Translate

21 Mei 2011

Roketkini muncul Isnin ini, akses DAP kepada suara Melayu


Di sebalik kesukaran mengikis label sebagai parti cauvinis Cina, DAP meneruskan misinya mahu mendengar suara kaum Melayu menerusi landskap media atas talian dengan memperkenalkan laman web berita, langkah yang menurut komponen Pakatan Rakyat (PR) itu seharusnya telah diambil sejak dahulu lagi.


Hanya beberapa hari selepas naib pengerusinya Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mengakui bahawa parti itu telah gagal menarik sokongan orang Melayu yang disasarkan, DAP akan melancarkan laman web dalam Bahasa Malaysia, Roketkini.com dengan harapan dapat mendampingi orang Melayu dengan maklumat terkini.
“Buat masa sekarang, ada jurang besar bagi kami di media Bahasa Malaysia. Anda tidak mendengar apa-apa mengenai DAP kecuali (maklumat) kami diserang,” kata setiausaha politik kepada setiausaha agung DAP Zairil Khir Johari.

Parti majoriti ahlinya kaum Cina itu terus-menerus didakwa oleh Umno, parti teras dalam Barisan Nasional (BN) dan media Bahasa Malaysia sebagai mengamalkan politik perkauman.

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia secara konsisten menyerang DAP kononnya mahu merampas kuasa politik orang Melayu.

Roketkini, menurut Zairil, bukan sahaja akan bertindak sebagai portal berita tetapi juga sebagai “jenama bagi kami untuk mengadakan forum-forum, perbincangan dan acara-acara dalam Bahasa Malaysia untuk mendekati demografi ini.”

Zairil, yang menganggotai lembaga penasihat bagi laman web itu menambah, meskipun Roketkini akan menyediakan maklumat bagi khalayak bandar, tetapi ia  juga akan bertindak sebagai alat untuk mendampingi masyarakat Melayu luar bandar.

“DAP tiada (sokongan) akar umbi di kawasan luar bandar. Jadi, meskipun kami ada akhbar Rocket versi Bahasa Malaysia, sukar bagi kami untuk mengedarkannya.

“(Jadi), laman web ini sebenarnya akan menyelesaikan masalah pengedaran yang kami hadapi meskipun orang Melayu berpendapatan rendah kemungkinan tiada komputer, tetapi mereka masih akses kepada Internet pada masa sekarang,” katanya.
Roketkini akan dilancarkan Isnin ini.

Editor Wan Hamidi Hamid berkata, “tidak kira sama ada mereka Mat Rempit, mereka ada akaun Facebook”.

“Kebanyakan membawa komputer bimbit dan menggunakan Facebook, kerana ia murah, lebih murah berbanding telefon pintar,” kata wartawan veteran ini.

Penyusun strategi parti, Liew Chin Tong pula memberitahu undi orang muda kawasan bandar merupakan sokongan masa depan memandangkan 72 peratus rakyat Malaysia berusia 40 dan merangkumi separuh daripada pengundi yang layak.

Katanya, kira-kira 65 peratus penduduk negara ini tinggal di kawasan-kawasan bandar.

Zairil juga berkata, keseluruhan bahan disajikan dalam Bahasa Malaysia meskipun penulis dan penyumbangnya datang dari pelbagai latar belakang.

Bagaimanapun DAP tidak pasti sejauh mana impak langkah terbaru ini dari segi sokongan undi kelak.

Ketika spekulasi semakin kuat bahawa pilihan raya umum ke-13 akan dipanggil bila-bila masa, PR masih bekerja keras untuk mendapatkan balik pengundi-pengundi Melayu yang sudah mula beralih kepada pesaing mereka berbanding ketika pilihan raya umum 2008.

Bagaimanapun Wan Hamidi berkata, matlamat utama ialah mengetengahkan pandangan dan pendirian DAP dalam laman Bahasa Malaysia dan menjana debat di kalangan komuniti Melayu.

“Kami sepatutnya telah mengambil langkah ini sejak dulu lagi. Dengan (mempunyai) khalayak Melayu, kami tiada apa-apa untuk rugi dan boleh memperoleh banyak kelebihan,” kata Zairil.

20 Mei 2011

PRU-13 sangat perit jika BN gagal kuasai dua pertiga, kata Muhyiddin


Pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan waktu terdekat, dijangka paling sengit bakal dihadapi Barisan Nasional (BN) kerana parti-parti pembangkang sangat agresif, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) hari ini.

“Dalam 16 pilihan raya kecil lepas, saya memimpin lebih daripada separuh (dan mendapati) ia sangat pahit dan getir akibat permainan politik pembangkang yang tidak lagi seperti biasa.

“Rakyat sekarang menuntut pelbagai perkara dan perlu dipenuhi,” katanya Timbalan Perdana Menteri dipetik Bernama Online hari ini.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, BN perlu membuat persiapan lebih baik dan mantap untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang walaupun perhatian masyarakat terhadap BN dan Umno khususnya telah meningkat.

BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen pada 8 Mac 2008.

“Kita kena tanya selepas PRU-13 masihkah kita berkuasa... ia sangat perit sekiranya tidak dapat menguasai dua pertiga dari kerusi dalam dewan,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi BN.

“Kita kena selesaikan semua masalah dari bawah hingga atas,” kata Muhyiddin yang kini mengadakan lawatan kerja ke negeri-negeri menjelang pilihan raya umum ke-13.

Justeru, beliau mengingatkan “jangan lagi ada pertembungan di peringkat bahagian kerana pengertian perjuangan tidak lagi sama bila kalah dan tiada kuasa.”

Muhyiddin berkata setiap anggota Umno hendaklah beristiqamah dan mengambil iktibar daripada kekalahan pada pilihan raya umum 2008.

“Saya bersyukur semangat ahli-ahli Umno bertambah baik dan kuat dan trend perubahan sikap ini baik dan penting menjelang PRU akan datang,” katanya.

Mandat semasa akan berakhir 2013 tetapi spekulasi menyebut pilihan raya umum akan diadakan tahun ini ataupun awal tahun depan.

Asia Barat: Balik ke sempadan 1967, Obama gesa Israel

Dilihat sebagai ucapan penting berkenaan dasar Amerika Syarikat (AS) di Asia Barat, Presiden Barack Obama semalam memperakui tuntutan utama Palestin berhubung pertikaian sempadan dan menegaskan Israel bahawa tidak akan ada sebuah negara aman berkekalan berdasarkan “pendudukan kekal” sebagaimana disaksikan sekarang.

Obama menegaskan perlunya sebuah negara Palestin berdasarkan sempadan 1967 — yang wujud sebelum Perang Enam Hari — yang membawa kepada penaklukan Baitulmuqaddis Timur, Tebing Barat dan Gaza oleh tentera Yahudi.

Gesaan Obama (gambar) itu, yang datang lebih dua tahun selepas menjadi Presiden AS, memperlihatkan peralihan yang signifikan dalam dasar AS, malah kelihatan akan mencetuskan kemarahan di pihak Israel.

Kenyataan itu keluar selepas tiga minggu AS membunuh ketua rangkaian Al-Qaeda Osama bin Laden di Pakistan dan di tengah-tengah kebangkitan rakyat di dunia Arab termasuk yang terbaru di Libya.

Tunisia dan Mesir juga menyaksikan ketua mereka digulingkan.

Israel telah mengatakan bahawa perakuan sempadan 1967, yang dikehendaki Obama, akan menjejaskan proses perundingan.

Penganalisis dan pemerhati sangsi sama ada pelan damai terbaru ini akan menjadi kenyataan.

Belum ada butiran bagaimana pelan itu akan dilaksanakan kelak.

Obama akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu di White House hari ini.

Netanyahu pula berkata beliau menghargai kenyataan Obama tetapi menolak sebarang tindakan menarik balik kedudukan rejim Yahudi itu.

Katanya, tindakan menarik balik yang disyorkan oleh Obama hanya akan membawa mudarat dan bahaya ke atas keselamatan Israel.

Mesir, satu lagi pihak yang menggerakkan usaha proses damai menyambut baik pendirian Obama ini.

Dalam ucapannya, Obama berkata, sebuah negara masa depan Palestin seharusnya berdasarkan wilayah-wilayah yang ditakluki Israel pada 1967 dengan pengubahsuaian kecil dilakukan menerusi proses perundingan.

Malah katanya, konflik israel-Palestin yang berlarutan hampir lima dekad membayangi keamanan di rantau Asia Barat. — Agensi

Umno wajar pelawa DAP sertai BN, kata bekas VC UUM

Seorang kolumnis Utusan Malaysia mengesyorkan agar Umno mempertimbangkan penerimaan DAP, yang selama ini didakwa parti cauvinis Cina, sebagai komponen Barisan Nasional (BN).

Tan Sri Dr Nordin Kardi, bekas naib canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan memberikan latar belakang kelahiran DAP menulis Umno seharusnya menerima parti itu bersama PAS, yang sebelum ini banyak kali dipelawa oleh Umno.

Katanya, jika DAP dan PAS sama-sama menjadi pemilik BN bersama Umno dan parti-parti picisan lain nanti, apakah yang menghalang semua mereka mengubah BN bersama-sama, jika itu yang dimahukan.

“Kesampingkan nostalgia dan sentimen tradisi, saya lihat DAP dan PAS akan amat selesa menyertai BN.

“Jika BN memang benar berhasrat menjadi satu parti tanpa komponen seperti sekarang, ia akan berlaku setelah hal yang saya utarakan ini didahulukan. Mengapa tidak?” kata Nordin.

Katanya, bagi  DAP pula, tentulah Umno lebih sesuai dijadikan rakan serumah berbanding dengan PAS.

Kata Nordin, dasar Umno yang secara konsisten sangat pragmatik sewajarnya menyelesakan DAP untuk tinggal bersama BN berbanding di rumah tumpangan pakatan pembangkang.

“DAP yang sangat sekular (kehendak yang terpancar dalam kenyataan pemimpin-pemimpin utamanya) sulit untuknya mengekalkan rumah tangga yang aman bersama PAS yang dilihat sangat teologikal.

“Lainlah jika PAS berada dalam rumah BN yang lebih besar nanti tentulah PAS juga akan pandai bertingkah laku sesuai pengalamannya tersingkir daripada BN pada tahun 1970-an dahulu,” katanya.

Nordin juga menambah, pada asasnya banyak tuntutan DAP sudah tidak bersesuaian lagi kerana semuanya telah ditunaikan oleh BN, misalnya tuntutan kriteria merit ke universiti, tuntutan ‘Malaysian Malaysia’ sudah terangkum dalam ‘1 Malaysia’, dasar semuanya inklusif,  mewajarkan DAP untuk tidak perlu silu atau meminta maaf kepada pengikutnya untuk menyertai BN.

“Semua peluang yang diminta telah ada di dalam BN,” katanya sambil menambah, jika semua telah ada dalam BN — “sekularnya ada, teologinya ada, suasana inklusif telah ada”, semua kepentingan pelbagai kaum telah ada, apakah lagi kewajaran mengubah ‘status quo’.

“Jika, misalnya ada alasan lain seperti BN masih tidak bersih maka BN perlu ditolak, hujah itu tidaklah begitu kukuh. Sebaliknya, hujah yang lebih kukuh ialah ‘ubahlah’ BN bukan ‘menggantikan’ BN,” kata beliau.

Kata Nordin, BN tidak harus menunggu sehingga benar-benar lemah dan hampir lemas baharu cuba berenang mencari tebing.

Kata beliau, amat menarik apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib  Razak baru-baru ini seperti dengan sengaja memilih masa yang agak sama menyerukan PAS meninggalkan pakatan pembangkang sambil memberi amaran kepada kaum Cina supaya tidak mengharapkan perwakilan yang biasa dalam Kabinet sekiranya mereka tidak memilih mana-mana parti Cina yang menjadi komponen BN dalam PRU yang akan datang.

“Seruan itu seperti hanya kurang sedikit daripada secara terang-terangan menjemput PAS menyertai BN dan juga kurang sedikit daripada memberi altimatum kepada MCA dan Gerakan supaya ‘take it or leave it’, sambil pada masa yang sama menghitung sejarah bahawa MCA terutamanya tidak pernah tidak setia kepada ikatan yang telah terjalin semenjak masa merdeka dituntut,” katanya.

Katanya lagi, atas setiakawan demikianlah agaknya mengapa Najib tidak secara serentak ‘menyapa’ PAS dan DAP supaya meninggalkan PKR terkonteng-konteng sendirian.

Nordin menambah, pelbagai medium digunakan oleh pelbagai pihak dari luar bagi mengurangkan kebolehpercayaan orang ramai terutamanya pengundi terhadap kesucian ‘rumah tumpangan’ DAP dan PAS itu tetapi setakat ini mereka masih mampu di situ.

“Sebaliknya, rumah BN sendiri yang seperti bergoyang-goyang dari dalam,” kata beliau.

Nordin menambah, hal ini mendorongnya meneliti semula tentang sentimen BN tidak boleh menerima DAP menjadi pengongsi rumah besar itu.

Mengambil kita latar belakang PAP dan DAP, kata beliau, secara ideologi nampaknya Umno dan DAP boleh duduk bersama dengan selesa.

16 Mei 2011

NGO Aman mahu Ibrahim Ali ditahan guna Akta Darurat


Angkatan Warga Aman Malaysia (Aman) menggesa Kementerian Dalam Negeri menahan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali di bawah Akta Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) ekoran kesediaan melancarkan “perang jihad” ke atas komuniti Kristian.

Ibrahim (gambar) dalam ceramahnya kelmarin memberi amaran kepada komuniti Kristian bahawa beliau akan melancarkan “perang jihad” jika mereka meneruskan agenda mahu merampas kedudukan Islam negara ini.

Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas itu berkata, beliau bersedia untuk jatuh atas kenyataannya itu demi mempertahankan maruah Islam.

Menurut Pengerusi Aman AP Raja Retinam, kenyataan yang dikeluarkan Ibrahim itu “amat bahaya”, boleh mencetuskan keadaan tidak aman dalam negara.

“Kenyataan yang dikeluarkan Ibrahim Ali berhubung perang jihad adalah satu kenyataan amat bahaya, kami mahu beliau ditahan di bawah Seksyen 4 Akta Darurat kerana keluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya.

“Malah dalam kenyataannya itu beliau seolah-olah mencabar polis, macam mana sehingga hari ini masih tiada tindakan yang dikenakan terhadap Ibrahim Ali... sudah lebih 48 jam tapi kenapa tiada tindakan diambil?” katanya selepas membuat laporan polis terhadap Ibrahim di Balai Polis Sentul di sini.

Selain itu, tegas Raja Retinam, Ibrahim perlu menerima hukuman seperti mana yang dikenakan terhadap ketua rangkaian Al-Qaeda Osama bin Laden awal bulan.

Sebelum ini Aman mendakwa ia merupakan gabungan kira-kira 200 pertubuhan bukan kerajaan.

“Beliau dilihat cuba menghasut rakyat untuk bertindak menentang komuniti Kritsian, ini tidak boleh,” katanya.
Tambah Raja Retinam, ini bukan kali pertama Perkasa dan Ibrahim mengeluarkan kenyataan yang boleh mengancam keselamatan dan keamanan negara.

“Kenyataan yang dikeluarkan beliau adalah amat dahsyat, Kementerian Dalam Negeri harus ambil tindakan segera, tahan beliau di bawah Akta Darurat.

“Ini bukan kali pertama Perkasa dan Ibrahim Ali mengeluarkan kenyataan yang berbaur perkauman seperti ini, ini sudah menjadi budaya Perkasa dengan sekarang disokong Pembela (Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam).

“Saya tidak nampak kenapa Ibrahim Ali ini kebal, begitu juga dengan Utusan Malaysia, sepatutnya terbitan Utusan Malaysia digantung dan editor juga perlu digantung sehingga siasatan selesai,” katanya merujuk kepada laporan Utusan Malaysia bertajuk “Kristian agama rasmi?” yang diterbitkan pada 7 Mei lalu.

Bercakap secara peribadi sebagai anak jati kelahiran Kelantan, Raja Retinam menyifatkan Ibrahim tidak layak untuk menjadi rakyat negeri itu.

“Saya sebagai anak Kelantan berasa malu dengan kenyataan yang dikeluarkan Ibrahim Ali, saya anak jati Kelantan dan rakyat Kelantan tidak akan kata perkara sebegitu.

“Saya rasa kelayakan beliau sebagai anak Kelantan perlu digugurkan kerana mengeluarkan kenyataan yang menjatuhkan imej orang Melayu dan Islam, beliau tidak layak untuk jadi rakyat Kelantan, rakyat Kelantan bukan seperti itu,” katanya.

Selain itu, beliau juga menegaskan, Umno tidak sepatutnya bertindak mempertahankan Utusan Malaysia yang mengeluarkan laporan yang tidak benar dan bersifat fitnah.

“Umno terpaksa mempertahankan Utusan Malaysia sebab Umno adalah bos walaupun apa yang dilaporkan itu tidak betul.

“Utusan Malaysia bukan mewakili orang Melayu,” katanya dengan merujuk kepada edaran akhbar itu yang dikatakan merosot.

Ekoran kenyataan yang dikeluarkan Ibrahim itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan apa yang dikatakan Ibrahim itu tidak mewakili keseluruhan masyarakat Melayu.

“Saya tidak melihat Ibrahim Ali mewakili keseluruhan orang Melayu atau (masyarakat) Muslim (negara ini). Seperti Osama bin Laden, beliau tidak mewakili keseluruhan umat Islam,” katanya.

Semalam, Presiden Gerakan Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon meminta polis agar menyiasat ucapan-ucapan Ibrahim sejak beberapa hari lalu.

Malah hari ini DAP menggesa Putrajaya mengambil tindakan tegas terhadap Ibrahim.

Umno: Komponen BN wajar serah kerusi jika gagal pilih calon

Parti komponen Barisan Nasional (BN) yang bertanding di kawasan majoriti orang Melayu, perlu berlapang dada menyerah kerusi itu untuk ditandingi wakil Umno jika gagal mengenal pasti calon boleh menang di kalangan mereka, pada pilihan raya umum ke-13.


Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata, pendirian mahukan calon mengikut majoriti kaum di sesuatu kawasan itu semakin jelas ditunjukkan ahli dan pemimpin akar umbi Umno dan pengundi seluruh negara.

Pendirian seperti ini juga pernah diutarakan sebelum ini dan mencetuskan rasa tidak senang di kalangan komponen BN.

Dipetik Berita Harian, kata beliau,  pendekatan sama sudah diambil pembangkang pada pilihan raya umum lalu, apabila mereka meraih kemenangan menerusi calon mengikut kaum majoriti pengundi di sesetengah kawasan pilihan raya berbanding BN.

“Jika kita tidak jumpa calon boleh menang di kalangan komponen BN di kawasan majoriti pengundi Melayu, saya mengharapkan supaya pimpinannya berlapang dada serah kerusi itu kepada calon yang boleh menang dari parti lain,” katanya di Johor Baru semalam.

“Apabila Perdana Menteri sebut calon boleh menang sebelum ini, maknanya ia merujuk kepada semua kaum, baik Melayu, Cina atau India. Sebagai contoh, Parlimen Hulu Selangor majoritinya Melayu pada pilihan raya umum 2008, Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan calon Melayu manakala BN letak calon MIC, sebab itu parti menang kerana pengundi kawasan itu sudah lama menunggu calon Melayu menjadi wakil mereka.

“Begitu juga Bandar Tun Razak, PKR menang kerana meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti Melayu berbanding calon MCA yang diletak BN. Ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor, dalam desakan cukup kuat mahukan calon Umno, kita mendapat wakil cukup baik, P Kamalanathan, yang fasih berbahasa Melayu dan diterima ramai, jadi kita ambil beliau sebagai calon boleh menang BN,” kata beliau.

Ahmad (gambar) mengulas cadangan kepemimpinan Umno Kulai supaya calon Umno dipilih mewakili BN pada pilihan raya umum akan datang di semua kawasan majoriti orang Melayu termasuk di Johor.

Sehubungan itu, pada pilihan raya umum akan datang, BN perlu mengutamakan kemenangan ketika bertanding.

15 Mei 2011

Sudahlah tu, dalam Umno pun ada Kristian!

Ahmad Tajdid   

MASIH ingat lagi John Ghani? Beliau ialah perwakilan Umno Sabah dan pertama kali muncul dalam perhimpunan agung parti itu setelah Umno membuka keahlian kepada Bumiputera selain bangsa Melayu.

John Ghani menjadi popular kerana loghat Sabahnya apabila menyebut "zink" sebagai "jink" ketika berucap dalam perhimpunan agung Umno. Antara yang menyiarkan ucapan wakil Sabah dari etnik Kadazandusun beragama Kristian itu adalah Utusan Malaysia, akhbar milik Umno.

Keputusan Umno untuk bertapak di Sabah sebenarnya membawa banyak perubahan kepada dasar, perlembagaan dan landskap parti nasionalis itu. Jika sebelum masuk ke Sabah, Umno dikenali sebagai parti Melayu dan hanya menerima Melayu (yang ditakrif mesti beragama Islam) sebagai ahli; namun setelah masuk ke Sabah, Umno mula menerima ahli bukan Islam asalkan ia seorang Bumiputera.

Seorang Kadazan atau Murut beragama Kristian layak menjadi ahli Umno kerana mereka ialah Bumiputera. Malah Umno telah mencatat sejarah apabila seorang ahlinya yang beragama Kristian, Dato' John Ambrose dipilih sebagai Ketua Umno Bahagian Penampang.

Fasal 4 perlembagaan Umno menyebut bahawa ahli-ahli Umno adalah dua jenis iaitu ahli biasa dan ahli bergabung.

Ahli Biasa ialah Warganegara Malaysia yang berbangsa Melayu atau Bumiputera yang berusia 18 tahun ke atas (Fasal 4.2).

Ahli Bergabung adalah sebuah pertubuhan politik yang bersetuju berkerjasama dengan Umno dan menerima syarat-syarat yang ditetapkan oleh Majlis Tertinggi (Fasal 4.3). Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) kini menjadi Ahli Bergabung Umno.

Pada Fasal 5 berhubung pendaftaran keahlian, disebut bahawa tiap-tiap orang Melayu dan Bumiputera berhak mendaftar diri sebagai ahli Umno mengikut Perlembagaan dan peraturannya.

Sehubungan itu, bukanlah satu perkara yang pelik bagi Umno mempunyai seorang ahli beragama Kristian asalkan ia seorang Bumiputera. Malah bukan menjadi satu keganjilan jika Umno khususnya di Sabah satu ketika nanti akan dikuasai orang bukan Islam jika majoriti Bumiputera bukan Islam di Sabah mengambil keputusan menyertai Umno.

Sebaliknya seorang Cina dan India beragama Islam tidak diterima menyertai Umno. Ini kerana parti itu menetapkan anggotanya mestilah seorang Melayu atau Bumiputera. Meskipun beragama Islam, seorang Cina atau India tidak boleh menyertai Umno kerana ia parti yang hanya dikhaskan untuk Melayu dan Bumiputera.

Sebagai contoh, walau bagaimana hebat pun seorang Cina itu membela Umno mahupun dasar-dasar Umno dan BN, seperti dilakukan pensyarah kanan Universiti Pertahanan Malaysia, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah; beliau tetap tidak diterima menyertai Umno kerana dia seorang Cina yang hanya layak menyertai MCA atau Gerakan. Malah Ridhuan Tee juga tidak boleh menjadi Ahli Bergabung Umno kerana beliau seorang individu dan bukannya sebuah pertubuhan politik.

Jadi apalah peliknya Umno untuk hidup harmoni dengan lain-lain masyarakat Malaysia berlainan agama kerana parti itu sendiri mempunyai ahli bukan Islam khususnya Kristian? Jika benar pun wujud konspirasi atau pakatan sulit untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, apakah logiknya pakatan itu jika penduduk Kristian di negara ini hanya mewakili 10 peratus jumlah penduduk.

Malah ahli Parlimen DAP Jelutong yang dikaitkan dengan dakwaan konspirasi itu sendiri beragama Buddha dan bukannya Kristian seperti anggapan kebanyakan orang. Majlis itu juga turut dihadiri ahli jawatankuasa DAP cawangan Bukit Tumba, Mohamed Razali Abdul Rahman. Mustahil bagi para paderi dan pastor berkonspirasi untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara dengan kehadiran penganut Islam.

Jika Utusan Malaysia dan pemimpin Umno begitu risau dengan pengaruh Kristian di Semenanjung sehingga boleh menjejaskan taraf Islam sebagai agama Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan, mengapa ia tidak melihat usaha Umno Sabah bagi menarik lebih ramai Bumiputera bukan Islam menyertai parti itu sebagai satu ancaman?

Malah Umno Sabah telah membentuk satu pasukan petugas khas bagi menarik lebih ramai Bumiputera bukan Islam dari kalangan etnik Kadazandusun dan Murut untuk menyertai Umno. Usaha ini, kata John Ambrose adalah untuk menguatkan lagi kedudukan Umno di Sabah.

Langkah Umno Sabah ini, kata Ketua Umno Bahagian Penampang itu mendapat lampu hijau daripada Presiden Umno (ketika itu), Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Dato' Seri Najib Razak.

Mungkin ada di kalangan penyokong fanatik Umno berpendapat bahawa keadaan ini khusus untuk Sabah sahaja dan tiada kaitan dengan politik Semenanjung. Bagaimanapun gerakan yang dipelopori Umno Selangor bagi memindahkan para pengundi Sabah ke Selangor khususnya di Shah Alam boleh menangkis hujah ini.

Kesimpulannya, isu yang digembar-gemburkan Utusan Malaysia bersumberkan dua laman blog pro-Umno itu sengaja ditimbulkan untuk memburuk-burukkan DAP dan mengaitkannya dengan gerakan Kristianisasi. Ia tiada kaitan langsung dengan survival umat Islam mahupun kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Semua episod ini dirancang bertujuan mengocak sentimen umat Islam khususnya bangsa Melayu untuk memastikan sokongan mereka terus kepada Umno. Apatah lagi parti itu ingin dilihat sebagai pembela dan benteng politik Melayu Islam.

Sudah-sudahlah tu... dalam Umno pun dah ada Kristian.

14 Mei 2011

Undang-undang Islam: Majlis Peguam tolak syor peguam Muslim

 Majlis Peguam menolak gesaan peguam-peguam Muslim agar undang-undang berkaitan Islam digubal oleh Majlis Raja-raja Melayu berbanding Parlimen sekarang sambil menyifatkannya sebagai bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam gesaannya baru-baru ini, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, satu memorandum akan dihantar bagi menuntut hak eksklusif umat Islam mentadbir agama mereka sendiri.

Ini termasuk mencadangkan sebarang penggubalan undang-undang Islam tidak lagi dibahaskan oleh Dewan Rakyat kerana ia membuka perbahasan kepada golongan bukan Islam termasuk orang Islam yang tiada ilmu dalam undang-undang Islam.

Sebaliknya, ia perlu diberikan perkenan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu sebelum draf undang-undang dibawa ke Jemaah Menteri dan Parlimen.

Dalam ulasannya, Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee berkata, kesemua undang-undang perlu diluluskan oleh ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara berperlembagaan.

“Ini struktur fundamental dan asas Perlembagaan Persekutuan,” kata Lim kepada The Malaysian Insider menerusi satu kenyataan yang diemelkan malam tadi.

“Struktur fundamental dan asas tidak boleh diatasi,” kata Lim.

Lim menambah, memorandum yang hendak dikemukakan PPMM kepada kerajaan bercanggah dengan proses legislatif dan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, perkara-perkara berkaitan dengan undang-undang Islam digubal oleh Dewan Undangan Negeri kecuali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya diputuskan oleh Parlimen.

“Ini diperuntukkan di bawah Perkara 74 yang dibaca bersama dengan Senarai Dua yang ditetapkan di Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” kata Lim.

“Oleh itu, kuasa perundangan berkaitan dengan undang-undang Islam biasanya berada di bawah bidang kuasa Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Lim juga berkata, Perlembagaan juga tidak menggariskan perbezaan antara jenis perundangan yang Parlimen diberi kuasa untuk meluluskan.

Justeru katanya, Perkara 66(1) mengatakan bahawa “kuasa Parlimen untuk menggubal undang-undang” seharusnya dilakukan oleh undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Mengikut laporan media Rabu lalu, Zainul Rijal berkata, cadangan itu bertujuan mengelakkan perbahasan tentang Rang Undang-Undang Islam oleh orang bukan Islam termasuklah oleh orang Islam yang tidak mempunyai keilmuan dalam undang-undang Islam.

Dengan cara ini, orang bukan Islam tidak boleh lagi mencampuri urusan agama Islam dan orang Islam dapat mentadbir agamanya mengikut acuan Islam itu sendiri. Ia memberi kesan kepada Perkara 11(3) untuk orang Islam mentadbir agamanya secara eksklusif, terlaksana. Perkara ini mungkin akan dikaji tetapi saya sudah melihat dan bercakap dengan ramai peguam dan pensyarah undang-undang, mungkin ia boleh kita jadikan sebagai satu realiti.

Bagaimanapun Lim berpendapat bahawa syor Zainul Rijal yang mengetengahkan Perkara 11(3) sebagai salah.

“Peruntukan itu tidak membenarkan kumpulan-kumpulan agama (dalam kes ini kumpulan Islam) hak untuk menggubal undang-undang Islam,” katanya.

“Kuasanya terletak pada badan-badan perundangan masing-masing (sama ada Dewan Undangan Negeri atau Parlimen) dan tidak dan tidak boleh diperluaskan dalam konteks yang diketengahkan oleh Encik Zainul,” katanya lagi.

Katanya, jika Perkara 11(3) ditafsirkan secara ekstrem, maka mana-mana kumpulan agama boleh menggubal undang-undang mengikut sesuka hati mereka dan menyebabkan “anarki monarki.”

“Perkara 11(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa setiap kumpulan agama mempunyai hak memperoleh dan memiliki hartanah dan memegang dan mentadbirnya mengikut undang-undang,” kata Lim lagi.

“Pentadbir di bawah peruntukan mesti dibaca dalam konteks keseluruhan peruntukan... ‘ia” merujuk kepada hartanah, bukannya mentadbir agama mereka (yang merupakan tafsiran luas dan tidak tepat,” katanya lagi.

Saya kenal siapa suami saya, Azizah pertahan Anwar


Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail malam tadi melahirkan kekecewaan kerana masih ada pihak yang terus mengaitkan lelaki dalam video seks, yang didedahkan trio “Datuk T” Mac lalu adalah suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim
.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga memberitahu beliau dikecam oleh pelbagai pihak sehingga ada yang menyuruhnya agar mencari suami lain.

“Saya kenal siapa suami saya... tengok badan pun saya tahu. Takkanlah saya tak kenal dia.  Itu (lelaki dalam video) bukan suami saya.

“Ada yang suruh saya cari suami lain dan bercerai dengan Anwar. Cerai itu memang dibolehkan tetapi ia tidak disukai Allah dan saya sendiri tidak suka,” kata beliau lagi.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar semalam berkata rakaman video seks itu adalah tulen setelah mendapat input pakar pengimejan video Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan siapa si pelaku dalam video itu.

Dr Wan Azizah (gambar) menambah, “banyak yang telah saya lalui bersama Anwar dalam perkahwinan saya.”

“Lagipun atas alasan apa saya mahu tinggalkan dia,” kata beliau pada satu ceramah di Jalan Kebun dekat sini malam tadi.

Selain itu, beliau juga berkata, video seks yang disebarkan itu, yang difahamkan kini boleh didapati dalam benuk CD merupakan satu penipuan dan suatu fitnah.

Malah, sedutan rakaman itu disebarkan menerusi Internet sebelum ini.

“Datuk T” mempertontonkan kepada media pada 21 Mac lalu.

“Ini satu penipuan. Ini Fitnah. Fitnah itu lebih teruk dari membunuh. Fitnah ini, kita akan tanggung dosa sampai bila-bila... jangan main-main dengan fitnah. Cukup-cukuplah kata dekat Anwar,” kata Dr Wan Azizah yang telah beberapa kali menafikan si pelaku dalam rakaman video seks adalah Anwar.

Bagi membuktikan lelaki dalam video tersebut bukan suaminya, Dr Wan Azizah turut menceritakan rutin harian Anwar ketika beliau dipenjarakan selama enam tahun.

“Semasa enam tahun dipenjarakan, dia (Anwar) berpuasa Isnin-Khamis dengan makan makanan yang dalam kuantiti yang sedikit.

“Dia akan makan setengah untuk sahur dan setengah lagi untuk berbuka. Jadi lelaki dalam video itu bukan suami saya, tengok perut pun tau. Dia tak ada perut macam itu,” seloroh Dr Wan Azizah.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah turut mengecam tindakan individu yang menghantar mesej SMS ugutan terhadap anaknya Nurul Izzah Anwar yang mengugut mahu menculik anak sulungnya.

“Semalam ada orang hantar SMS kepada Nurul Izzah untuk apa-apakan cucu saya. Apa jenis manusia ini?” tegas beliau.

Semalam, Nurul Izzah, yang juga Naib Presiden PKR berkata, beliau menerima mesej SMS yang mengugut anak perempuan berusia tiga tahun akan diculik jika beliau terus memberi sokongan kepada Anwar.

Dalam ceramahnya Dr Wan Azizah juga berkata, pihak musuh kini lebih menumpukan usaha untuk menjatuhkan Anwar berbanding isu lain yang lebih penting.

“Berapa banyak pelajar kita yang habis belajar tidak bekerja, isu gula... tetapi apa isu di negara kita? (Tapi hanya) pasal Anwar.

“Negara kita perlu diselamatkan. Saya tak boleh buat seorang... tak menjadi tak apa. Sekurang-kurangnya kita boleh jawab di akhirat nanti,” ujarnya

12 Mei 2011

Kristian-Islam: DAP gesa Najib arah Utusan tarik balik laporan, mohon maaf

DAP menggesa Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Utusan Malaysia menarik balik dan memohon maaf secara terbuka ekoran laporan berunsur fitnah yang mengaitkan parti itu dengan konspirasi menjadikan Kristian sebagai agama rasmi dan melantik perdana menteri daripada kalangan penganut agama itu.

Selain itu, menurut Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pihaknya juga mahu Utusan Malaysia menggantikan editor dan wartawan akbar itu yang terlibat dengan penyiaran laporan bersifat fitnah dan boleh merosakkan gagasan 1 Malaysia yang diperjuangkan Najib.

Kata beliau, hanya dengan cara itu Najib boleh membuktikan bahawa Utusan Malaysia tidak mendapat imuniti apabila mengeluarkan laporan salah dan fitnah.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hanya boleh meyakinkan rakyat Malaysia bahawa Utusan Malaysia bebas dari imuniti dengan mengarahkan Utusan Malaysia menarik balik dan memohon maaf kerana menyiarkan laporan palsu.

“Selain itu, beliau juga harus menukar editor dan wartawan yang terlibat dengan laporan yang bahaya ini dan boleh membakar gagasan 1 Malaysia,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Laporan Utusan Malaysia bertajuk “Kristian Agama Rasmi?”, Sabtu lalu mendakwa wujudnya perbincangan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, sekali gus melantik perdana menteri dari kalangan penganut itu.

Akhbar berbahasa Malaysia milik Umno itu juga mendakwa ada konspirasi mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi, usaha didakwa disokong oleh pemimpin-pemimpin DAP.

Utusan Malaysia melaporkan perkara itu selepas memetik laporan sebuah blog yang menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara untuk menjadikan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri, dengan menunjukkan gambar berbintik-bintik yang didakwa mereka sebagai pakatan rahsia antara DAP dan paderi-paderi di sebuah hotel di Pulau Pinang minggu lalu.

Bagaimanapun kumpulan Kristian dan DAP menafikan dengan keras dakwaan itu sambil menyifatkan laporan Utusan Malaysia itu “pembohongan yang bahaya.”

Kata Lim, Utusan Malaysia berani bertindak mengeluarkan laporan yang tidak benar kerana akhbar itu didokong sepenuhnya oleh Umno malah agenda mingguan akhbar tersebut ditetapkan oleh Biro Politik Umno yang dipimpin oleh diketuai Najib.

“Presiden Kesatuan Wartawan Nasional (NUJ), Hata Wahari, mendedahkan agenda-agenda dalam Utusan Malaysia ditetapkan Biro Politik Umno yang mengadakan perbincangan setiap Isnin untuk menentukan agenda mingguan akhbar itu.

“Mereka yang berada dalam biro itu adalah Najib, timbalannya (Tan Sri) Muhyiddin Yassin, tiga naib presiden (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi, (Datuk Seri) Hishammuddin Hussein dan (Datuk Seri) Shafie Afdal termasuk Setiausaha Agung Umno (Datuk Seri) Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Penerangan Umno (Datuk) Ahmad Maslan,” katanya.

Tambah Lim, beliau juga mencabar parti komponen BN untuk membantah tindakan Utusan Malaysia dalam mesyuarat Kabinet.

“DAP mencabar menteri MCA, Gerakan dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) mengemukakan bantahan tegas terhadap Utusan Malaysia dalam Kabinet.

“Sekiranya mereka gagal berbuat demikian bermakna mereka adalah talam dua muka seperti Umno,” katanya.

RCI pita Lingam tidak langkau bidangkuasanya

Hakim tunggal Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan semakan kehakiman bagi kes pita Lingam berkata, panel lima anggota suruhanjaya diraja (RCI) yang mendengar inkuiri tersebut, tidak melangkaui bidangkuasanya dalam mengesyorkan tindakan diambil terhadap peguam kanan berkenaan dan dua bekas ketua hakim negara.

NONEHakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, dalam penghakiman bertulisnya bertarikh 4 Mei, menyatakan bahawa syor-syor RCI tidak termasuk dalam makna “keputusan”, dan memutuskannya sebagai “hasil penemuan” yang tidak boleh disemak semula.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, hakim Mahkamah Tinggi betul di segi undang-undang dalam menolak memberi kebenaran yang dipohon oleh perayu mengikut Perintah 53 aturan 3 (1) Peraturan Mahkamah Tinggi.

Dalam penghakiman setebal 32 halaman itu, beliau berpandangan bahawa Hakim Datuk Abdul Kadir Musa betul dalam keputusannya bahawa penemuan RCI tidak tertakluk kepada semakan semula kehakiman, kerana penemuan tersebut bukan 'keputusan' untuk tujuan Perintah 53 aturan 3(4) Peraturan Mahkamah Tinggi.

azlanPada 24 Ogos tahun lepas, Mahkamah Rayuan dalam
penghakiman 2-1, memberi kebenaran kepada peguam Datuk VK Lingam dan bekas hakim negara - Tun Eusoff Chin dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim - untuk menyemak semula penemuan RCI itu.

Hakim Datuk Tengku Baharudin Shah Tengku Mahmud, yang mengetuai panel tiga hakim itu yang turut dianggotai Hakim Datuk Zaharah Ibrahim, juga mengarahkan Mahkamah Tinggi mendengar alasan permohonan semakan tersebut, manakala Hishamudin menolaknya.

Tiada alasan diberikan bagi penghakiman mereka sehinggalah Hishamudin menulis penghakimannya bulan ini. Dua orang lagi hakim belum membuat penghakiman bertulis berhubung alasan bagi keputusan majoriti tersebut.

Mahkamah Persekutuan - mahkamah tertinggi di negara ini - telah sebulat suara memberi kebenaran kepada RCI merayu keputusan Mahkamah Rayuan tersebut.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Md Sheriff bersama dengan Hakim, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Datuk Abdull Hamid Embong, membenarkan permohonan RCI, yang diwakili peguam kanan persekutuan Datuk Azizah Nawawi.

Panel itu juga membenarkan satu persoalan undang-undang, sama ada penemuan RCI, di bawah Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Inkuiri 1950, boleh disemak semula di bawah Perintah 53 Peraturan Mahkamah Tinggi 1980'.

Bagaimanapun, tarikhnya masih belum ditetapkan untuk mendengar rayuan tentang keputusan penting ini di Mahkamah Persekutuan. MK

Ulama Umno: Tak patut aibkan Anwar

Dakwaan fitnah ke atas pemimpin politik melalui penyebaran rakaman video seks tidak sepatutnya dilakukan kerana ia bertentangan dengan prinsip Islam, kata ulama muda Umno Fathul Bari Mat Jahya dalam satu forum hari ini.

NONE
Fathul Bari berkata, hukum mengaibkan seseorang seperti itu merupakan salah satu daripada dosa besar di sisi Islam dan dan tidak sepatutnya dilakukan oleh Umno
.
"Kita sepatutnya menutup keaiban manusia dan bukan membukanya," katanya dalam satu forum yang diadakan sempena ulangtahun Umno ke-65 di ibu pejabat parti itu hari ini.

Jelasnya, sekalipun pihak pembangkang pernah bertindak mengaibkan pemimpin parti itu, Umno tidak sepatutnya mengambil tindakan serupa.

Katanya lagi, kesahihan berhubung pelaku di dalam video seks berkenaan juga sepatutnya diserahkan kepada siasatan pihak berkuasa.

"Saya tidak tahu video itu benar atau tidak. Saya tidak tengok, kita serahkan kepada pihak berwajib," katanya lagi dalam sesi soal jawab di forum anjuran satu gabungan NGO Melayu itu.

Pandangannya itu disambut oleh seorang lagi anggota panel, Datuk Ahmad Maslan yang berkata isu rakaman video seks itu tidak melibatkan presiden Umno Datuk Seri Najib Razak, parti BN ataupun Umno sendiri.

NONE
Katanya, Umno adalah "dua kali bodoh" jika menggunakan kaedah sama dengan mengaibkan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi, memandangkan Umno telah menghadapi kesannya dalam pilihan raya umum 1999.

Hinggakan, sesetengah pemimpin Umno "tinggal seluar dalam sahaja" kerana undi yang tidak memihak kepada mereka di kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Melayu yang besar.

Jelasnya, pengundi Melayu pada masa itu memilih pembangkang kerana marah dengan tuduhan liwat yang dikenakan ke atas Anwar.

Namun, isu sebenar berhubung dakwaan melibatkan Anwar sumpah laknat yang dilakukan Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang mendakwa turut berada di lokasi rakaman video aksi seks tersebut, kata Ahmad.
NONE

Tuduhan melibatkan Anwar juga melibatkan sumpah laknat yang dilakukan oleh Saiful Bukhari Azlan berhubung kes Liwat II yang kini sedang dibicarakan, tambahnya.

Maka, cara terbaik bagi Anwar untuk menepis dakwaan tersebut adalah dengan turut membuat sumpah laknat bagi menafikannya, kata Ahmad lagi.

Seorang lagi ahli panel dalam forum yang dihadiri kira-kira 100 orang itu ialah seorang wakil NGO dariapda Majlis Perundingan Melayu, Hasan Mad.

Ulama Umno: Tak patut aibkan Anwar

Dakwaan fitnah ke atas pemimpin politik melalui penyebaran rakaman video seks tidak sepatutnya dilakukan kerana ia bertentangan dengan prinsip Islam, kata ulama muda Umno Fathul Bari Mat Jahya dalam satu forum hari ini.
NONEFathul Bari berkata, hukum mengaibkan seseorang seperti itu merupakan salah satu daripada dosa besar di sisi Islam dan dan tidak sepatutnya dilakukan oleh Umno.
"Kita sepatutnya menutup keaiban manusia dan bukan membukanya," katanya dalam satu forum yang diadakan sempena ulangtahun Umno ke-65 di ibu pejabat parti itu hari ini.
Jelasnya, sekalipun pihak pembangkang pernah bertindak mengaibkan pemimpin parti itu, Umno tidak sepatutnya mengambil tindakan serupa.
Katanya lagi, kesahihan berhubung pelaku di dalam video seks berkenaan juga sepatutnya diserahkan kepada siasatan pihak berkuasa.
"Saya tidak tahu video itu benar atau tidak. Saya tidak tengok, kita serahkan kepada pihak berwajib," katanya lagi dalam sesi soal jawab di forum anjuran satu gabungan NGO Melayu itu.
Pandangannya itu disambut oleh seorang lagi anggota panel, Datuk Ahmad Maslan yang berkata isu rakaman video seks itu tidak melibatkan presiden Umno Datuk Seri Najib Razak, parti BN ataupun Umno sendiri.
NONEKatanya, Umno adalah "dua kali bodoh" jika menggunakan kaedah sama dengan mengaibkan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi, memandangkan Umno telah menghadapi kesannya dalam pilihan raya umum 1999.
Hinggakan, sesetengah pemimpin Umno "tinggal seluar dalam sahaja" kerana undi yang tidak memihak kepada mereka di kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Melayu yang besar.
Jelasnya, pengundi Melayu pada masa itu memilih pembangkang kerana marah dengan tuduhan liwat yang dikenakan ke atas Anwar.
Namun, isu sebenar berhubung dakwaan melibatkan Anwar sumpah laknat yang dilakukan Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang mendakwa turut berada di lokasi rakaman video aksi seks tersebut, kata Ahmad.
NONETuduhan melibatkan Anwar juga melibatkan sumpah laknat yang dilakukan oleh Saiful Bukhari Azlan berhubung kes Liwat II yang kini sedang dibicarakan, tambahnya.
Maka, cara terbaik bagi Anwar untuk menepis dakwaan tersebut adalah dengan turut membuat sumpah laknat bagi menafikannya, kata Ahmad lagi.
Seorang lagi ahli panel dalam forum yang dihadiri kira-kira 100 orang itu ialah seorang wakil NGO dariapda Majlis Perundingan Melayu, Hasan Mad.

11 Mei 2011

Kedudukan Islam tidak boleh diubah, tegas Najib


Datuk Seri Najib Razak cuba meredakan ketegangan yang wujud ekoran laporan akhbar milik Umno kononnya ada konspirasi mahu menjadikan Kristian agama rasmi dengan menegaskan, Islam akan kekal sebagai agama persekutuan.

“Ini adalah kerana, realitinya adalah apa yang kita ada dalam Perlembagaan Persekutuan dan peruntukannya mengenai kedudukan Islam dan agama-agama lain adalah sangat jelas,” kata Najib (gambar) kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan 22 pemimpin agama Islam dan sarjana di sini hari ini.

“Di bawah apa sahaja keadaan, Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipinda dan oleh itu, tiada mana-mana pihak harus khuatir atau rasa tidak senang dalam perkara ini,” katanya lagi.

"Konspirasi Kristian' Dipadam Di Blog 'Marahku' Kerana Sikap Pengecut Pemiliknya.

Ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin mempersoalkan tindakan seorang penulis blog yang memadamkan semua posting berhubung artikel kontroversinya “konspirasi negara Kristian”.

NONEShamsul Yunus, yang menulis di blog Marahku, adalah antara dua penulis yang dipetik oleh akhbar milik Umno, Utusan Malaysia dalam laporannya yang menuduh DAP berkemungkinan bersekongkol dengan paderi untuk menjadikan Kristian agama rasmi persekutuan dan membolehkan penganut agama itu dilantik sebagai perdana menteri.

“Sebuah blog yang 'mendedahkan' isu negara Krstian telah memadamkan entri berkenaan. Mengapa?” soal Khairy pada laman mikro-blognya di Twitter.

“Jika penulis blog itu memadamkan pautan itu kerana beliau menyedari apa yang ditulis adalah tidak benar, maka ia sudah terlambat. Kerosakan telah dilakukan. Bagaimanapun, saya menunggu hasil siasatan,” tulisnya lagi.

utusan malaysia, malaysia negara kristian, marahkuBlog Shamsul di marahku. blogspot.com didapati kosong sejak semalam. Semua posting juga didapati telah dipadamkan.

Utusan memetik postingnya yang berjudul “Agong under threat? DAP wants to make Christianity the official religion of Malaysia?” yang membidas DAP kerana cuba meminda perlembagaan persekutuan bagi membolehkan penganut agama Kristian menjadi perdana menteri.

Namun artikel berkenaan masih boleh dibaca di bebeberapa laman lain yang telah menyalinnya.

utusan malaysia, malaysia negara kristianNamun, seorang lagi penulis blog pro-Umno yang dipetik oleh Utusan - Zakhir Mohamed, yang menulis di Bigdog.com, masih menulis dan meneruskan isu berkenaan di blognya.

Utusan memetik tulisannya yang berjudul“Making Christianity the official religion?” yang mendakwa 35 paderi pada satu majlis yang dianjurkan oleh ahli parlimen DAP Jelutong mengambil ikrar untuk menjadikan Kristian agama rasmi Malaysia.

10 Mei 2011

Pelancongan & Sumpah Laknat

Hishamuddin Rais

Menurut satu sumber, sumpah laknat berkeupayaan untuk membuka satu pasaran yang lebih luas. Untuk membuktikan hujah sesetengah saudagar agama, satu sumpah laknat telah dipentas di Masjid Sentul. Para pelakon untuk bersumpah telah dipilih khas.

Berbanding dengan sumpah laknat tiga tahun dahulu, kali ini sumpah laknat lebih teratur dari segi pengurusan media. Secara terancang media telah membuat laporan berminggu-minggu tanpa putus tentang sumpah laknat. Laporan media ini cukup membantu kerana di hari pementasan, Masjid Sentul yang biasanya kosong tiba-tiba telah penuh sehinggakan tidak ada tempat untuk bersembahyang.

Untuk merancakkan kempen sumpah laknat ini, para pelakon telah diminta untuk memakai baju kalis peluru. Ini adalah taktik sensasi untuk memastikan berita sumpah laknat di Masjid Sentul ini akan mendapat laporan CNN, BBC, PBB, DDT, PIBG, JKK, SITC, MMC, KLM, BOAC, MTD, TT dan CCTV.

Menurut saudagar agama dari sebuah negeri di Utara semenanjung Malaysia, sumpah laknat ini juga boleh difrancaiskan. Malah beberapa buah masjid di Malaysia ini perlu menyediakan kelengkapan khas untuk menjalankan Sumpah Laknat. Masjid Sentul boleh dijadikan masjid contoh khusus untuk membuat sumpah laknat.

Para pelancong dari Eropah yang menghadapi banyak masalah undang-undang atau terbelenggu dengan kes saman menyaman boleh datang ke Malaysia untuk melafazkan sumpah laknat. Saksi, penterjemah dan pemandu pelancong wajib disediakan oleh masjid-masjid. Masjid juga dikawal untuk memastikan hanya yang telah mendapat lesen sahaja dibenarkan untuk menjalankan upacara sumpah laknat.

Malah sesudah sumpah laknat dilafaz, satu watikah akan dikeluarkan untuk mensahihkan sumpah ini. Masjid-masjid yang menjalankan sumpah laknat ini wajib terus dikawal untuk memastikan perniagaan sumpah laknat ini terjamin kualitinya. Dengan kualiti yang terjamin bukan sahaja pelancong akan berpusu-pusu masuk ke Malaysia, malah jabatan berkaitan boleh membuka cawangan sumpah laknat di luar negara.

Pasaran sampingan
Mengikut jurucakap jabatan itu yang tidak mahu namanya disebut, perniagaan sumpah laknat ini berpotensi untuk membuka satu pasaran yang luas.

Di Malaysia perniagaan sumpah laknat ini pasti akan dilesenkan hanya kepada Melayu-Bumiputera sahaja. Tidak ada lesen akan dikeluarkan kepada non-Bumiputera. Ini untuk memastikan industri sumpah laknat ini tidak akan jatuh ke tangan bangsa lain.

Sumpah laknat ini juga akan membuka pasaran sampingan baru. Pelajar Bumiputera yang kini terlatih di Timur Tengah berkemungkinan untuk menjawat kerja-kerja yang bersangkutan dengan sumpah laknat. Malah universiti tempatan boleh membuka kursus sumpah laknat sebagai mata pelajaran wajib.

Hingga ke saat ini, Kementerian Pelancongan masih lagi belum membuat apa-apa keputusan. Kementerian sedang dalam dilemma. Tidak pasti cadangan dan kertas kerja mana yang akan menjadi asas kempen pelancongn tahun 2011 ini.

Cadangan dari Profesor Sintok juga memiliki merit untuk diimplementasi. Dalam masa yang sama cadangan dari beberapa jabatan juga amat menarik. Sokongan saudagar agama dari sebuah negeri di Utara semenanjung terbukti telah membantu jabatan itu.

Ketika ini pelancongan adalah mata pencarian utama untuk Malaysia. Ini kerana harga getah dan kelapa sawit telah jatuh. Pendapatan dari ekspot bahan bakar minyak pula telah semakin berkurangan. Semua ini menjadikan perlancongan sebagai sumber utama negara Malaysia.

Simbol pelancongan
Tidak dapat tidak, ekonomi Malaysia hari ini sedang berhadapan dengan dua pilihan, satu daripadanya sumpah laknat. Tersalah pilih akan membawa akibat yang maha dahsyat. Tersalah pilih akan membawa porak-peranda yang akan memerosotkan ekonomi negara.

Sebelum ini, terdapat jabatan yang bermati-matian mengajukan sumpah laknat sebagai kempen pelancongan untuk tahun 2011. Cadangan ini kelihatan telah mendapat sokongan dari ramai peniaga dan saudagar-saudagar agama. Paling jelas sokongan datang dari beberapa orang saudagar agama dari sebuah negeri di Utara.

Para saudagar ini melihat dengan wujudnya sumpah laknat ini, maka saham dan peranan para saudagar agama ini akan melonjak. Malah besar kemungkinan pandangan dan pendapat para saudagar akan terus dilanggani oleh Kementerian Prelancongan.

Bayangkan selama ini, terutama anak muda, langsung 'tidak ambil pot' terhadap para saudagar ini. Berbuih-buih mulut para saudagar menjaja ke hulu ke hilir tetapi tidak ada sesiapa yang ambil pot. Apabila Kementerian Perlancongan membukakan tender dan mencari cadangan untuk kempen tahun 2011, maka para saudagar agama melihat ini adalah peluang terbaik. Ini bukan lagi durian runtuh tetapi ini peluang untuk membuka jalan mendapat kontrak. Silap-silap mungkin para saudagar agama ini akan diberi slot di televisyen untuk membuat program.

Cadangan ini telah tersebar di media. Berita ini telah menjadikan Profesor Sintok mengelabah. Para profesor melihat saudagar ini telah potong jalan. Mereka merasakan jika cadangan ini diterima oleh Kementerian Perlancongan maka 'soro' para profesor akan tergelincir. Masa depan Profesor Sintok ini semakin gelap. Mereka tidak lagi akan dipanggil untuk berseminar. Mereka mungkin akan menjadi tidak relevan.

Ada satu pekara yang paling menakutkan para profesor ini apabila tulisan ilmiah mereka mungkin tidak lagi diterima oleh akhbar arus perdana. Jika ini berlaku maka runtuhlah harapan dan masa depan mereka. Jika akbar tidak menerima tulisan, di manakah peluang untuk profesor ini menulis. Tidak ada jurnal yang sanggup menerbitkan tulisan para profesor ini. Bayangkan, jika editor hiburan pun menolak tulisan profesor ini bermakna dunia intelektual mereka akan gelap.

Cadangan ini hampir-hampir diterima oleh kabinet. Tetapi jabatan berkaitan tadi dengan licik dan bijak telah menggunakan saudagar agama dari Utara semenanjung untuk menghidupkan cadangan agar sumpah laknat yang sepatutnya dijadikan simbol pelancongan tahun ini.

Utusan hadapi kemungkinan diharam ke DUN P Pinang

Akhbar milik Umno Utusan Malaysia mungkin tidak dibenarkan lagi menjejakkan kaki di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang sekiranya jawatankuasa hak dan kebebasan memutuskan perkara itu.

Keputusan jawatankuasa yang bermesyuarat dua tahun sekali itu akan dibentangkan pada sidang hari ini.

Anggota yang hadir hari ini akan memutuskan sama ada harian itu akan diharamkan membuat liputan ekoran dakwaan dalam artikel berhubung kediaman rasmi Ketua Menteri Lim Guan Eng sebelum ini.

Dengan keanggotaan dua pertiga Pakatan Rakyat dalam DUN, nasib akhbar itu seakan-akan sudah tertulis.

Pada November tahun lalu, terdapat resolusi difailkan oleh ADUN Komtar Ng Wei Aik terharap laporan muka 7 akbar itu yang bertajuk "Apa status kediaman rasmi Guan Eng?"

Ng yang juga setiausaha politik kepada Lim membuat aduan itu berdasarkan Seksyen 109B Peraturan Tetap DUN Pulau Pinang.

Laporan yang disifatkan sebagai fakta yang tidak benar itu dipetik oleh Shabuddin Yahaya (BN-Permatang Berangan) yang mengatakan kos pengubahsuaian rumah ketua menteri sebanyak RM1.5 juta. MK

Pemandu syak kenderaan Anwar disabotaj

Pemandu peribadi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesyaki terdapat usaha jahat mensabotaj kenderaan yang lazimnya digunakan majikannya itu sehingga berlakunya kemalangan pada 19 April lalu.

Sehubungan itu Abdullah Sani Said yang telah berkhidmat selama 28 tahun dengan Anwar dijadual membuat laporan di Balai Polis Merchant Square, Petaling Jaya pada jam 3.30 petang ini.

Menurut kenyatan daripada unit komunikasi PKR hari ini, kenderaan yang sama juga digunakan oleh anggota keluarga ketua pembangkang itu.

Kenyataan itu bagaimanapun belum menyatakan jenis kenderaan yang digunakan dan butiran terperinci berhubung dakwaan berkenaan.

Ia sebaliknya mengundang pihak media membuat liputan berhubung perkara itu petang ini.

08 Mei 2011

White House Edar Lima Klip Video Koleksi Osama, AS Dalam Kekalutan.

 
Kombinasi imej menunjukkan pelbagai sedutan daripada rakaman video berkenaan Osama bin Laden, yang diambil dari rumah tempat tinggalnya di Pakistan, yang dikeluarkan oleh Pentagon. — Foto Reuters

Rakaman video yang diperoleh di rumah agam, tempat persembunyian Osama bin Laden selama lima tahun di Abbottabad, Pakistan, menunjukkan ketua rangkaian Al-Qaeda itu sendiri menonton liputan berita menerusi televisyen dan mengatur strategi operasi mereka.


Lima klip terpilih yang dikeluarkan kerajaan Amerika Syarikat (AS) menunjukkan kehidupan di rumah tersebut yang terletak di timur laut Islamabad.

Osama mati ditembak oleh AS Isnin lalu.

Rakaman-rakaman itu termasuklah filem-filem propaganda dan yang diambil bersama, menggambarkan Osama sebagai seorang yang obses dengan imejnya dan bagaimana dia menggambarkan dirinya kepada dunia.

Seorang pegawai kanan risikan menyifatkan maklumat yang diperoleh dari rumah itu sebagai “koleksi tunggal terbesar” milik ketua rangkaian pengganas paling dikehendaki, lapor NBC News awal hari ini.

Rakaman video itu diperoleh oleh pasukan elit SEAL tentera laut AS selepas Osama ditembak mati Isnin lalu.
Satu pasukan petugas sedang bekerja sepanjang masa untuk menganalisis maklumat yang diperoleh dari rumah tersebut dan membuat rumusan daripada pakar dari 10 agensi persekutuan.

“Osama kekal sebagai seorang pemimpin yang aktif dalam Al-Qaeda, member arahan-arahan strategik, operasi dan taktikal kepada kumpulan itu,” kata seorang pegawai.

“Dia bukan sahaja pemikir strategik bagi kumpulan, dia juga aktif dalam perancangan operasi dan menggerakkan keputusan-keputusan taktikal dalam Al-Qaeda,” katanya dipetik laman msnbc.

Sedutan kandungan klip-klip yang diedarkan antara lain terdiri daripada:

Video 1: Mesej penuh tetapi belum diedarkan. Mesej ini disediakan bagi rakyat AS. Ia dirakam sekitar 9 Oktober dan 5 November 2010. Osama duduk dan berpakaian jubah emas. Janggutnya diwarnakan, duduk dengan berlatarbelakangkan warga biru.

Video 2: Osama duduk di atas lantai sambil menonton televisyen dengan video menyiarkan imej dirinya. Kamera ke arahnya menunjukkan dia duduk di atas lantai. Berjanggut warna perang dan memakai topi warna hitam. Dia ketika itu memegang alat kawalan jauh televisyen.

Video 3: Satu video latihan. Osama telah mewarnakan janggutnya, berlatarbelakangkan papan yang digambarkan sebagai ‘armoire’. Tiada tarikh bagi video ini.

Video 4: Satu lagi video latihan. Latar belakang warna coklat dan memakai kemeja-T. Video ini juga tiada tarikh.

Video 5: Satu lagi video latihan. Dia di depan cadar, memakai jubah berwarna emas dan baju putih. Dia memakai topi putih dan janggut disapu warna hitam. Video ini juga tiada tarikh. — Agensi

07 Mei 2011

Pakatan: Islam kekal agama rasmi Malaysia

Pakatan Rakyat tetap berpendirian Islam kekal sebagai agama rasmi negara ini dan tidak timbul persoalan gagasan itu akan mengambil langkah untuk mengubah statusnya jika berjaya menawan Putrajaya. Ini sekali gus menyangkal laporan akhbar milik Umno, Utusan Malaysia dengan tajuk utamanya 'Malaysia Negara Kristian?

anwar ibrahim and islamKetua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi nota admin blog hari ini, berkata Utusan bertindak melampaui batas dengan menyogok rakyat dengan berita fitnah dan hasutan apabila memainkan isu agama rasmi di Malaysia.

“Utusan juga telah mengetepi tanggungjawab sebagai pengamal media apabila tunduk kepada adikuasa atau pemerintah, tanpa rasa malu dengan menidakkan fakta apabila berterusan memutar belit fakta sehingga mengelirukan rakyat,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada laporan muka depan Utusan hari ini di bawah tajuk 'Kristian agama rasmi?'

utusan malaysia kritian agam rasmiLaporan itu juga memetik ahli parlimen Jelutong, Jeff Ooi menafikan dakwaan kononnya beliau menganjurkan satu majlis pertemuan paderi dari seluruh negara, yang didakwa turut membincangkan agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi persekutuan dan melantik perdana menteri dalam kalangan penganut agama itu.

Menurut wakil rakyat DAP itu, beliau hanya menghadiri majlis kesyukuran yang diadakan secara tertutup untuk paderi-paderi tersebut di sebuah hotel di Jalan Macalister, George Town sebagai tetamu.

Akhbar milik Umno itu mendakwa majlis pertemuan paderi-paderi berkenaan dan ikrar menjadikan Kristian sebagai agama rasmi persekutuan didedahkan oleh dua blog.

utusan malaysia, malaysia negara kristian, penang pastor meeting“Sudah dinyatakan sebelum ini, bahkan ia merupakan kenyataan rasmi yang ditandatangani semua pimpinan Pakatan Rakyat bahawa Islam tetap kekal sebagai agama rasmi di Malaysia jika Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan pada masa hadapan.

“Jelas, Utusan tidak layak untuk digelar selaku akhbar arus perdana, ia hanya layak menyandang gelaran 'Tabloid Umno' sesuai dengan kenyataan bahawa parti itu merupakan pemegang saham sekaligus majikan mereka.

“Amat sedih melihat akhbar yang diasaskan pejuang pembebasan tanah air dahulu, dirantai oleh manusia-manusia rakus kuasa zaman ini,” tulis Anwar lagi.

Katanya isu agama rasmi bagi Malaysia menjadi sasaran terbaru “aparatus pemerintah manakala Utusan tanpa rasa malu telah menidakkan fakta yang terbentang di depannya dengan berterusan memutar belit fakta bertujuan mengelirukan rakyat.”

NONE“Sudah dinyatakan sebelum ini, bahkan ia merupakan kenyataan rasmi yang ditandatangani oleh semua pimpinan Pakatan Rakyat bahawa Islam tetap kekal sebagai agama rasmi di Malaysia sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan pada masa hadapan,” katanya.

Selain itu, nota berkenaan juga memuatkan penyataan bersama yang dibuat pimpinan Pakatan Rakyat pada 8 September yang turut terkandung dalam Buku Jingga yang menjamin kedudukan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia.

NONE“Kami sekali lagi mengulangi pendirian menjunjung prinsip dasar yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan menjamin kebebasan mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda, kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak semua kaum yang dijamin Perlembagaan,” kata penyataan itu. MK
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

4U2C Posts

News Story

SELSEMA