KERANA boleh duduk, anda juga boleh membawa barang apabila menaiki U3-X.
BAGI mereka yang biasa menghadiri simposium atau persidangan ke Amerika Syarikat (AS), anda tentu pernah terserempak dengan lelaki beruniform yang mengawal simposium itu dengan menaiki kenderaan unik dikenali sebagai Segway.
Segway merupakan kenderaan roda dua yang dijana menggunakan bateri dan penunggang perlu berdiri ketika menaiki kenderaan yang berfungsi seperti basikal atau scooter ini.
Bagaimanapun, cara operasinya agak berbeza iaitu penunggang hanya perlu mencondongkan badannya ke hadapan untuk menggerakkan Segway ke hadapan dan mengiring ke kiri dan kanan untuk membelok.
Segway telah berjaya mendapat sambutan mengalakkan bagi pengangkutan di dalam bangunan seperti mengawal kawasan pusat dagangan, jabatan polis, pangkalan tentera, gudang, kampus korporat dan juga sebagai kenderaan pelancong di sesetengah negara Eropah.
Di atas kejayaan Segway, maka pelbagai syarikat kini turut cuba membangunkan kenderaan pengangkutan peribadi yang mungkin menjadi pilihan pengguna di masa depan.
Honda misalnya, baru-baru ini memperkenalkan kenderaan prototaip dikenali sebagai Sistem Pergerakan Peribadi U3-X yang seakan fungsi seperti Segway tetapi hanya menggunakan satu roda dan mempunyai tempat duduk.
Kenderaan ini tentu sesuai digunakan oleh mereka yang malas untuk berdiri seperti diperlukan oleh Segway. Ia juga tentu lebih stabil daripada scooter elektrik yang kini digunakan oleh sesetengah orang dewasa untuk bersiar di taman atau ke surau.
Bagi orang-orang tua, badut, orang gemuk dan semput bila berjalan jauh, U3-X adalah pilihanterbaik untuk mereka.
Kenderaan itu mampu bergerak selaju enam kilometer sejam (km/j) dan dengan beratnya hanya 10 kilogram, pengguna dengan mudah boleh membawanya menaiki bas, diletakkan di belakang bonet kereta atau dibawa berjalan.
Teknologi Asimo
Jika dicaj sepenuhnya, U3-X boleh digunakan selama sejam dan ia menggunakan beberapa teknologi robot Asimo dari Honda untuk mengimbangi kenderaan itu dan penunggangnya.
Honda menyatakan, syarikatnya mencipta alat itu untuk membantu golongan berumur tetapi golongan itu mempunyai banyak pilihan sekarang kerana telah banyak robot pendukung manusia sedang dicipta seperti Beruang Robot.
Honda juga berharap U3-X mampu bersaing dengan alat pengangkutan peribadi Winglet dengan dua roda yang diperkenalkan oleh Toyota dua tahun lepas.
Winglet juga merupakan scooter dua roda yang fungsinya hampir sama dengan Segway dan U3-X dengan kemampuan bergerak selaju 6 km/j iaitu sama dengan kelajuan U3-X. Bagaimanapun, ia tetap jauh berbeza dengan kelajuan Segway iaitu 20 km/j.
Honda telah menjalankan penyelidikan dalam bidang robotik sejak 1986 dan peralatan bergerak sejak 1999. Hasil kajian telah digunakan untuk pembangunan robot humanoid Asimo dan sebahagian daripada teknologi itu digunakan untuk U3-X.
Selain itu, Honda juga mempertingkatkan teknologi pemotorannya dengan memperkenalkan motosikal konsep 3R-C di Geneva, baru-baru ini yang melambangkan teknologi motosikal masa depan.
3R-C mempunyai penutup kecil yang melindungi tempat duduk penunggang ketika berhenti dan menjadi cermin pelindung angin ketika bergerak.
Maka di masa depan, kenderaan berkuasa elektrik akan menguasai jalan raya dan juga tempat laluan pejalan kaki kerana manusia ketika itu mungkin juga sudah lupa bagaimana untuk melakukan senaman cara mudah dan tanpa kos - iaitu berjalan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan