Sementara rasa tidak puas hati terus meningkat dari pelbagai sudut, Datuk Seri Nazri Aziz menegaskan Putrajaya tidak pernah menjanjikan biasiswa kepada kesemua pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM untuk belajar di luar negara.
Sebaliknya kata beliau, kerajaan hanya komited untuk memastikan setiap pelajar cemerlang diberi jaminan tempat di institusi tempatan dan luar negara dengan biasiswa.
“Kami tidak pernah kata kesemua pelajar 9A+ akan dihantar ke luar negara.
“Tetapi kami ada menjanjikan bahawa mereka akan mendapat tempat sama ada di universiti tempatan atau luar negara,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Nazri (gambar), yang bertanggungjawab ke atas soal biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertuju bahawa kerajaan ada memperuntukkan 1,500 biasiswa luar negara kepada pelajar cemerlang tetapi menekankan bahawa daripada jumlah itu, hanya 300 diberi berdasarkan merit kepada mereka yang memperoleh 9A+.
Baki 1,200 geran luar negara, kata beliau, diagihkan kepada mereka yang layak mengikut empat kategori iaitu Bumiputera Sabah (lima peratus), Bumiputera Sarawak (lima peratus), komposisi sosial atau komposisi kaum (60 peratus) dan golongan kurang berada dari segi sosial (10 peratus).
Tambah beliau, biasiswa itu hanya akan dianugerahkan kepada pemohon-pemohon yang berjaya dalam temu bual kendalian JPA.
Bagaimanapun mereka yang tidak memenuhi syarat itu masih diberi biasiswa untuk belajar di universiti tempatan, kata Nazri.
Jelas beliau, buat masa sekarang daripada 360 pelajar yang tertakluk dalam kategori merit, hanya 300 diberi biasiswa manakala 60 gagal memperoleh biasiswa luar negara.
“Ini bermakna mereka mungkin atau mungkin tidak layak untuk memperoleh baki 1,200 geran yang disediakan. Ini bergantung pada prestasi ketika temu duga,” katanya.
“Kemungkinan mereka yang tidak memperolehnya, mungkin tidak menunjukkan prestasi yang baik ketika temu duga.
“Kami mengambil kira bukan sahaja keputusan mereka, tetapi juga aktiviti kokurikulum dan bagaimana mereka berjaya dalam temu duga,” kata beliau.
Bagaimanapun katanya, jika mereka gagal dalam temu duga, mereka masih akan memperoleh tempat di universiti tempatan.
Sehubungan itu, Nazri terus berhadapan dengan kritikan Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong yang mendakwa wujud salah guna kuasa di JPA.
Wee, yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, mengetuai protes dengan pada minggu lalu mendakwa 363 pelajar yang memperoleh kesemua A+ telah gagal memperoleh biasiswa meskipun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada tahun lalu bersetuju agar kesemua pelajar yang merekodkan 8A+ dan ke atas akan menerima biasiswa JPA.
Penelitian The Malaysian Insider menunjukkan kenyataan Najib tahun lalu mendedahkan bahawa perdana menteri ada menjanjikan biasiswa kepada kesemua pelajar memperoleh 9A+ untuk belajar di universiti dalam dan luar negara.
“Jadi, jika anda tiada fakta, jangan bercakap. Saya ada ahli-ahli Parlimen pembangkang yang cuba membantu pelajar, datang berjumpa dengan saya... mereka tidak pergi kepada media.
“Tetapi Wee, sebagai MP BN dan seorang timbalan menteri, pergi kepada media dan menjerit di umum untuk publisiti murahan tanpa datang berjumpa saya untuk melihat isu yang sebenar,” kata Nazri.
Di sebalik kesukaran mengikis label sebagai parti cauvinis Cina, DAP meneruskan misinya mahu mendengar suara kaum Melayu menerusi landskap media atas talian dengan memperkenalkan laman web berita, langkah yang menurut komponen Pakatan Rakyat (PR) itu seharusnya telah diambil sejak dahulu lagi.
Hanya beberapa hari selepas naib pengerusinya Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mengakui bahawa parti itu telah gagal menarik sokongan orang Melayu yang disasarkan, DAP akan melancarkan laman web dalam Bahasa Malaysia, Roketkini.com dengan harapan dapat mendampingi orang Melayu dengan maklumat terkini.
“Buat masa sekarang, ada jurang besar bagi kami di media Bahasa Malaysia. Anda tidak mendengar apa-apa mengenai DAP kecuali (maklumat) kami diserang,” kata setiausaha politik kepada setiausaha agung DAP Zairil Khir Johari.
Parti majoriti ahlinya kaum Cina itu terus-menerus didakwa oleh Umno, parti teras dalam Barisan Nasional (BN) dan media Bahasa Malaysia sebagai mengamalkan politik perkauman.
Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia secara konsisten menyerang DAP kononnya mahu merampas kuasa politik orang Melayu.
Roketkini, menurut Zairil, bukan sahaja akan bertindak sebagai portal berita tetapi juga sebagai “jenama bagi kami untuk mengadakan forum-forum, perbincangan dan acara-acara dalam Bahasa Malaysia untuk mendekati demografi ini.”
Zairil, yang menganggotai lembaga penasihat bagi laman web itu menambah, meskipun Roketkini akan menyediakan maklumat bagi khalayak bandar, tetapi ia juga akan bertindak sebagai alat untuk mendampingi masyarakat Melayu luar bandar.
“DAP tiada (sokongan) akar umbi di kawasan luar bandar. Jadi, meskipun kami ada akhbar Rocket versi Bahasa Malaysia, sukar bagi kami untuk mengedarkannya.
“(Jadi), laman web ini sebenarnya akan menyelesaikan masalah pengedaran yang kami hadapi meskipun orang Melayu berpendapatan rendah kemungkinan tiada komputer, tetapi mereka masih akses kepada Internet pada masa sekarang,” katanya.
Roketkini akan dilancarkan Isnin ini.
Editor Wan Hamidi Hamid berkata, “tidak kira sama ada mereka Mat Rempit, mereka ada akaun Facebook”.
“Kebanyakan membawa komputer bimbit dan menggunakan Facebook, kerana ia murah, lebih murah berbanding telefon pintar,” kata wartawan veteran ini.
Penyusun strategi parti, Liew Chin Tong pula memberitahu undi orang muda kawasan bandar merupakan sokongan masa depan memandangkan 72 peratus rakyat Malaysia berusia 40 dan merangkumi separuh daripada pengundi yang layak.
Katanya, kira-kira 65 peratus penduduk negara ini tinggal di kawasan-kawasan bandar.
Zairil juga berkata, keseluruhan bahan disajikan dalam Bahasa Malaysia meskipun penulis dan penyumbangnya datang dari pelbagai latar belakang.
Bagaimanapun DAP tidak pasti sejauh mana impak langkah terbaru ini dari segi sokongan undi kelak.
Ketika spekulasi semakin kuat bahawa pilihan raya umum ke-13 akan dipanggil bila-bila masa, PR masih bekerja keras untuk mendapatkan balik pengundi-pengundi Melayu yang sudah mula beralih kepada pesaing mereka berbanding ketika pilihan raya umum 2008.
Bagaimanapun Wan Hamidi berkata, matlamat utama ialah mengetengahkan pandangan dan pendirian DAP dalam laman Bahasa Malaysia dan menjana debat di kalangan komuniti Melayu.
“Kami sepatutnya telah mengambil langkah ini sejak dulu lagi. Dengan (mempunyai) khalayak Melayu, kami tiada apa-apa untuk rugi dan boleh memperoleh banyak kelebihan,” kata Zairil.