalah satu rahmat. Lama dahulu dikatakan bahawa kepelbagaian pendapat dalam kalangan ulama adalah satu rahmat.

Fatwa itu diterima dengan sebulat suara di sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam di Mekah pada Disember 2005 dan oleh enam perhimpunan ulama Islam antarabangsa lain, kemuncaknya dengan Akademi Fekah Islam Antarabangsa yang berpusat di Jeddah pada Julai 2006. Jumlahnya, lebih 500 ulama Islam terkemuka dari seluruh dunia menerima dengan sebulat suara fatwa dan Mesej Amman. [Kunjungi laman sesawang rasmi Mesej Amman (Amman Message) untuk senarai lengkap mereka yang menerima fatwa itu].

Resolusi 152 Akademi Fekah Islam Antarabangsa, Islam dan Satu Ummah, dan mazhab Usuluddin  Islam, menyeru supaya diketepikan ketidaksepakatan antara orang Islam, menghormati antara satu sama lain, menguatkan hubungan persaudaraan dan tidak membenarkan perpecahan dan campurtangan luar.

Ia menasihatkan pengajaran fekah berkaitan perpaduan Islam kepada pelajar sekolah menengah dan universiti. Ia menyarankan pihak berkuasa berkaitan di negara Islam mengambil langkah untuk mencegah percetakan, penyebaran dan pengedaran penerbitan yang menambahkan lagi perpecahan ummah.

Resolusi 152 juga menekankan jangan menyalahkan mana-mana lapan mazhab Usuluddin Islam kerana  tindakan yang salah daripada pelampau seperti membunuh mereka yang tidak bersalah, menjatuhkan maruah dan merampas harta mereka. Terdapat elemen pelampau dalam kalangan Syiah dan Sunni yang di beberapa negara menggunakan kekerasan, malah kadangkala di dalam masjid sendiri.

Elemen seperti ini perlu didedahkan dan diasingkan kerana ia menyemai perpecahan dalam kalangan umat Islam dan  memperburukkan lagi Islam. Dialog antara Syiah dan Sunni mestilah digalakkan dan disuburkan, dan sebarang perbincangan mengenai perbezaan mestilah dibincangkan dalam suasana persaudaraan.

Imam Khomeinie berpesan kepada golongan Syiah yang mengerjakan Haji agar tidak mengasingkan diri mereka daripada orang Islam yang lain.

Beliau menasihati jemaah Haji: “Rakyat Iran dan golongan Syiah dari negara lain dikehendaki untuk mengelakkan semua tindakan yang boleh menimbulkan perpecahan sesama umat Islam. Mereka juga perlu menyertai perhimpunan Sunni dan mengelakkan menghadiri atau membentuk solat di rumah atau memasang pembesar suara untuk menentang mereka. Mereka mestilah mengelakkan daripada melutut di makam suci atau melakukan apa sahaja yang tidak selaras dengan undang-undang yang mulia.”

Kita perlu menyedari bahawa konflik mazhab sebenarnya digalakkan oleh kuasa Barat yang mahu mengenakan hegemoni mereka ke atas umat Islam dan mengawal sumber di negara Islam. Pecah dan perintah telah menjadi dasar mereka sejak berakhirnya Perang Dunia Pertama.
Mereka menipu pemerintah Arab supaya menyokong perang mereka terhadap Khilafah Usmaniyah dengan menjanjikan kemerdekaan bagi tanah Arab, tetapi selepas mengalahkan Turki, Britain dan Perancis membahagikan wilayah antara mereka dan menubuhkan Israel dan Arab Saudi.

Kita dapat melihat ulangan dasar yang sama di Iraq, Lebanon dan Pakistan. Kuasa penjajah berusaha untuk memecahkan negara ini melalui mazhab dan suku kaum; menghasut negara Arab ‘Sederhana’ menyertai Amerika Syarikat dan Israel bagi memusnahkan Hisbullah di Lebanon, Hamas di Palestin dan melakukan pertukaran rejim di Iran.

Amat dikesalkan sekali, beberapa ulama membenarkan diri mereka digunakan sebagai alat oleh penjajah dan pemerintah-pemerintah bagi mewujudkan perpecahan dalam kalangan umat Islam.

Kita perlu memberi perhatian kepada amaran yang diberikan oleh Imam Khomeini lebih 25 tahun yang lalu: “Tangan kotor yang memburukkan perbezaan antara Syiah dan Sunni bukanlah terdiri daripada golongan Syiah dan Sunni.

Ia merupakan tangan penjajah yang merancang untuk membawa keluar negara Islam daripada tangan kita. Kuasa penjajah yang mahu merampas kekayaan kita melalui pelbagai skim dan konspirasi adalah mereka yang melahirkan rancangan untuk mewujudkan perpecahan di antara fahaman Syiah dan Sunni.”

Kami merayu kepada anda agar memainkan peranan proaktif dalam menggalakkan perpaduan dalam kalangan umat Islam dan memberikan publisiti yang meluas kepada Mesej Amman dan Resolusi 152 Akademi Fekah Islam Antarabangsa.

Anda juga perlu menghasilkan program berhubung sejarah asal cabaran yang dihadapi oleh umat Islam terutama sekali Balkanisasi dan penjajahan Barat di Semenanjung Arab selepas Perang Dunia Pertama. Kami juga menyarankan supaya penerbit rancangan anda mengkaji The Unmaking of the Middle East oleh Jeremy Salt dan The Ethnic Cleasing of Palestine oleh Ilan Pappe dan menghasilkan rancangan berdasarkan karya itu.

Bersama ini saya sertakan dokumen untuk maklumat anda dan menyebarkannya kepada penerbit rancangan TV Al Hijrah:

1.    The Amman Message

2.    Resolution 152 of the International Islamic Fiqh Academy

3.    Ahmed Deedat on Iran: A nation Reborn

4.    Qaradawi and Shia-Sunni dialogue

Kami percaya bahawa anda akan memberikan pertimbangan yang sewajarnya terhadap ulasan dan saranan dengan niat untuk menjadikan Al Hijrah sebagai saluran TV yang benar-benar Islam.

Jawapan awal daripada pihak tuan amat dialu-alukan. 

Terima kasih.

Yang benar,
S.M Mohamed Idris
Pengerusi, Citizens International

17 Julai 2012

Hudud Dan Politik.

Apabila sudah wujud kalangan wakil rakyat Umno yang mencadangkan undang-undang hudud, maka tercetus kenyataan-kenyataan balas yang mengejutkan. Ada NGO yang meminta supaya jangan mempolitikkan hukum hudud. MCA pula menuduh Umno sudah hilang akal dan ada kelompok yang berdiam diri kerana jahil. Maka lebih baik diam sahaja. Lebih mendukacitakan pula ialah kalangan ilmuan Islam yang berada dalam kelompok Umno ikut sama berdiam diri, sama ada yang sudah tua atau yang bergelar ulama muda. Kalau yang kami telah luluskan di Kelantan dan Terengganu itu hudud ciptaan PAS, sila tunjukkanlah di mana silapnya dan mana dia hudud Islam yang sebenarnya. Marilah kita menerima kenyataan ini secara positif dan berbincang secara ilmu dengan menunaikan amanah perintah Allah dan hudud adalah hukum Allah secara nas sehingga para ulama bermazhab diharamkan berijtihad.



Kesedaran sepatutnya berlaku dengan merebaknya jenayah yang menakutkan dan penjenayah yang tidak takut kepada undang-undang yang ada walau pun hukumannya lebih keras daripada hudud, seperti hukuman gantung mati mandatori kepada pengedar dadah. Bahkan tidak ada rasa gerun terhadap anggota polis yang menguatkuasakan undang-undang, sehingga rumah pegawai tinggi polis juga menjadi mangsa yang sama dan dadah boleh diedar ke dalam lokap, penjara dan pusat seranti. Ini menunjukkan bahawa keberkesanan undang-undang itu kerana mendidik masyarakat bukan menghukum tanpa mendidik walau pun terlalu keras hukumannya, ia tidak memberi kesan kepada penjenayah dan bakal penjenayah.

Hudud adalah salah satu daripada tiga jenis undang-undang jenayah yang dibahagikan oleh hukum Islam iaitu, qisas, hudud dan takzir. Menurut hukum Islam, politik adalah syarat melaksanakan undang-undang  jenayah. Salah satu daripadanya ialah hudud, saperti juga politik tidak boleh dipisahkan daripada Islam. Apabila Allah tidak menurunkan ayat-ayat hukuman jenayah termasuk hudud ketika Rasulullah S.A.W. berada di Makkah sebelum berhijrah ke Madinah. Rasulullah juga tidak melaksanakan mana-mana undang jenayah ketika berada di Makkah. Maka mengikut hukum Islam tidak diizinkan bagi seseorang bahkan haram berdosa sekiranya menangkap pencuri di rumahnya dan melaksanakan hukum hudud sendiri. Begitulah juga terhadap penjenayah yang lain. Pelaksanaannya mewajibkan penyiasatan dan kehakiman yang adil dibawah kuasa politik yang mengadakan kerajaan yang sah berdaulatnya. Maka Rasulullah S.A.W. terpaksa berhijrah ke Madinah setelah dihalang berpolitik di Makkah.  Boleh jadi mereka yang melarang hukum hudud dipolitik itu jahil ilmu politik, khususnya politik Islam.

Ada pun MCA yang menuduh Umno sudah hilang akal, menandakan Umno tidak berdakwah. Ini kerana politik tidak dihubungkan dengan dakwah. Sebenarnya Umno tidak hilang akal, tetapi akalnya datang semula setelah hilang. Tahun 80-an pernah seorang wakil rakyat Umno daripada negeri Johor mencadangkan wanita diberi pakai cawat besi.  Di waktu itu hukum hudud dianggap jumud atau tidak bertamadun dan berbagai-bagai kenyataan songsang dikeluarkan mereka. Namun kita mengharapkan ia timbul kerana kejahilan mereka. Bagaimana pula dengan ahli-ahli biro agama Umno yang diam membisu atau bersilat di hadapan Allah bahawa undang-undang Islam tidak boleh dilaksanakan, atau dengan ungkapan 'kami pun mahu melaksanakan juga, tetapi belum tiba masanya'. Sekarang sudah lima puluh tahun lebih Umno memimpin negara, masih belum tiba masanya.

Bersyukur kepada Allah kerana PAS telah berjaya mencetuskan kesedaran kembali kepada Islam, sehingga suaranya bukan sahaja berjaya menerima kedatangan beberapa tokoh Umno untuk menyertai PAS secara terbuka atau secara senyap, tetapi juga menerima kedatangan kalangan pagawai kerajaan dan para ilmuan. Tercetusnya suara pelaksanaan Islam dalam diri Umno menandakan suara PAS sudah masuk ke dalam telinga mereka yang berada dalam bahtera Umno. Mengapa masa lebih setengah abad bahtera Umno masih tidak sampai ke destinasi melaksanakan Islam yang ditunggu-tunggu? Mungkin laksana mereka yang menaiki bas ekspres yang tidak membaca tiket yang dibeli atau apa yang ditulis ke mana arahnya politik kenderaan Umno.

DAP yang bergaul dengan PAS menentang hukum hudud secara terbuka dan berhujah dengan tegas. PAS terpaksa menjawab hujah DAP dan melayan media Umno yang mahu melagakan PAS dengan DAP. Namun tidaklah sampai DAP menuduh PAS hilang akal sebagaimana MCA sebut kepada Umno.

Presiden PAS

16 Januari 2012

Gantung keluarga Shahrizat dari NFC


KUALA LUMPUR, 16 Jan:Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didesak supaya menggantung penglibatan kaum keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil di dalam operasi NFC.

Najib juga dicadang agar melantik pentadbir korporat (corporate administrator) untuk mengambil alih pengurusan dengan mandat membongkar semua penyelewengan yang telah berlaku.

Cadangan ini dikemukakan PKR melalui Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli.

Dalam kenyataannya, Rafizi berkata, pihaknya  memandang serius kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif NFC, Encik Wan Shahinur Izmir Salleh (yang juga anak kepada Datuk Seri Shahrizat Jalil) bahawa operasi NFC berjalan seperti biasa walaupun kerajaan mengarahkan agar aset NFC dibekukan, yang dikeluarkan semalam.

Kenyataan itu menimbulkan persoalan apakah Datuk Seri Najib Tun Razak hanya membuat kenyataan kosong tanpa memberikan arahan khusus, atau NFC mengingkari arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan?

"KEADILAN konsisten mendesak supaya aset NFC dibekukan dan pentadbir korporat (corporate administrator) dilantik untuk mengambil alih pengurusan NFC dan melakukan audit penuh bagi membongkar kesemua penyelewengan yang telah berlaku," katanya.

Bagi beliau, tindakan “membekukan aset NFC” sepatutnya bermakna:

1.      Sebarang perbelanjaan selain dari membayar gaji pekerja-pekerja yang bertugas dalam operasi penternakan lembu (seperti yang dimandatkan di dalam perjanjian pembiayaan oleh kerajaan) perlu dibekukan;

2.      Pengurusan sedia ada yang terdiri dari kaum keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil tidak dibenarkan membuat sebarang keputusan bersabit operasi, kewangan, sumber manusia dan keputusan-keputusan penting lain;

3.      Sebarang pemindahan wang keluar dari NFC, termasuk pembayaran gaji dan perbelanjaan syarikat-syarikat lain yang dimiliki oleh keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil perlu dihentikan serta-merta; dan

4.      Sebarang keputusan mengenai aset atau struktur syarikat dan pelaburan tidak dibenarkan dibuat bagi mengelakkan pemindahan aset.

Secara lazimnya, kata Rafizi, dalam amalan korporat yang berdasarkan tata kelola yang baik, apabila seseorang disiasat akibat tuduhan pecah amanah, beliau tidak dibenarkan masuk ke pejabat dan digantung serta-merta bagi mengelakkan cubaan menghapuskan bukti.

"Kenyataan NFC yang menunjukkan kaum keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil masih bebas menggunakan wang dan menguruskan operasi NFC membawa risiko besar yang menjejaskan bukti dan rekod kewangan NFC," katanya.

Sekiranya kerajaan tidak bertindak dengan tegas, PKR tidak ada pilihan kecuali terus membongkarkan pelbagai penyelewengan yang ada di dalam rekod kami untuk meningkatkan tekanan politik terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak untuk bertindak dengan telus dan tidak berdolak dalih, kata Rafizi.

Menurut beliau, petang esok (17 Januari 2012, jam 2 petang di Balai Polis Dang Wangi), aktivis PKR diketuai Saudara Fariz Musa, ahli Majlis Pimpinan Pusat akan membuat satu lagi laporan polis mengenai perbelanjaan kad kredit oleh keluarga Datuk Seri Sharizat Jalil dalam tahun 2009 yang melampaui batas.

Penelitian PKR menunjukkan bahawa dalam tahun 2009, perbelanjaan kad kredit oleh kaum keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil mencecah RM593,500 yang dibiayai sepenuhnya oleh wang rakyat melalui NFC seperti berikut:



Pendedahan sebegini, katanya,  akan diteruskan sehinggalah Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil tindakan yang melambangkan beliau dan rakan-rakan kabinet beliau menerima sepenuhnya pertanggungjawaban ke atas penyelewengan yang berlaku di dalam NFC.

12 Januari 2012

Rumah Wardina dirompak, suami dipukul

KUALA LUMPUR, 12 Jan: Rumah selebriti terkenal, Wardina Safiyyah (gambar)telah dipecah masuk dan dirompak tiga perompak bersenjatakan parang malam tadi, mengakibatkan kerugian lima buah komputer riba milik keluarganya.

Menurut Wardina yang berkongsi pengalaman mencemaskan keluarganya itu melalui laman sosial Twitter memberitahu, suaminya, Ikhwan Johari dipukul perompak manakala anak-anaknya sedikit trauma akibat insiden tersebut.

“We have been robbed! 3 robbers came into our house baru tadi! Indo workers. Kids and me terrified! All laptops 5 buah diambil. Hpless too.

“It was very scary seing 3 masked men carrying tongkat & parang in our house..was hiding under the blanket with kids, takut sangat Ya Allah.

“Police dah sampai..Pencuri bertopeng, pukul Ikhwan,” kata Wardina yang dipetik dari laman Twitter miliknya awal pagi tadi.

“Takut sgt dia apa-apakan kami, sbb marah tak de brng kemas…Kids trauma sikit,” katanya lagi.

Agak melucukan apabila perompak-perompak yang dipercaya warga Indonesia itu sempat memarahi Wardina sekeluarga kerana tidak menyimpan barang kemas di rumah mereka untuk dicuri.

Wardina atau nama sebenarnya Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot, 33, membuat laporan di balai polis berdekatan dan polis dan pihak polis masih menyiasat kejadian tersebut di rumahnya.

Buat masa ini, Wardina terpaksa meminjam komputer riba milik jiran untuk berkomunikasi dengan dunia luar.

Pengacara Malaysia Hari Ini (MHI) itu juga percaya bahawa perompak yang memasuki rumahnya itu masih berkeliaran di sekitar Ampang dan meminta orang ramai melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ternampak beberapa warga Indonesia yang mencurigakan.

06 Disember 2011

Lesapkan Wang Rakyat Tetapi Salahkan DAP

Orang Melayu diingatkan agar tidak terpengaruh dengan politik kotor Umno yang menggunakan DAP sebagai modal untuk menakut-nakutkan mereka, sebaliknya perlu sedar dengan salah guna kuasa dan penyelewengan wang rakyat yang dilakukan parti itu.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, Umno dalam perhimpunan agungnya minggu lalu secara tidak langsung mengakui sudah tidak mampu menarik sokongan orang Melayu kerana urus tadbir negara yang semakin lemah di bawah pemerintahan mereka.

Justeru, Umno terpaksa menuduh DAP akan lebih berkuasa dan mengambil hak orang Melayu jika orang Melayu menyokong Pakatan Rakyat.

"Saya nak ingatkan orang Melayu, jangan sampai kita takut kepada DAP, RM250 juta hilang dalam NFC (Perbadanan Fidlot Negara), takut dengan DAP, RM52 bilion saham bumiputera tinggal RM2 bilion, takut dengan DAP akhirnya RM1.8 bilion diberi kepada Tajudin Ramli (bekas Pengerusi Syarikat Penerbangan Malaysia-Mas), takut dengan DAP, berlaku skandal dalam wang PPRT RM32 bilion oleh menteri Umno," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.

Tambah Mahfuz, Umno terpaksa menarik sokongan orang Melayu yang semakin menurun bagi membolehkan mereka terus memerintah dan mengumpul kekayaan untuk  kroni mereka.

"Umno gunakan DAP untuk takutkan Orang Melayu, tapi dalam masa yang sama terus memunggah khazanah negara untuk kroni mereka," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Menurut beliau juga, perhimpunan agung Umno juga membuktikan parti itu masih takut memberi ruang yang sepenuhnya kepada perwakilan untuk membincangkan soal integriti kepimpinannya.

"Awal-awal lagi Ketua Polis Negara keluarkan kenyataan tak berlaku pecah amanah dalam NFC yang dimiliki suami (Datuk Seri) Shahrizat (Jalil). Ini hanya untuk mengelakkan huru hara dalam perhimpunan agungnya.

"Bila ada kenyataan daripada Ketua Polis Negara, perwakilan tak bangun persoal soal NFC tapi saya yakin Orang Melayu mempunyai pendirian yang sama iaitu mempersoal dan mempertikai kepimpinan Umno," katanya.

Siang Menjerit Bela Melayu, Malam Gadai Tanah

Umno berjaya mengalih isu kegagalan mereka selama ini membela Melayu di negara ini, kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.
“Sebaliknya peluru dihalakan kepada Pakatan Rakyat, khususnya DAP yang dianggap menyebabkan orang Melayu tinggal terkebelakang,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Katanya, Persidangan Agung Umno telah menjadi pesta memaki hamun terhadap pimpinan Pakatan Rakyat supaya perwakilan tidak membincang masalah cincin RM24 juta, projek lembu RM250 juta kepada suami Shahrizat, masalah Datin Seri Rosmah dan kepincangan Laporan Audit Negara.
“Semua isu ini berjaya didiamkan apabila perwakilan dicandukan dengan serangan kepada Pakatan Rakyat,” katanya.
Menurutnya, bermula daripada ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan Mesyuarat Pemuda, Wanita dan Puteri umno sehinggalah kepada perbahasan perwakilan semuanya membelasah Pakatan Rakyat.
Beliau menambah, mereka memahami bahawa Umno perlukan undi Melayu sahaja, undi bukan Melayu mereka tidak mengharapkan lagi.
Katanya, Persidangan Agung Umno cuba memutar belitkan fakta kononnya Melayu ketinggalan semuanya angkara DAP.
Persoalannya, kata beliau DAP baru sahaja memerintah Pulau Pinang pada 8 Mac 2008, siapa yang memerintah Pulau Pinang selama ini.
Tambahnya, tindakan Umno menjerit orang lain yang mengkhianat orang Melayu seperti pencuri menjerit pencuri.
Justeru, beliau menyenaraikan pengkhianatan Umno kepada orang Melayu sebagai ‘tazkirah’ untuk pimpinan Umno yang mudah lupa.
Soalnya, siapa yang menghalau orang Melayu di di Kampung Plentong Tengah  Johor Baharu hampir 290 buah rumah yang ditolak dan dihalau pada 16 Oktober 2009.
Tambahnya, diskriminasi terhadap kerajaan yang sebangsa dan seagama di Kelantan seperti menyekat 118 projek di Kelantan sejak 1991 (Rancangan Malaysia Ke-6), merompak royalti minyak di Terengganu dan Kelantan sedangkan rakyat negeri itu majoriti Melayu.
“Siapa yang bertanggungjawab melesap saham Bumiputera daripada RM52 bilion (1984), hanya tinggal RM2 bilion (2005)?
“Siapa yang pernah menjual Syarikat Bernas (Syarikat Beras Negara) dijual  kepada syarikat  Hong Kong Wan Tak  Co. Ltd sebanyak  31.36%?” tanya beliau.
Umno, ujarnya melesap wang PPRT sebanyak RM32 juta di mana menterinya ketika itu, Datuk Annuar Musa daripada Umno.
Umno juga, katanya mengkhianati kepada  pendidikan orang Melayu kerana mengajar Metematik dan Sains  dalam bahasa Inggeris pada tahun 2003.
Menurutnya, wang rakyat hangus hampir RM5 bilion dan siapa yang menggadai tanah rezab Melayu dari 3 juta hektar pada tahun 1957 kepada  1.7 juta hektar (1995).
Katanya lagi, siapa yang bertanggungjawab terhadap 26,000 hektar  tanah rezab Melayu di Tanjung Langsat-Tanjung Piai Johor diambil untuk New Town Ship,rojek yang diusahakan oleh Kuok Brother Collabratioan UEM.
Beliau berkata, seluas 200 ekar tapak kilang simen Perak Hanjoong (sekarang YTL digadai oleh pemimpin umno kepada YTL), tanah rizab melayu di Padang Rengas, Kuala Kangsar dekat Highway.
“Ini hanya beberapa contoh sahaja, pengkhianatan yang dilakukan oleh pemimpin hipokrit yang menjerit bela Melayu di siang hari di PWTC, tetapi di malam hari merekalah yang berunding menggadai tanah Melayu.

25 November 2011

'Transformasi' Najib Menuju Diktator

Akta Perhimpunan Aman yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, kelmarin, jelas bertujuan untuk menghalang himpunan diadakan oleh rakyat negara ini.

Realiti itu terserlah apabila di dalam akta tersebut dikenakan pelbagai syarat yang tidak munasabah untuk membolehkan rakyat negara ini mengadakan perhimpunan berbanding kawalan sedia ada di bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967. 

Pengarah Jabatan Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia (Juham), Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi berkata, akta itu hanyalah mempunyai nama yang menarik, tetapi hakikatnya Kerajaan BN secara jelas mencabul hak rakyat untuk berhimpun. 

Menurut beliau, jika di bawah Akta Polis 1967, sekurang-kurangnya hanya perhimpunan di tempat awam yang dikenakan permit, tetapi di bawah akta baru ini mensyaratkan semua perhimpunan walaupun di premis persendirian atau disewa perlu diberikan notis makluman awal kepada polis 30 hari sebelum tarikh himpunan yang dicadangkan itu hendak dibuat.

Katanya, Seksyen 9(5) Akta itu pula membenarkan polis mendenda penganjur sehingga RM10,000.00 sekiranya tiada notis awal diserahkan kepada polis sebelum perhimpunan tersebut diadakan. 

"Peruntukan itu amatlah tidak munasabah kerana kebanyakan himpunan aman rakyat adalah berkaitan dengan isu-isu semasa yang berlaku dan memerlukan tindakan yang segera," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini. 

Itulah prinsip demokrasi dan hak asasi rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, menurutnya, tetapi malangnya hak-hak yang masih berbaki sedikit itupun cuba dihapuskan sepenuhnya oleh kerajaan Umno (Barisan Nasional). 

"Inikah transformasi yang dibangga-banggakan oleh Perdana Menteri atau transformasi yang dibuat hanya untuk mengubah negara menjadi negara diktator dan kuku besi?" ujarnya. 

Akta baru itu juga, tegasnya, melarang individu di bawah umur 21 tahun untuk berhimpun secara aman dan ini tentulah merujuk secara khusus kepada para mahasiswa dan mahasiswi di institusi pengajian tinggi negara. 

"Sudahlah para mahasiswa dikongkong teruk oleh AUKU, sekarang akta drakonian yang baru diperkenalkan ini pula meragut terus hak-hak asasi mereka untuk berhimpun dan menyuarakan pendapat secara aman. 

"Kerajaan BN benar-benar memperlekeh dan memperbodohkan terus keintelektualan para mahasiswa dan mahasiswi kita," tambah beliau. 

Manakala Seksyen 21(3) akta itu, tegasnya, membenarkan polis mendenda pihak yang ditangkap sehingga RM20,000.00, jumlah yang sangat tidak munasabah berbanding RM2000.00 sekarang, sedangkan kesalahan berhimpun bukanlah satu kesalahan jenayah yang serius. 

Katanya, banyak lagi peruntukan lain yang tidak munasabah dimasukkan di dalam akta baru itu, manakala segala kelemahan yang berlaku itu disebabkan sikap ego kerajaan yang enggan mendengar pendapat ramai supaya segala undang-undang baru yang hendak digubal yang berkaitan hak-hak asasi rakyat patut dirunding secara konsultasi bersama.

Juham mengecam Akta Perhimpunan Aman 2012 dan berpandangan akta tersebut hanya seperti menanam tebu di tepi bibir, manis di mulut tetapi hakikatnya membawa bencana dan mala petaka besar kepada hak-hak asasi rakyat untuk berhimpun secara aman seperti yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

"Akta ini jelas mengongkong kebebasan rakyat untuk berhimpun dengan sekatan dan syarat-syarat yang amat zalim, tidak munasabah dan tidak pernah difikirkan oleh rakyat yang waras," tegasnya. 

Juham menggesa agar kerajaan menarik balik akta itu dengan segera dan berunding dengan rakyat terlebih dahulu sebelum memperkenalkan apa-apa undang-undang yang zalim seperti itu dan menyekat kebebasan rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara.

09 Julai 2011

BERSIH 2.0. : Tangkapan Mencecah 300 Orang.




Polis hari ini memperhebat sekatan mereka dalam usaha menggagalkan himpunan aman Bersih 2.0 yang dijadual berlangsung jam 2 petang ini.

11.12 am: Kampung Baru - Polis menahan semua orang yang turun di stesen Putra LRT Kampung Baru.


11.08 am: Polis mula memeriksa mereka yang berada di restoran dan gerai makan dan tangkapan rambang dibuat.


11.05 am: Masjid Jamek - Dianggarkan 300 peserta dihalau keluar dari stesen.


11.03 am: KTM Kuala Lumpur - Polis mengarahkan orang ramai yang tidak bertiket keluar dari stesen.


11.01 am: Stesen Hang Tuah (aliran Ampang) dan Maharajalela (Monorel) telah ditutup atas arahan polis. Tren tidak berhenti di stesen ini.


11.00 am: KTM Kuala Lumpur - Polis menggempur masuk ke dalam stesen. Mereka memeriksa orang ramai yang terkepung di dalam.


10.58 am: KTM Kuala Lumpur - Polis menutup pintu masuk ke stesen. Ratusan sedang berkumpul di luar berhampiran bulatan Masjid Negara.


10.55 am: Dianggarkan jumlah tangkapan sehingga kini mencecah 300 orang.


10.50 am: KL Sentral - Polis menahan beberapa orang di KL Sentral, mereka ditangkap sejurus keluar dari tren.


10.45 am: Masjid Jamek - Jumlah polis mula bertambah di sini. Mereka memeriksa beg yang di bawa oleh orang ramai.
10.40 am: KLCC - Polis mula menembak gas pemedih mata, orang awam dihalau tanpa sebab.


10.35 am: Brickfields - Ketua Pemuda PAS Gombak, Ust Sharhan Umaizi ditangkap berhampiran Bangunan YMCA.


10.30 am: Maju Junction - Lagi beberapa peserta himpunan ditahan.


10.25 am: Masjid Jamek - Polis manahan dan menyoal orang ramai secara rawak.

10.20 am: Polis mengesahkan seramai 21 orang telah ditahan sejak jam 9 pagi tadi.


10.15 am: Jalan TAR - Polis menghalau orang awam yang berada di sekitar jalan ini. Orang awam terpaksa akur kerana polis mengacukan cota ke muka mereka.

9.50 am: Masjid Negara - Sebahagian dari mereka kini berkumpul di ibu pejabat lama KTM.

9.45 am: Masjid Negara - Biarpun diberi amaran oleh polis supaya kawasan ini dikosongkan, namun sudah lebih 1000 penyokong sudah berhimpun di sini.

9.30 am: Kg Baru - 18 orang ditahan menjadikan jumlah ditahan di kawasan ini seramai 27 orang ditahan di sini.

9.20 am: Masjid Jamek -  7 orang ditahan. Orang awam tidak dibenarkan berada di kawasan ini.

9.15 am: MAju Junction - 4 orang ditahan apabila polis menemui baju kuning di dalam beg dan kenderaan mereka.

8.50 am: Masjid Negara - Kira-kira 600 orang sedang berkumpul diarah mengosongkan kawasan Masjid Negara.

8.45 am: Kampung Baru - Sembilan ditangkap dan dihumban ke dua lori polis berhampiran Masjid Jamek Kampung Baru. Jalan menuju masjid itu juga telah ditutup kepada orang ramai.

8.40 am: Muzium Negara - 12 orang ditangkap ketika sedang berkumpul di perkarangan muzium.


8.37 am: Sogo - Anggota AMK Melaka menjadi yang pertama ditangkap.


8.00 am: Suasana di sekitar KL pagi ini masih lengang dengan beberapa jalan utama menuju ke KL ditutup.

15 Mei 2011

Sudahlah tu, dalam Umno pun ada Kristian!

Ahmad Tajdid   

MASIH ingat lagi John Ghani? Beliau ialah perwakilan Umno Sabah dan pertama kali muncul dalam perhimpunan agung parti itu setelah Umno membuka keahlian kepada Bumiputera selain bangsa Melayu.

John Ghani menjadi popular kerana loghat Sabahnya apabila menyebut "zink" sebagai "jink" ketika berucap dalam perhimpunan agung Umno. Antara yang menyiarkan ucapan wakil Sabah dari etnik Kadazandusun beragama Kristian itu adalah Utusan Malaysia, akhbar milik Umno.

Keputusan Umno untuk bertapak di Sabah sebenarnya membawa banyak perubahan kepada dasar, perlembagaan dan landskap parti nasionalis itu. Jika sebelum masuk ke Sabah, Umno dikenali sebagai parti Melayu dan hanya menerima Melayu (yang ditakrif mesti beragama Islam) sebagai ahli; namun setelah masuk ke Sabah, Umno mula menerima ahli bukan Islam asalkan ia seorang Bumiputera.

Seorang Kadazan atau Murut beragama Kristian layak menjadi ahli Umno kerana mereka ialah Bumiputera. Malah Umno telah mencatat sejarah apabila seorang ahlinya yang beragama Kristian, Dato' John Ambrose dipilih sebagai Ketua Umno Bahagian Penampang.

Fasal 4 perlembagaan Umno menyebut bahawa ahli-ahli Umno adalah dua jenis iaitu ahli biasa dan ahli bergabung.

Ahli Biasa ialah Warganegara Malaysia yang berbangsa Melayu atau Bumiputera yang berusia 18 tahun ke atas (Fasal 4.2).

Ahli Bergabung adalah sebuah pertubuhan politik yang bersetuju berkerjasama dengan Umno dan menerima syarat-syarat yang ditetapkan oleh Majlis Tertinggi (Fasal 4.3). Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) kini menjadi Ahli Bergabung Umno.

Pada Fasal 5 berhubung pendaftaran keahlian, disebut bahawa tiap-tiap orang Melayu dan Bumiputera berhak mendaftar diri sebagai ahli Umno mengikut Perlembagaan dan peraturannya.

Sehubungan itu, bukanlah satu perkara yang pelik bagi Umno mempunyai seorang ahli beragama Kristian asalkan ia seorang Bumiputera. Malah bukan menjadi satu keganjilan jika Umno khususnya di Sabah satu ketika nanti akan dikuasai orang bukan Islam jika majoriti Bumiputera bukan Islam di Sabah mengambil keputusan menyertai Umno.

Sebaliknya seorang Cina dan India beragama Islam tidak diterima menyertai Umno. Ini kerana parti itu menetapkan anggotanya mestilah seorang Melayu atau Bumiputera. Meskipun beragama Islam, seorang Cina atau India tidak boleh menyertai Umno kerana ia parti yang hanya dikhaskan untuk Melayu dan Bumiputera.

Sebagai contoh, walau bagaimana hebat pun seorang Cina itu membela Umno mahupun dasar-dasar Umno dan BN, seperti dilakukan pensyarah kanan Universiti Pertahanan Malaysia, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah; beliau tetap tidak diterima menyertai Umno kerana dia seorang Cina yang hanya layak menyertai MCA atau Gerakan. Malah Ridhuan Tee juga tidak boleh menjadi Ahli Bergabung Umno kerana beliau seorang individu dan bukannya sebuah pertubuhan politik.

Jadi apalah peliknya Umno untuk hidup harmoni dengan lain-lain masyarakat Malaysia berlainan agama kerana parti itu sendiri mempunyai ahli bukan Islam khususnya Kristian? Jika benar pun wujud konspirasi atau pakatan sulit untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, apakah logiknya pakatan itu jika penduduk Kristian di negara ini hanya mewakili 10 peratus jumlah penduduk.

Malah ahli Parlimen DAP Jelutong yang dikaitkan dengan dakwaan konspirasi itu sendiri beragama Buddha dan bukannya Kristian seperti anggapan kebanyakan orang. Majlis itu juga turut dihadiri ahli jawatankuasa DAP cawangan Bukit Tumba, Mohamed Razali Abdul Rahman. Mustahil bagi para paderi dan pastor berkonspirasi untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara dengan kehadiran penganut Islam.

Jika Utusan Malaysia dan pemimpin Umno begitu risau dengan pengaruh Kristian di Semenanjung sehingga boleh menjejaskan taraf Islam sebagai agama Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan, mengapa ia tidak melihat usaha Umno Sabah bagi menarik lebih ramai Bumiputera bukan Islam menyertai parti itu sebagai satu ancaman?

Malah Umno Sabah telah membentuk satu pasukan petugas khas bagi menarik lebih ramai Bumiputera bukan Islam dari kalangan etnik Kadazandusun dan Murut untuk menyertai Umno. Usaha ini, kata John Ambrose adalah untuk menguatkan lagi kedudukan Umno di Sabah.

Langkah Umno Sabah ini, kata Ketua Umno Bahagian Penampang itu mendapat lampu hijau daripada Presiden Umno (ketika itu), Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Dato' Seri Najib Razak.

Mungkin ada di kalangan penyokong fanatik Umno berpendapat bahawa keadaan ini khusus untuk Sabah sahaja dan tiada kaitan dengan politik Semenanjung. Bagaimanapun gerakan yang dipelopori Umno Selangor bagi memindahkan para pengundi Sabah ke Selangor khususnya di Shah Alam boleh menangkis hujah ini.

Kesimpulannya, isu yang digembar-gemburkan Utusan Malaysia bersumberkan dua laman blog pro-Umno itu sengaja ditimbulkan untuk memburuk-burukkan DAP dan mengaitkannya dengan gerakan Kristianisasi. Ia tiada kaitan langsung dengan survival umat Islam mahupun kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Semua episod ini dirancang bertujuan mengocak sentimen umat Islam khususnya bangsa Melayu untuk memastikan sokongan mereka terus kepada Umno. Apatah lagi parti itu ingin dilihat sebagai pembela dan benteng politik Melayu Islam.

Sudah-sudahlah tu... dalam Umno pun dah ada Kristian.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

4U2C Posts

News Story

SELSEMA